Koronavirus: Mahkamah Malaysia Dakwa Wartawan Sebar Berita Tidak Sahih

Nisha David & Hadi Azmi
2020.02.05
Kuala Lumpur, Malaysia
200205-MY-Koronavirus-Wartawan1000.jpg Pegawai kesihatan menolak seorang wanita berkerusi roda untuk menaiki sebuah bus setibanya beliau bersama puluhan lagi rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Wuhan, China melalui misi penerbangan kemanusiaan kerajaan Malaysia, 4 Febuari, 2020.
[Gambar oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui AP]

Seorang wartawan Malaysia didakwa pada Rabu atas pertuduhan menyebarkan maklumat palsu tentang novel koronavirus melalui media sosial, dengan Peguam Negara meminta kuasa undang-undang diperluas untuk menghentikan "desas-desus khabar angin" semasa kecemasan kesihatan global.

Wan Noor Hayati Wan Alias, seorang wartawan yang berkhidmat di Berita Harian, akhbar berbahasa Melayu, adalah ahli media pertama negara yang dihadapkan ke mahkamah bersabit dengan penyebaran informasi palsu serta didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu melalui tiga siaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, ‘Ibu Yati’ secara sedar pada 26 Jan.  Dia boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Wan Noor Hayati mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu dihadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin yang kemudiannya menetapkan jaminan RM4,000 (AS$971.46) dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dengan menetapkan 11 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Wan Noor Hayati yang tidak diwakili peguam menjelaskan kesemua wang jaminan pada hari yang sama. Beliau bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk ulasan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak menawarkan sebarang jaminan, dengan tertuduh sendiri meminta jaminan dikurangkan.

Semua muat-naik di laman media sosial wartawan itu telahpun dikeluarkan dan tidak jelas sama ada mempunyai kaitan dengan kewartawanannya.

Menurut Malaysiakini, sebuah penerbitan portal berita tempatan, polis berkongsi tangkapan skrin salah satu hantarannya yang ditujukan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dari etnik minoriti Cina Malaysia.

"Pagi ini, berita kata 1,000 orang dari China tiba di Pulau Pinang ... agaknya kalau LGE kena baru darurat ke? hantaran dilaman media sosial yang ditulis dalam Bahasa Melayu.

Mengulas lanjut mengenai pertuduhan kes itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memberi amaran supaya semua pihak menghentikan segera penyebaran dan perkongsian berita tidak sahih mengenai penularan koronavirus di negara itu, atau berhadapan tindakan undang-undang.

Menurut Abdul Hamid, perbuatan tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu mengenai koronavirus boleh mengundang rasa panik dan takut di kalangan rakyat.

“Tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada rakyat kerana ia mampu menganggu-gugat keharmonian negara. Polis memandang serius perbuatan pihak yang menyebarkan berita tidak sahih serta tindakan tegas dan segera akan diambil bagi membendung perkara itu,” katanya dalam satu majlis di Melaka, pada Rabu seperti dilaporkan agensi berita nasional Bernama.

Abdul Hamid dipetik berkata mereka yang ditahan kerana menyebarkan berita tidak sahih mengenai 2019-nCoV akan didakwa seberapa segera yang boleh.

Menurut Bernama sehingga Rabu, sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan isu koronavirus menerusi laman media sosial dan tiga daripadanya sudah mendapat kelulusan untuk dituduh di mahkamah.

Sementara itu, Peguam Negara Tommy Thomas dalam satu kenyataan pada hari yang sama berkata adalah penting untuk menghentikan tindakan yang boleh mengakibatkan panik dalam masyarakat ketika wabak berlaku bagi membolehkan pihak berkuasa memberikan maklumat yang lengkap dan pantas kepada rakyat supaya dapat berdepan krisis dengan tenang.

Beliau berkata atas kepentingan negara, individu yang memulakan atau menyebarkan pembohongan berhubung sebarang isu yang berkaitan dengan wabak itu akan disiasat dan dikenakan tindakan jika ada kes.

"Tiada kebebasan mutlak dalam mana-mana masyarakat pada bila-bila masa dalam sejarah. Perlembagaan menjamin kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat manakala jaminan untuk tidak menapis internet yang dinyatakan mengikut seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tidak memberikan lesen untuk menyebarkan pembohongan," katanya.

12 kes koronavirus

Sehingga Rabu, wabak virus yang bermula di bandar Wuhan, China telah mengatasi lebih 24,500 kes di 24 daerah - dan kebanyakannya tertumpu di China, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wabak itu sehingga kini menyebabkan hampir 500 kematian di China dan satu kematian di Filipina dengan Malaysia merekodkan dua lagi kes terbaru jangkitan koronavirus menjadikan jumlah keseluruhan 12 kes hingga Rabu.

Dua kes itu melibatkan dua rakyat Malaysia iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun dan anaknya berusia sembilan tahun.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kedua-duanya dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan yang tiba pada Selasa.

Katanya, dua beranak itu sudah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk menerima rawatan selanjutnya.

“Manakala, ahli keluarga yang bersama mereka iaitu isteri lelaki tersebut dan seorang lagi anaknya negatif virus,” katanya.

Pecahan terbaru mereka yang dijangkiti virus koronavirus ialah tiga rakyat tempatan dan sembilan warga China.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.