Saksi: Bukit Aman Arah Hentikan Siasatan Penemuan Kubur, Kem di Wang Kelian

Radzi Razak
2019.04.23
Putrajaya, Malaysia
190423-MY-RCIRizani620.jpg Bekas Ketua Polis Daerah Padang Besar, Rizani Che Mat keluar dari dewan di mana berlangsungnya pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan DiRaja penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis pada 2015 di Putrajaya, Malaysia, 23 April, 2019.
[RadziRazak/BeritaBenar]

Panel pendengaran Suruhanjaya Siasatan DiRaja [RCI] pada Selasa telah diberitahu oleh dua pegawai Polis DiRaja Malaysia [PDRM] yang mereka mendapat arahan daripada pegawai tertinggi untuk membekukan siasatan terhadap penemuan kem dan kubur di Wang Kelian pada Mac 2015, maklumat yang tidak pernah didedahkan kepada umum sebelum ini.

Saksi ke-11 dan 12 yang pada masa itu adalah pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar, Junaidy Md Saad dan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Rizani Che Ismail, memberi keterangan yang sama mengenai arahan yang diterima daripada pihak atasan untuk tidak meneruskan siasatan kepada panel prosiding RCI.

Junaidy memberitahu yang beliau mendapat arahan daripada Rizani untuk menghentikan siasatan dan tidak pasti mengapa arahan tersebut dikeluarkan sedangkan pegawai atasannya itu terlibat mengetuai misi menggali tapak tanah seakan kubur bersama pasukan forensik semasa pergi semula ke lokasi pada 6 Mac.

Rizani pula memberitahu yang beliau telah menerima arahan pada 7 Mac daripada Ketua Polis Perlis Zul Aznam Haron untuk menghentikan siasatan di tapak di Bukit Wang Burma yang ditemui anggota Pasukan Gerak Am [PGA] pada 19 Januari, selepas ketua polis negeri itu mendapat arahan daripada Bukit Aman – nama lain bagi Ibupejabat Polis Malaysia.

"Pada pagi 7 Mac, saya bersarapan dengan Ketua Polis Perlis dan Timbalan dan saya memberi taklimat secara menyeluruh mengenai operasi pada 6 Mac kepada kedua-dua mereka.

“KP [Ketua Polis Negeri] dan TKP [Timbalan Ketua Polis Negeri] kata “on hold”. KP sudah maklumkan kepada pucuk pimpinan dan arahan mereka ialah “on hold” dan tunggu arahan selanjutnya,” tambah Rizani.

Arahan Bukit Aman

Saiful Hizam Md Saad, seorang panel RCI kemudiannya bertanya kepada Rizani "adalah arahan ini dari Bukit Aman?"

Rizani menjawab "Ya," dan kemudiannya berkata beliau turut merasa serba salah kerana sebagai pegawai polis, beliau mahukan siasatan diteruskan serta ditangani dengan baik tetapi pada masa sama beliau tidak boleh melampaui arahan pegawai atasannya.

Bekas Ketua Polis Daerah itu berkata demikian selepas ditanya ahli panel yang musykil kenapa selepas 42 hari dimaklumkan oleh Komandar PGA mengenai penemuan di Bukit Wang Burma itu, baru diambil tindakan dan kenapa kes tersebut diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP) walaupun kubur, mayat dan rangka dijumpai.

Katanya, selepas mendapat maklumat daripada PGA, satu mesyuarat telah diadakan dan arahan telah dikeluarkan kepada pasukan siasatan jenayah dan cawangan khas untuk membuat pengesahan mengenai penemuan berkenaan selain arahan untuk membuka KEP bagi kes tersebut.

“Kita telah memulakan siasatan di peringkat awal, proses siasatan itu adalah sama cuma tidak ada tindakan lanjut oleh kerana kita tidak ada suspek tangkapan.  

“Siasatan diteruskan dan setelah saya sendiri mengetuai team SB, CID dan forensik dan juga sahkan memang ada kubur, saya lapor kepada KP, di sini lah saya serba salah, sebab arahan yang saya terima supaya perkara ini ‘on hold’ dahulu dan tunggu arahan selanjutnya,” tambah beliau.

Rizani turut mengetuai pasukan ke tapak di Wang Burma pada 6 Mac 2015 di mana mereka menggali satu daripada lebih 30 struktur menyerupai kubur untuk mengesahkan ada mayat manusia di dalamnya untuk tujuan pengesahan.

Khamis lalu, Komander PGA, Joeking M. Marian Anthony semasa memberi keterangannya memberitahu panel prosiding yang beliau menerima arahan daripada Timbalan Ketua Polis Negeri untuk menghentikan siasatan dan memusahkan tapak kem yang ditemui pasukan itu pada 19 Januari 2015.

“Saya segera mengarahkan pasukan saya agar berhenti. Kami telah membuat laporan mengenai insiden itu di IPD Padang Besar pada 22 Jan. Kami meninggalkan kubur itu untuk diambil alih oleh IPK (polis negeri), IPD dan forensik,” kata Joeking kepada ahli panel RCI semasa memberi keterangannya.

Timbalan Pengerusi RCI Norian Mai yang juga bekas Ketua Polis Negara turut mengajukan soalan kepada Rizani sama ada beliau pernah dihubungi oleh Bukit Aman.

“Memang saya tidak dihubungi langsung oleh Bukit Aman secara peribadi sama ada oleh Ketua Polis Negara atau Timbalan, ataupun pengarah bahagian bertanya khabar, meminta pandangan ataupun nasihat berhubung perkara ini. Jika ada perkembangan saya akan kemaskinikan kepada Ketua Polis Negeri,” tambah Rizani

Sebelum ini, pihak polis tidak pernah mengakui terdapat masalah mengenai siasatan dan operasi mereka selepas dunia dikejutkan dengan penemuan lebih 100 kubur di daerah kecil sempadan antara Malaysia dan Thailand pada 2015.

Siasatan lambat

Rizani yang kini menjadi Penolong Pengarah Polis D6 - Bahagian Bantuan Teknikal di Bukit Aman juga bersetuju dan mengatakan bahawa tiada arahan dan panduan daripada kepimpinan tertinggi polis menyebabkan kes dikendalikan dengan perlahan walaupun dia secara peribadi percaya bahawa kes itu "mengejutkan" dan perlu ditangani dengan lebih segera.

"Saya percaya, di peringkat kita, Ketua Polis (negeri) dan saya sendiri menunggu arahan dengan kemampuan kekuatan pada Januari 2015 lebih kurang 28 pegawai, 269 anggota iaitu 297 anggota, saya sanggup sekiranya diberi arahan dan ada payung (backup) untuk saya melaksanakan tugas tersebut,” kata beliau.

Beliau turut menjawab soalan Norian yang kelihatan kecewa dengan jawapan saksi-saksi sebelum ini mengenai penyiasatan yang lambat.

Rizani bagaimanapun berkata bahawa reaksi yang lambat itu mungkin kerana kepimpinan tertinggi mahu memelihara hubungan dengan negara jirannya Thailand kerana kes itu agak sensitif.

“Bagi saya kes ini agak besar dan gempar… tetapi tidak tahu kenapa nampak ‘very slow’ tindakan,” tambah Rizani.

Terdahulu itu, Junaidy semasa memberi keterangannya memaklumkan bahawa Rizaini pada 8 Mac mengarahkan kes penemuan satu mayat yang digali bagi proses bedah siasat mengenal punca kematian di kawasan itu diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut.

"Selepas tarikh itu, saya tidak membuat apa-apa siasatan atau tindakan susulan selepas diarahkan berbuat demikian oleh Ketua Polis Daerah sehinggalah dipanggil ke Bukit Aman bertemu Timbalan Ketua Polis Negara pada 11 Mei 2015," katanya.

Sehingga Selasa, seramai 14 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan tujuh panel RCI yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Ariffin Zakaria dengan penubuhannya diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas.

Penubuhan RCI bertujuan mencari kebenaran mengenai penemuan kubur besar pada Mei 2015 yang dipercayai menjadi destinasi terakhir mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh serta sindiket yang didalangi rakyat Thailand dan Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.