Ancaman Keganasan Terbaru Di Malaysia: Wanita Bertindak Sendirian
2018.07.24
Kuala Lumpur, Malaysia
Penangkapan seorang suspek wanita yang didakwa merancang satu serangan di Kuala Lumpur pada hari Pilihan Raya Umum menunjukkan buat pertama kalinya seorang wanita diberi peranan untuk bertindak sendirian dalam melaksanakan rancangan keganasan yang berkaitan Negara Islam di Malaysia, kata pegawai kanan polis.
Kes itu menampilkan trend terkini kumpulan yang dikenali sebagai Negara Islam (IS) untuk menggunakan wanita sebagai pelaksana operasi medan di negara ini, kata Ayob Khan Mydin Pitchay, ketua cawangan khas anti-pengganas Polis Diraja Malaysia kepada BeritaBenar.
"Sebelum ini, kami mendengar tentang penyertaan wanita dalam IS terutamanya bagi menjalankan tugas yang mudah sama ada pergi ke Syria dan berkahwin dengan anggota kumpulan pengganas ... atau digunakan sebagai orang tengah untuk menyalurkan dana kepada ahli-ahli lain di luar negara," kata Ayob Khan.
"Tetapi kali ini, buat pertama kalinya, kami menahan seorang pelaksana operasi medan wanita yang menerima tugas untuk melakukan serangan secara sendirian di negara ini."
Wanita itu, yang ditangkap pada 9 Mei kerana disyaki merancang untuk mengebom sebuah pusat mengundi di Puchong dengan kenderaan yang dipasang bahan peledak, juga merancang untuk menyasarkan serangan di tempat ibadat bukan Islam dengan bom kereta, katanya.
Wanita berusia 51 tahun itu, yang namanya tidak didedahkan polis kepada pihak media, adalah ibu kepada dua anak dan merupakan pemimpin wanita pertama sel militan pro-IS di Malaysia, kata Ayob Khan.
Suaminya tidak mengetahui tentang kegiatan berkaitan keganasan yang dilakukan suspek, dan wanita itu telah berkomunikasi dengan lebih daripada 600 orang menerusi kumpulan sembang di laman Facebook dan akaun WhatsApp, kata beliau.
Ayob Khan enggan memberitahu berapa ramai yang telah direkrut wanita itu untuk IS, berikutan sensiviti dan integriti siasatan kes itu.
"Wanita yang kami tangkap itu telah berkomunikasi dengan anggota sel IS di Eropah, mengumpul maklumat mengenai cara untuk melaksanakan serangan secara sendirian," katanya tanpa memberikan butiran mengenai lokasi operasi Eropah itu.
Pada satu sidang berita di Kuala Lumpur pada Selasa, Ayob meningkatkan amarannya mengenai ancaman trend baru pengganas dengan wanita melaksanakan peranan utama dalam aktiviti IS.
"Pada masa lalu, kebanyakan wanita telah ditangkap kerana memainkan peranan sekunder sebagai penyokong kepada suami mereka - mengumpul wang, menyebarkan ideologi salafi. Ada yang berjaya pergi ke Syria, "kata Ayob Khan, menurut laporan Channel NewsAsia.
"Kini mereka beralih ke fasa dua. Mereka sudah radikal dan mula mengajak orang lain untuk melakukan serangan di Malaysia, "katanya.
Lebih sukar dikesan
Ahmad el-Muhammady, seorang pakar tentang keganasan yang menasihati polis Malaysia dalam usaha memulihkan mereka yang radikal, mencadangkan pihak berkuasa di Malaysia dan negara jirannya, Indonesia, supaya berwaspada dengan ancaman wanita yang kini memainkan peranan lebih aktif dalam keganasan.
"Mungkin ada lebih ramai wanita yang direkrut sebagai pejuang barisan hadapan tetapi masih belum dapat dikesan," kata Ahmad kepada BeritaBenar, dengan merujuk kepada insiden pengeboman bunuh diri di Indonesia baru-baru ini.
Pada pertengahan Mei lalu, beberapa hari selepas rancangan keganasan dapat digagalkan di Puchong semasa pilihan raya umum Malaysia, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh – termasuk pelakunya - dalam serangan serentak bunuh diri yang dilakukan di dan sekitar Surabaya, Indonesia oleh keseluruhan keluarga termasuk ibu dan anak-anak kecil mereka.
Usaha menghentikan wanita daripada bertindak sebagai pelaksana medan dalam rancangan keganasan IS akan menjadi cabaran kepada pihak berkuasa, kata Ahmad.
Ini kerana militan wanita lebih sukar untuk dikesan dan pada umumnya dilihat sebagai kurang mencurigakan berbanding lelaki, jelas beliau.
Di Malaysia, kira-kira 400 orang termasuk 43 wanita telah ditangkap sejak beberapa tahun lalu kerana disyaki terlibat dengan IS.