Kumpulan wartawan kanan dan pemerhati bidas tindakan kerajaan sekat media

Ili Shazwani Ihsan & Nisha David
2023.08.29
Kuala Lumpur
Kumpulan wartawan kanan dan pemerhati bidas tindakan kerajaan sekat media Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertemu dengan media di luar Istana Negara di Kuala Lumpur, 22 November, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Wartawan kanan dan pemerhati mendakwa bahawa badan pengawal selia multimedia di Malaysia telah mengenakan kawalan yang keterlaluan ke atas pihak media ekoran sekatan yang dikenakan terhadap tiga laman sesawang portal penerbitan berikutan kandungan penyiarannya yang dianggap sensitif atau kritikal terhadap kerajaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagaimanapun menafikannya sambal menegaskan yang tindakan tersebut merupakan tugas badan kawal selia itu dalam memastikan tiada pihak menyebarkan berita palsu atau kandungan berunsur fitnah.

Namun, kumpulan lapan bekas wartawan kanan dan pemerhati itu berkata tindakan SKMM menyekat kandungan dalam talian langsung tidak boleh diterima.

“…sejak akhir-akhir ini pengamal media telah dipanggil oleh SKMM untuk memberi penjelasan mengenai kandungan portal berita dan laman dalam talian mereka.

“dan apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai "menyinggung” itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan,” demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan kumpulan tersebut pada Selasa.

Kelapan mereka adalah Johan Jaaffar yang merupakan bekas pengerusi Media Prima, A Kadir Jasin yang juga bekas ketua pengarang Kumpulan Akhbar New Straits Times, pemilik Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd Hussamuddin Yaacob, bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Chamil Wariya, Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab yang merupakan bekas ketua pengarang Bernama serta G Manimaran, seorang penganalisi politik yang juga bekas pengarang.

Kumpulan wartawan kanan itu juga berkata tindakan yang dilakukan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dengan menggunakan agensi seperti SKMM untuk menyekat media tidak ubah seperti kerajaan-kerajaan terdahulu.

“Kita telah melihat bagaimana kerajaan-kerajaan terdahulu, walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, telah diambil tindakan dengan pantas walaupun tindakan seumpama itu tidak perlu sama sekali,” menurut mereka.

Kumpulan tersebut dalam masa yang sama mengingatkan bahawa kerajaan masa kini telah dipilih oleh rakyat berdasarkan janji yang dibuat oleh pemimpin sebelum menakluk Putrajaya yang mana antaranya adalah menjamin kebebasan media selain membolehkan pengaliran maklumat yang bebas.

Namun begitu, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila menurut mereka, aduan daripada para pengamal media berkenaan sekatan ke atas laman web semakin meningkat dan merupakan ‘trend’ yang tidak sihat dan kerajaan digesa untuk menghentikannya serta merta.

Mengakui hakikat internet digunakan sebagai platform untuk mencetuskan kebencian dan penyebaran maklumat palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab, kumpulan itu juga percaya bahawa pengamal media adalah individu berdisiplin yang melaksanakan tugas berpandukan profesionalisme dan etika.

“Kami mengakui bahawa maklumat salah dan berita palsu sudah sampai pada tahap krisis. Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini.

“Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih.,” kata kenyataan bersama mereka.

Pada 18 Ogos, BenarNews melaporkan SKMM telah menyekat akses pengguna Internet negara itu terhadap sebuah portal berita, TV Pertiwi yang sebelum ini lantang bersuara mengenai isu Islam dan LGBT, berikutan dakwaan yang mengatakan portal tersebut terlibat dalam penyebaran berita palsu.

Manakala pada awal Ogos portal UtusanTV tidak dapat diakses oleh orang awam dengan notis “laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara.”

Namun sekatan itu telah ditarik balik.

Sebelum itu, portal MalaysiaNow yang dikatakan propembangkang turut disekat selama 48 jam pada Jun, menurut media tersebut.

Pada 9 Ogos media tempatan melaporkan yang Fahmi menafikan pejabatnya telah mengeluarkan arahan untuk menyekat mana-mana portal berita di Malaysia.

Terbaharu, TV AlHijrah, sebuah saluran penyiaran Islam kerajaan turut mendapat perhatian kerana menyiarkan semula rancangan realiti dari awal 2022 yang memaparkan kehadiran seorang pemimpin PAS yang pernah menjadi menteri hal ehwal Islam.

Tindakan bertanggungjawab

SKMM dalam membidas kenyataan yang dikeluarkan kumpulan wartawan terbabit menjelaskan bahawa segala tindakan yang diambil berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Ia adalah antara usaha memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau cubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia, termasuklah penyebaran berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.

“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat.

“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya,”demikian menurut komunikasi korporat suruhanjaya tersebut menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada hari yang sama.

Jelasnya lagi, senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat.

Sehubungan dengan itu, SKMM mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berbangkit.

“Bagi memerangi isu ini, SKMM kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat,” katanya.

Lebih terbuka

Sementara itu, seorang pensyarah kanan di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia Azahar Kasim berpendapat yang SKMM harus kekal sebagai badan berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana parti mahupun kerajaan ketika membuat sebarang keputusan dari segi perundangan.

Katanya, kerajaan perlu bersikap lebih terbuka dalam menerima sebarang kritikan dan SKMM tidak seharusnya menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak apabila ianya menyampaikan berita yang sahih namun berunsur kritikal dan sensitif terhadap kerajaan.

“SKMM ada kuasa untuk ambil tindakan atau sekat mana-mana portal berita atas talian, namun begitu ianya haruslah dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan – hanya jika kandungan berita tersebut berunsur fitnah, palsu dan sebagainya,” kata beliau sambil menyarankan supaya sebuah badan yang dianggotai ahli media professional ditubuhkan bagi mengawal selia kandungan siaran berita dan bertindak sebagai orang tengah antara SKMM dan media.

Beliau memetik contoh Dewan Pers yang dipraktikkan di Indonesia di mana badan tersebut berfungsi sebagai pengawal selia atau “gatekeeper” yang memantau kandungan disiarkan sebelum menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya ke atas mereka yang melanggar garis panduan yang ditetapkan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.