Mahkamah Malaysia batal keputusan beri hak kerakyatan anak lahir di luar negara
2022.08.05
Kuala Lumpur

Sebuah mahkamah Malaysia pada Jumaat memutuskan bahawa kaum ibu negara itu tidak boleh mewariskan kerakyatan mereka kepada anak yang dilahirkan di luar negara, satu penghakiman yang digelar pengkritik sebagai satu diskriminasi terhadap wanita.
Keputusan Mahkamah Rayuan tersebut sekaligus mengubah penghakiman bersejarah yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada September tahun lepas, yang membenarkan wanita Malaysia dengan suami warga asing untuk mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
Lelaki Malaysia tidak menghadapi masalah sedemikian dan menikmati hak untuk mewariskan kerakyatan mereka kepada anak tanpa mengira status isteri dan tempat kelahiran anak.
Dalam keputusan majoriti 2-1, Hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said dan Azizah Nawawi berkata bahawa mereka mengikut prinsip perundangan seperti satu keputusan kes yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun lepas, dan menyatakan bahawa ia adalah tertakluk kepada Parlimen untuk membuat pindaan ke atas perlembagaan negara dan bukan mahkamah.
"Perkataan 'bapa' (di dalam Perlembagaan) menunjukkan bahawa ia adalah hanya untuk 'bapa' dan tidak boleh ditafsir untuk meliputi 'ibu'," kata Kamaludin, seperti dilaporkan media tempatan.
Menurut beliau, Mahkamah Tinggi tidak boleh mengubah apa yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut kehendak sendiri, kerana perbuatan berkenaan boleh menjadi tidak masuk akal.
Kata Kamaludin, mereka yang membentuk peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan akan menggunakan perkataan "parent" (ibubapa) sekiranya mereka merujuk kepada kedua-dua ibu dan bapa, dan menyatakan bahawa penggunaan perkataan "bapa" menunjukkan pilihan jelas untuk merujuk kepada bapa.
Sementara itu, anggota ketiga dalam panel berkenaan, Hakim Nantha Balan dilaporkan berkata bahawa undang-undang tersebut memang bersifat 'mendiskriminasi'.
"Pada pandangan saya, terdapat konflik kerana penggunaan perkataan sedemikian mewujudkan interpretasi bahawa garis keturunan seorang ibu rakyat Malaysia adalah dianggap sebagai lebih rendah daripada garis keturunan bapa, kerana prinsip 'jus sanguinis' (hak darah) tidak terpakai untuk kaum ibu Malaysia bagi mewariskan kerakyatan mereka," kata beliau, seperti dilaporkan media tempatan.
Nantha juga menghuraikan apa yang berlaku terhadap wanita Malaysia itu sebagai sesuatu yang tidak logik, bersifat songsang dan menghina hak dan maruah mereka.
Sementara itu, gerakan Family Frontiers yang memperjuangkan hak kaum wanita dalam isu tersebut berkata bahawa mereka amat kesal dengan penghakiman terbaru itu dan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Ia adalah langkah perundangan terakhir yang boleh diambil dalam melawan kes berkenaan.
Pada tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang memihak kepada kaum wanita Malaysia. Hakim Akhtar Tahir memutuskan bahawa anak yang dilahirkan mereka adalah rakyat Malaysia secara automatik.
Akan tetapi, kerajaan persekutuan telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan walaupun telah diminta untuk tidak berbuat demikian oleh para ibu.
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara, hanya 19 daripada 3,407 permohonan kerakyatan telah diluluskan sejak tahun 2018, menjadikan kadar kelulusan di bawah 1 peratus.
Satu jawapan bertulis oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin di Parlimen pada bulan lepas menyatakan bahawa terdapat sebanyak 22,701 permohonan kerakyatan telah diterima sejak lima tahun lepas, dan 14,000 daripada jumlah itu masih sedang diproses.
Kumpulan ibu yang memfailkan kes tersebut di mahkamah serta para aktivis dilihat mengeluarkan air mata kesedihan ketika bercakap mengenai keputusan mahkamah.
"Keputusan hari ini amat mengecewakan. Lebih lagi kehidupan kami serta anak-anak kami akan terus terkesan oleh interpretasi Perlembagaan Persekutuan yang tidak adil," kata Suriani Kempe, Presiden Family Frontiers.
Bercakap kepada pemberita dalam nada sebak dan menitiskan air mata, Suriani berkata keputusan itu adalah satu "setback" (langkah ke belakang) tetapi kaum wanita "tidak akan terhalang" untuk memperjuangkan hak mereka.
"Kami akan merayu keputusan ini di Mahkamah Persekutuan dan terus menyimpan harapan kepada sistem keadilan negara. Kami berdiri teguh dengan kepercayaan bahawa satu hari nanti kerajaan akan melihat kami wanita dan kaum ibu Malaysia sebagai samarata dan anak-anak kami mempunyai hak untuk menjadi rakyat Malaysia seperti anak yang dilahirkan kepada bapa rakyat Malaysia."
Gurdial Singh Nijar, peguam yang mewakili kumpulan ibu itu berkata, mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa 30 hari.
"Ini adalah satu keputusan yang begitu penting dan oleh itu kami akan meminta Mahkamah Persekutuan supaya mendengar kes ini dengan panel penuh, dan bukan hanya panel tiga hakim. Mungkin tujuh hakim, kerana ini adalah isu yang amat kritikal," kata beliau kepada media.
Diskriminasi
Adeline Adam Teoh, salah seorang ibu yang terkesan dengan isu berkenaan, meluahkan rasa terkejutnya terhadap keputusan mahkamah.
"Saya ingin bertanya, tidakkah setiap rakyat Malaysia mempunyai hak samarata? Mengapa hanya lelaki diberikan hak tetapi hak sama tidak diberi pada wanita rakyat Malaysia?
"Ini adalah tanah tumpah darah kami dan negara kami yang suci, kami rakyat Malaysia dan kami akan terus melawan kes ini di Mahkamah Persekutuan," kata beliau.
Seorang lagi ibu Rachel Ng berkata ia adalah hari yang menyedihkan buat negara.
"Kita telah melangkah satu langkah ke depan tetapi kemudiannya mundur dua langkah. Walaupun saya telah bersedia untuk keputusan seperti ini, tetapi perasaan sakit dan kecewa tetap amat terasa," kata ibu dua anak itu di media sosial.
Anak bongsu Ng adalah rakyat Malaysia kerana dilahirkan di Malaysia, tetapi anak sulungnya tidak mendapat hak sama kerana dilahirkan di luar negara. Ng khuatir sekiranya masalah kerakyatan itu tidak diselesaikan segera, ia akan memecahbelahkan keluarganya kerana anak sulungnya akan terpaksa meninggalkan negara itu satu hari nanti.
"Sebagai seorang ibu, ini kerisauan saya. Saya kembali ke Malaysia sudah cukup untuk menunjukkan bahawa saya ingin berada di sini dan saya mahu anak lelaki saya di sini juga. Ramai yang bertanya kenapa saya masih mahu menjadi rakyat Malaysia sedangkan saya boleh memilih untuk duduk di luar negara untuk kehidupan lebih selesa dan baik.
"Jawapan saya ialah kerana saya sayangkan Malaysia. Ini negara saya. Saya juga menyumbang kepada negara ini sama seperti lelaki Malaysia," kata beliau kepada BenarNews.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.