Suruhanjaya Siasatan Diraja Akhiri Pendengaran Awam Kubur Besar Wang Kelian

Radzi Razak
2019.06.18
Putrajaya, Malaysia
190618-MY-wangkelian-620.jpg Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja Arifin Zakaria (duduk, kiri) dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya itu Norian Mai bercakap kepada pemberita di Putrajaya, Malaysia, 18 Jun 2019.
(S. Mahfuz/BeritaBenar)

Sebuah suruhanjaya kerajaan yang menyiasat penemuan sejumlah besar kubur mengandungi mayat etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh di kem-kem pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia dan Thailand pada 2015, mengakhiri pendengaran awamnya pada Selasa selepas 48 saksi memberi keterangan dalam 17 hari sejak prosiding dimulakan pada April.

Dalam masa beberapa bulan akan datang, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) itu akan menyediakan laporan mengenai apa yang berlaku di kem-kem berhampiran Wang Kelian, sebuah bandar sempadan di negeri Perlis, demikian diumumkan pengerusinya Arifin Zakaria,

"Kami sudah pun mempunyai lebih atau kurang apa yang ada pada kami, dan saya rasa kami tidak akan memanggil mana-mana saksi lain," kata Arifin kepada pemberita pada Selasa, sehari selepas Khalid Abu Bakar, ketua polis Malaysia ketika penemuan mengerikan dalam hutan itu dilaporkan, memberi keterangannya kepada panel RCI.

"RCI adalah satu daripada kaedah kami untuk menyediakan laporan itu, dengan mengumpulkan maklumat daripada saksi-saksi yang mengetahui tentang apa sebenarnya yang berlaku," kata Arifin, bekas ketua hakim Malaysia.

"Selepas hari ini, kami akan mengadakan beberapa mesyuarat bagi menyediakan laporan dengan syor-syor sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada awal September.”

Menurutnya pihak polis telah memberi kerjasama yang baik untuk membantu panel itu tetapi beliau tidak tahu sama ada laporan itu akan diumumkan kepada orang ramai sebaik sahaja suruhanjaya itu mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Terserahlah kepada budi bicara kerajaan. Kami akan mengemukakan laporan itu kepada para pegawai berkenaan," kata Arifin.

Walaupun panel RCI berpuas hati dengan keterangan-keterangan yang diberikan, namun mereka tidak dapat menyoal saksi-saksi Thailand, katanya.

Kem-kem dan kubur-kubur yang ditemui itu berada dekat sempadan utara dengan Thailand di mana penemuan serupa dikesan pada 2015.

"Saya ingin mendapatkan maklumat daripada saksi-saksi Thailand, tetapi tidak ada kerjasama daripada mereka. Ia agak sukar dan kami tidak mempunyai kuasa untuk memanggil mereka," kata Arifin.

Saksi terakhir, Superintendan Polis Woon Tan Seng memberi keterangan pada Selasa bahawa mangsa dan saksi kejadian itu enggan tampil memberi kerjasama dan ini menghalang siasatan menyeluruh dilakukan, lapor agensi berita nasional, Bernama.

Kematian di kem-kem tersebut mungkin disebabkan oleh penyakit, katanya, memandangkan keadaan di dalam hutan selain kekurangan makanan.

"Beberapa saksi mengakui bahawa mereka telah disebat. Terdapat lebam dan pembalut luka tetapi kecederaan itu, pada pandangan saya, bukanlah punca kematian," katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

139 kubur


Timbalan Pengerusi RCI, Norian Mai, yang juga bekas ketua polis negara, berkata panel itu boleh mencadangkan pihak berkuasa supaya membuka semula siasatan kes itu.

"Bagaimanapun, ini bergantung kepada penemuan dan perbincangan dengan ahli panel yang lain," katanya.

Pada Januari 2015, pihak berkuasa Malaysia menemukan 139 kubur beramai-ramai dan 28 kem-kem yang ditinggalkan di sekitar bukit-bukit berbatu di sepanjang sempadan Thailand di Bukit Wang Burma di Wang Kelian, tetapi hanya mengeluarkan mayat-mayat itu empat bulan kemudian.

Lebih daripada 100 rangka manusia, yang dipercayai etnik minoriti Rohingya Myanmar tanpa kerakyatan, ditemui dalam kubur-kubur itu.

Beberapa rangka itu adalah pendatang tanpa izin dari Bangladesh.

Dalam laporan setebal 121 muka surat yang difailkan pada Mac, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia dan kumpulan aktivis undang-undang Fortify Rights mengkritik kerajaan pada masa itu kerana melengahkan siasatan selain tidak mengambil tindakan terhadap para penyeludup yang mengendalikan kem-kem pemerdagangan manusia tersebut.

Pihak berkuasa di bawah kerajaan terdahulu telah menahan 12 pegawai polis dan beberapa rakyat asing. Bagaimanapun, pada 2017, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita bahawa para pegawai itu telah dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Empat rakyat asing - dua rakyat Myanmar, Bangladesh dan Thailand - disabitkan dengan tuduhan memperdagangkan manusia dan dipenjarakan. Para penyeludup itu nampaknya menawan etnik Rohingya itu serta yang lain di kem-kem tersebut sambil memeras wang tebusan daripada keluarga mereka.

Di Thailand, kerajaan membicarakan 102 orang dan menuduh 62 daripadanya, termasuk bekas ketua tentera tiga berpangkat tiga bintang berhubung pertuduhan berkaitan pemerdagangan manusia susulan penemuan sama di negara itu.

Butiran keterangan

Semasa memberi keterangan pada Isnin, Khalid Abu Bakar, yang berkhidmat sebagai ketua polis negara ketika kem dan kubur itu ditemui pada 19 Januari 2015, mempertahankan tindakan polis yang tidak bertindak lebih pantas selepas penempatan itu ditemui.

"Kami tidak dapat memastikan sama ada lokasinya di Malaysia atau Thailand. Jadi, saya mengarahkan Zul Aznam supaya memastikan dahulu tempatnya kerana kami tidak mahu bertindak di luar sempadan kami, atau ia boleh melanggar undang-undang, "kata Khalid, yang merujuk Ketua Polis Perlis ketika itu, Zul Aznam Haron, yang turut memberi keterangan sebelum ini.

Panel itu sebelum ini mendengan keterangan ketua Batalion 3 Kompeni B Polis Negeri, Joeking M. Marian Anthony, yang memberitahu bahawa beliau dan anggota-anggotanya diarahkan supaya memusnahkan semua gambar yang diambil dari lokasi penemuan itu, menurut laporan media. Ia juga mendengar keterangan anggota pasukan khas, Mat Ten, yang menemui penempatan kem itu pada 19 Januari 2015.

Selain itu, beberapa saksi dari cawangan khas Pasukan Polis memberi keterangan secara tertutup.

Panel RCI, teruamanya Arifin dan Norian, ada kalanya saling berbalas kata dengan saksi terutamanya ketika memberi tumpuan kepada jarak masa kejadian iaitu antara penemuan kem dan laporan mengenai mayat ditemui empat bulan kemudian.

Kerajaan Pakatan Harapan, yang mengambil alih pemerintahan Malaysia selepas memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018, melantik tujuh anggota RCI itu pada Mac kerana mahukan siasatan lebih menyeluruh dan teliti terhadap penemuan kem dan kubur di Wang Kelian berikutan "ramai orang tidak berpuas hati" dengan siasatan yang dijalankan semasa di bawah kerajaan terdahulu.

Semasa Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memperkenalkan anggota panel suruhanjaya itu kira-kira tiga bulan lalu, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan membawa kes Wang Kelian ke tahap tertinggi, dan panel RCI juga akan menyiasat tuduhan-tuduhan berhubung adanya perlindungan yang dberikan semasa penyiasatan terdahulu dijalankan.

Suruhanjaya itu ditubuhkan, katanya pada masa itu, supaya pada masa akan datang "tidak ada sesiapa boleh menyatakan mereka tidak berpuas hati dan mempersoalkan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia."

"Oleh itu, walaupun lewat tetapi ia belum terlambat untuk menyiasatnya secara menyeluruh," kata Muhyiddin.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.