Wanita Malaysia Menang Kes Cabar Undang-Undang Diskriminasi Pewarisan Hak Kerakyatan

Hadi Azmi & Muzliza Mustafa
2021.09.09
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Wanita Malaysia Menang Kes Cabar Undang-Undang Diskriminasi Pewarisan Hak Kerakyatan Sekumpulan wanita yang mencabar undang-undang yang melarang wanita Malaysia mewariskan kerakyatan mereka kepada anak yang dilahirkan di luar negara di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 27 April 2021.
[Photo edaran Family Frontiers/AFP]

KEMASKINI pada 10.45 malam waktu tempatan ETS - 2021-09-09

Enam ibu rakyat Malaysia pada Khamis melakar sejarah apabila menang dalam kes mencabar undang-undang yang didakwa mendiskriminasi wanita negara itu dengan menghalang mereka daripada mewariskan kerakyatan kepada anak yang dilahirkan di luar negara.

Kumpulan wanita itu telah mencabar klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang didakwa secara tidak langsung menyatakan bahawa anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak layak memperoleh kerakyatan Malaysia.

Seorang hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa mereka menjadi mangsa diskriminasi jantina kerana peraturan itu tidak terpakai terhadap lelaki Malaysia yang berada dalam situasi serupa.

"Rasa tidak puas hati plaintif adalah benar… diskriminasi adalah jelas," kata Hakim Akhtar Tahir ketika membacakan penghakiman beliau pada prosiding mahkamah yang diadakan secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa "setiap orang yang dilahirkan di luar Persekutuan ... yang bapanya adalah warganegara pada masa kelahiran adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang." Perkataan ‘bapa’ mesti dibaca dan difahami turut merangkumi ibu, kata Akhtar.

Malaysia adalah antara dua puluh lebih negara yang tidak memberikan hak sama kepada ibu dan bapa di bawah undang-undang berkaitan kerakyatan negara itu.

Sama ada kerajaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu belum diketahui dan usaha mendapatkan komen peguam yang mewakili kerajaan dan para pegawai gagal kerana mereka tidak dapat dihubungi.

Plaintif Menitis Air Mata Gembira

Myra Eliza Mohd Danil, seorang daripada enam plaintif, berkata beliau amat gembira dengan keputusan mahkamah.

"Apabila hakim mengumumkan keputusannya, kami semua menangis. Kami sudah lama menunggu saat ini," katanya kepada BenarNews. “Saya tak sabar untuk pulang ke rumah dan memberitahu anak perempuan saya bahawa dia juga rakyat Malaysia sama seperti adik lelakinya."

Myra berkahwin dengan seorang lelaki warga Zambia yang dikenalinya ketika menuntut di sebuah universiti di Malaysia.

Anak perempuan mereka tidak mendapat kerakyatan Malaysia selepas dilahirkan di Zambia, tidak seperti anak lelaki pasangan itu yang dilahirkan di Malaysia dua tahun kemudian.

Family Frontiers, kumpulan sokongan keluarga yang mengetuai usaha mencabar undang-undang tersebut, menyifatkan keputusan hakim sebagai peristiwa bersejarah dalam perjuangan mereka.

"Kami amat bersyukur dengan keputusan ini. Ia adalah satu kelegaan besar kepada para ibu kerana penghakiman tersebut bukan sahaja terpakai kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam kes ini sebagai plaintif malah turut terpakai kepada semua wanita Malaysia yang berdepan isu sama," kata Suri Kempe, Presiden Family Frontiers.

Beliau berkata keputusan itu mengiktiraf hak kesamarataan wanita dan membawa Malaysia ke hadapan dalam mengamalkan egalitarian, atau konsep hak sama rata, serta keadilan.

Kesemua plaintif telah memfailkan saman pemula berhubung perkara itu di mahkamah dengan bantuan Family Frontiers pada Disember 2020.

Sebelum ini, mahkamah itu telah menolak permohonan Peguam Negara untuk membatalkan kes tersebut atas alasan bahawa ia adalah sesuatu yang remeh.

“Dalam kes ini, wujud diskriminasi yang jelas terhadap ibu dan bapa anak berkenaan namun tidak ada justifikasi untuk diskriminasi itu. Kes ini bukan sesuatu yang remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah. Justeru, saya menolak permohonan pembatalan ini,” kata Akhtar dalam penghakimannya pada Mei lepas ketika memutuskan untuk mendengar kes itu.

Menteri, Peguam Puji Keputusan Mahkamah

Peguam yang mewakili keenam-enam plaintif berkata dalam penghakimannya, hakim telah memutuskan bahawa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kerakyatan hendaklah dibaca bersama dengan Perkara 8(2). Klausa itu telah dipinda pada 2001 untuk memasukkan bahagian berkaitan larangan terhadap diskriminasi jantina.

Joshua Andran, seorang daripada peguam plaintif, memuji keputusan hakim untuk mentafsir Perlembagaan berhubung isu itu berdasarkan situasi semasa.

"Pada era ini, diskriminasi terhadap wanita terutama dalam isu asas seperti kerakyatan, tidak boleh dibenarkan berlanjutan," kata beliau sambil menambah penghakiman pada Khamis menunjukkan usaha negara dalam mempromosi hak sama rata antara lelaki dan wanita Malaysia.

"Para ibu, dan wanita secara keseluruhannya, telah dihutang perkara ini selama hampir 20 tahun dan hari ini, mereka diberikan penghormatan bukan sekadar dengan perkataan dan isyarat tetapi dalam terma yang pragmatik," kata Joshua kepada BenarNews.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata keputusan itu mencerminkan interpretasi Perlembagaan secara keseluruhan dan bukan sekadar berdasarkan klausa tertentu.

"Saya percaya bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dibaca secara berasingan. Ia perlu dibaca bersekali dengan peruntukan lain yang berkaitan dengan sesuatu subjek," kata Wan Junaidi kepada BenarNews.

"Para hakim mesti berani untuk membuat pertimbangan yang waras dan harmoni. Sebarang peruntukan yang bersifat mendiskriminasi hendaklah diterjemah secara harmoni dengan prinsip asas, dan sebarang perkara yang tidak konsisten mesti diketepikan melalui interpretasi harmoni," kata menteri itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.