Mahkamah Persekutuan benarkan rayuan cabar undang-undang kewarganegaraan anak

Perkara itu diputuskan oleh tiga hakim Mahkamah Persekutuan setelah mendengar hujahan dari peguam ibu-ibu tersebut di Putrajaya pada Rabu.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2022.12.14
Kuala Lumpur
Mahkamah Persekutuan benarkan rayuan cabar undang-undang kewarganegaraan anak Wanita Malaysia yang melahirkan anak di luar negara hadir di Istana Kehakiman bagi menantikan keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan hak warganegara automatik di Putrajaya, 5 Ogos, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah tertinggi Malaysia pada Rabu memberikan kebenaran kepada ibu yang mempunyai anak yang dilahirkan di luar negara dengan suami warga asing untuk mencabar satu peruntukan undang-undang negara itu yang menghalang mereka daripada mewariskan kewarganegaraan kepada anak secara automatik, hak yang hanya diberikan kepada lelaki rakyat Malaysia.

Peguam yang mewakili kumpulan sokongan keluarga Family Frontiers dan enam ibu Malaysia berkenaan berkata mereka mencabar undang-undang berkenaan atas sebab ia mendiskriminasi kaum wanita di negara itu.

"Pada hari ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan tiga persoalan berkaitan dengan tafsiran Perlembagaan Persekutuan.

"Kami amat berterima kasih kepada panel Mahkamah Persekutuan hari ini kerana mendapati bahawa persoalan-persoalan ini cukup serius untuk mewajarkan rayuan kami didengar oleh mahkamah," kata peguam Gurdial Singh Nijar dalam satu sidang media atas talian.

Pada September 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa anak yang dilahirkan wanita Malaysia di luar negara hasil perkahwinan dengan lelaki asing berhak mewariskan kewarganegaraan mereka secara automatik, tetapi penghakiman itu telah diubah Mahkamah Rayuan pada Ogos lalu selepas ia membenarkan rayuan difailkan oleh kerajaan Malaysia.

Susulan daripada itu, Family Frontiers dan enam ibu berkenaan telah memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk membawa rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan, yang merupakan langkah dan harapan terakhir untuk menegakkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang sekaligus akan mendapatkan semua kaum ibu rakyat Malaysia hak yang sama didapati lelaki negara tersebut.

Panel hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim memutuskan untuk membenarkan para plaintif meneruskan rayuan selepas responden yang diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali dan Liew Horng Bin tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan tersebut.

Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang berada dalam panel tersebut adalah Vernon Ong Lam Kiat dan Mary Lim Thiam Suan.

Kebenaran tersebut diberikan oleh Mahkamah Persekutuan membabitkan dua permohonan oleh plaintif berlainan dalam kes yang membabitkan isu yang sama.

Permohonan pertama adalah daripada Family Frontiers dan enam ibu tersebut untuk merayu kes mereka terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kes kedua pula membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun Mahisha Sulaiha Abdul Majeed yang dilahirkan kepada ibu warga Malaysia dan bapa warga India. Wanita tersebut mahu diiktiraf sebagai rakyat Malaysia.

Pada 5 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan majoriti 2-1 telah mengubah penghakiman bersejarah yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September tahun lepas, yang membenarkan wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu dengan membenarkan rayuan oleh kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, dan Ketua Pengarah JPN untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021.

Kes berkenaan bermula selepas Family Frontiers dan enam wanita yang berkahwin dengan warga asing memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan hak untuk anak-anak mereka menjadi rakyat Malaysia.

Diskriminasi jantina

Menurut Gurdial, pihak plaintif dalam hujah mereka berpegang kepada satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi jantina di Malaysia.

"Parlimen Malaysia telah melarang diskriminasi jantina pada tahun 2001 dengan membuat pindaan ke atas Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. Kami telah bergantung kepada peruntukan ini untuk menyokong hujah bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap anak-anak yang dilahirkan kepada wanita Malaysia di luar negara," kata beliau.

"... anak (yang dinafikan hak warganegara) akan menjadi mangsa kepada satu keadaan yang amat buruk. Ia melibatkan keupayaan mereka untuk mendapatkan pendidikan (secara formal), akses kepada kemudahan kesihatan dan banyak lagi faedah sampingan yang lain," tambah Gurdial.

Menurut peguam berkenaan, tarikh untuk rayuan tersebut didengar Mahkamah Persekutuan akan ditentukan kemudian, dan beliau berharap ia akan dapat diadakan secepat mungkin.

Kebenaran meneruskan rayuan itu disambut baik oleh Family Frontiers dan individu yang terkesan dengan isu hak wanita Malaysia untuk mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka.

Family Frontiers dalam satu kenyataan pada Rabu berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu memberikan harapan baru kepada para wanita Malaysia yang telah berjuang untuk mendapatkan hak sama rata dan pengiktirafan undang-undang untuk anak-anak mereka menjadi rakyat Malaysia.

"Ibu-ibu Malaysia ternanti-nanti untuk pendengaran ini dibuat secepat mungkin. Isu ini telah berlarutan sejak sekian lama, dan kita mahu menegaskan mengenai kepentingan untuk penyelesaian kepada ketidakadilan ini dibuat dengan segera; setiap hari yang berlalu memanjangkan lagi kesan buruk diskriminasi ini terhadap wanita warga Malaysia dan anak-anak mereka," kata Suriani Kempe, Presiden Family Frontiers.

Seorang wanita yang mempunyai anak hasil perkahwinan dengan lelaki asing turut mengucapkan tahniah kepada kumpulan itu melalui Twitter.

"Terima kasih atas kerja keras anda Family Frontiers. Sebagai salah seorang ibu yang terkesan, saya cuba untuk kekal tabah dan terus berharap anak saya akan dapat menjadi warganegara Malaysia. Bukan kerana saya seorang wanita Malaysia, tetapi kerana saya juga adalah warga Malaysia walaupun saya seorang wanita. Katakan ya kepada kemajuan," ciap wanita bernama Chris.

Kerajaan ambil tahu

Sementara itu, Suriani memberitahu BenarNews bahawa Family Frontiers sudah membuat permohonan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said bagi membincangkan isu hak mewariskan kewarganegaraan.

"Ya, kami sekarang sedang dalam usaha memohon pertemuan dengan kedua-dua menteri," kata beliau kepada BenarNews.

Azalina pada Isnin berkata bahawa beliau telah bercakap dengan Menteri Dalam Negeri mengenai pindaan perlembagaan bagi membolehkan hak kewarganegaraan diberikan kepada anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara.

"Beliau amat bersimpati, dan pada saya, ia adalah satu petanda baik bahawa beliau faham dan amat cakna. Saya pasti ada langkah diambil oleh Kementerian Dalam Negeri berkenaan isu ini, yang mana saya tidak boleh masuk campur dalam urusan mereka," kata beliau kepada pemberita selepas berucap di Forum Hak Asasi Manusia 2022 di Hotel Royale Chulan.

"Tetapi sudah tentunya kita perlu meminda perlembagaan untuk melaksanakan perkara ini, dan kita memerlukan sokongan dua pertiga iaitu sekurang-kurangnya 148 undi daripada ahli-ahli Parlimen," tambah Azalina.

Kata menteri itu, beliau akan menulis satu kertas Kabinet berkenaan isu tersebut dan Kementerian Dalam Negeri akan mengambil langkah seterusnya sebelum undang-undang tersebut dapat diubahsuai.

BenarNews telah cuba menghubungi Saifuddin Nasution untuk mendapatkan komen namun masih belum menerima sebarang balasan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.