Penahanan wartawan Malaysia cetus kebimbangan terhadap kebebasan media
2025.03.11
Kuala Lumpur

Penahanan seorang wartawan Malaysia pada minggu lalu atas dakwaan rasuah membangkitkan kebimbangan pertubuhan media bahawa ia satu bentuk gangguan kepada kebebasan akhbar di negara ini.
Ketika pihak berkuasa menganggap penahanan wartawan B. Nantha Kumar sebagai kes rasuah biasa, kesatuan sekerja dan kumpulan kebebasan media khuatir beliau ‘diperangkap’ sebagai tindak balas terhadap laporan penyiasatannya mengenai pemerdagangan manusia.
Nantha, seorang wartawan penyiasatan portal berita bebas Malaysiakini telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 Februari dalam satu operasi perangkap.
“Ia adalah satu perangkap. Ia sangat jelas apabila saya melihat pegawai SPRM datang untuk menangkap saya,” kata Nantha kepada BenarNews.
“Saya tahu ini adalah salah satu risiko yang mungkin berlaku ketika saya mula mengumpulkan maklumat laporan ini. Jadi apabila ia berlaku, saya tenang kerana tidak ada apa yang hendak disembunyikan.”
Agensi anti-rasuah itu menyiasatnya atas dakwaan meminta rasuah sebanyak RM100,000 (AS$22,600) daripada seorang ejen perkhidmatan imigresen sebagai balasan untuk tidak menerbitkan dua artikel berita mengenai aktiviti sindiket itu.
Pada masa itu, SPRM mendakwa beliau telah menerima RM20,000 (AS$4,500) di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor sebelum pegawai-pegawai suruhanjaya itu menyerbu dan menangkapnya di tempat kejadian.
Namun Nantha yang telah lama membuat laporan mengenai jenayah terancang dan rasuah dalam sistem buruh migran Malaysia menegaskan beliau telah diperangkap.
Dalam penjelasan mengenai kisah di sebalik penahanannya yang diterbitkan Malaysiakini, Nantha berkata seorang ejen Pakistan yang disebut dalam artikelnya sebelum ini telah menghubunginya untuk menafikan bahawa beliau terlibat dalam sindiket pekerja asing.
Ketika Nantha bertemu ejen tersebut bersama seorang rakan, mereka menawarkan imbuhan RM50,000 (AS$11,332) untuk "menyelesaikan" isu tersebut, tetapi beliau menolaknya.
Apabila perkara itu dimaklumkan kepada seorang pengarah imigresen negeri, beliau dinasihatkan agar mendapatkan bukti lebih kukuh dengan terus berhubung dengan ejen-ejen tersebut.
Nantha akhirnya bersetuju untuk bertindak sebagai "ejen penyamar" namun beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada Malaysiakini kerana bimbang editornya mungkin menghentikan penyamaran itu kerana ia berisiko tinggi.
Beliau kemudian bertemu semula dengan ejen tersebut di sebuah hotel di Shah Alam, di mana beliau diberikan sampul surat yang dipercayainya mengandungi wang.

Dalam temu bual dengan BenarNews, Nantha berkata beliau mengambil sampul surat tersebut walaupun mengetahui ia mengandungi wang kerana menganggapnya sebagai bukti.
Beliau bercadang mahu menyerahkan sampul surat itu kepada pengarah imigresen tetapi secara tiba-tiba diserbu oleh pegawai SPRM.
Ditahan dalam sel kecil
Menceritakan pengalamannya dalam tahanan, Nantha berkata, beliau dimasukkan dalam sel kecil dengan lampu tiub yang terang dan dibiarkan menyala 24 jam setiap hari hingga menyebabkannya sukar untuk tidur.
Sesi soal siasat ke atasnya berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari sehingga beliau dibebaskan pada 4 Mac selepas pegawai eksekutif Malaysiakini membayar wang ikat jamin.
Dalam pada itu, SPRM menafikan sebarang motif tersembunyi di sebalik kes tersebut.
Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki dalam sidang media pada 1 Mac lalu menegaskan bahawa penahanan Nantha tidak mempunyai kaitan dengan laporannya mengenai sindiket pemerdagangan migran.
“Wartawan itu ditahan bagi disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana meminta dan menerima rasuah,” kata Azam seperti dilaporkan.
BenarNews telah menghubungi Azam untuk mendapatkan ulasan dan pengesahan sama ada agensi itu telah membuka kertas siasatan terhadap ejen Pakistan berkenaan namun masih belum menerima sebarang maklum balas.

Intimidasi terhadap wartawan
Kes penahanan Nantha mencetuskan reaksi kuat daripada kumpulan kebebasan media yang mengatakan ia mencerminkan corak penggunaan undang-undang sebagai satu bentuk intimidasi bagi menutup mulut wartawan yang bersikap kritikal.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) dalam kenyataannya pada Isnin turut memberikan sokongan kepada Nantha dengan menggesa pihak berkuasa menyiasat percubaan memberikan suapan berbanding menyasarkan wartawan.
“Kebebasan media mesti dipertahankan dan wartawan tidak boleh dilayan seperti penjenayah kerana membongkar salah laku,” kata Setiausaha Agung NUJM, Teh Athira Mohd Yusof.
Radzi Razak, jurucakap Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata dakwaan terhadap Nantha menunjukkan betapa terdedahnya wartawan Malaysia kepada risiko dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Hakikatnya wartawan masih boleh dikenakan tindakan undang-undang atau gangguan kerana menjalankan tugas. Perkara ini menimbulkan kebimbangan serius tentang kebebasan media dan hak untuk melaporkan tanpa rasa takut,” kata Radzi kepada BenarNews.
“Pihak berkuasa mesti memastikan sebarang siasatan dijalankan secara telus dan adil tanpa tekanan tidak wajar atau usaha untuk menutup laporan kritikal.”
Editor eksekutif Malaysiakini, R.K. Anand turut menyifatkan dakwaan terhadap Nantha sebagai “sukar difahami” jika diteliti dari segi rekod beliau dalam kewartawanan penyiasatan.
Pihak pengurusan portal berita itu telah melakukan semakan dalaman tetapi menegaskan bahawa wartawan tersebut secara konsisten membongkar kegiatan rasuah dan jenayah terancang dengan berdepan risiko peribadi yang besar.
Penyelaras Program Asia bagi Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), Beh Lih Yi berkata kerajaan mesti menjelaskan sama ada dakwaan rasuah itu berkaitan dengan laporan Nantha mengenai pemerdagangan migran atau sebaliknya.
“Kami amat bimbang dengan laporan mengatakan beliau mungkin telah diperangkap,” kata Beh kepada BenarNews.
“Wartawan Malaysia mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka dalam mendedahkan salah laku dan rasuah.
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya yang menduduki kekuasaan melalui platform reformasi, mesti menunaikan janji mereka dalam melindungi kebebasan media.”
Kedudukan kebebasan media Malaysia telah merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Negara ini jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders.
Bilik berita bebas seperti Malaysiakini telah lama berdepan gangguan undang-undang, menurut laporan tempatan, termasuk saman fitnah dan serbuan oleh pihak berkuasa.

Kumpulan kebebasan media tetap berpendapat bahawa kes ini selari dengan corak yang lebih luas di mana kerajaan di seluruh dunia menggunakan pertuduhan jenayah untuk menjejaskan kredibiliti wartawan penyiasatan.
Mereka menegaskan bahawa taktik yang sama seperti tuduhan pengelakan cukai atau konspirasi digunakan untuk menutup mulut wartawan oleh rejim autoritarian.
“Terdapat kerajaan menggunakan tuduhan tidak berasas ini untuk mencemarkan reputasi wartawan dan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap laporan mereka,” kata Beh daripada CPJ.
“Penahanan Nantha selari dengan corak ini.”
Bagi Nantha, pengalaman getir yang dilaluinya itu menguatkan lagi semangat beliau untuk membongkar isu rasuah.
"Ada orang tanya, tak bimbang ke pasal keselamatan keluarga? Sebab bimbang pasal masa depan merekalah saya kena berani membongkar kerosakan dalam sistem.
"Keluarga mungkin tidak faham. Mereka minta saya berhenti menjadi Rajinikanth," katanya merujuk kepada figura hero filem Tamil terkenal yang menentang rasuah.
“Kalau bukan kita [wartawan] siapa lagi?” katanya.
“Kewartawanan bukan satu jenayah.”