Follow us

Malaysia Lancar Pelan Lima Tahun Tangani Masalah Perkahwinan Bawah Umur

Hadi Azmi & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-01-16
E-mel
Komen
Share
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Wan Azizah Wan Ismail bersama dua remaja semasa merasmikan Buku Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya, 16 Januari 2020.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Wan Azizah Wan Ismail bersama dua remaja semasa merasmikan Buku Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya, 16 Januari 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Khamis melancarkan pelan lima tahun selepas mengenaipasti enam punca berlakunya perkahwinan bawah umur, sambil mengakui untuk mengubah undang-undang serta adat berhubung masalah tersebut akan mengambil masa yang panjang.

Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail berkata sehubungan itu pelan berkenaan mengariskan usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan terhadap pendidikan seks, hak kanak-kanak, kesan negatif perkahwinan bawah umur serta penambahbaikan sistem perundangan.

“Pelan strategi ini amat diperlukan sementara menunggu perubahan daripada aspek perundangan yang memakan masa. Kita percaya jika kesemua punca yang dikenalpasti ini dapat ditangani, maka di masa akan datang masalah perkahwinan bawah umur dapat dibendung,” kata Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat di Putrajaya pada Khamis.

Beliau berkata enam punca juga dikenal-pasti menjurus kepada berlakunya perkahwinan bawah umur iaitu kemiskinan, kurangnya kemahiran keibubapaan, masalah pendidikan, stigma masyarakat yang memilih perkahwinan sebagai jalan penyelesaian masalah sosial, undang-undang yang longgar serta masalah dalam penyelarasan data perkahwinan dan perceraian.

Katanya pelan yang diperkenalkan kerajaan itu merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program dirangka untuk tempoh lima tahun antara lain memastikan bahawa perkahwinan bawah umur 18 tahun dapat dicegah dengan meminda Undang-Undang Keluarga Islam.

Selain itu katanya, Akta Orang Asli 1954, Ordinan Deklarasi Undang Adat 1996, Ordinan Majlis Adat Istiadat1997, Ordinan Mahkamah Adat 1992, Adat Iban 1993, Adat Bidayuh 1994, Adat Kayan-Kenyah 1994, Adat Bisaya 2004, Adat Lun Bawang 2004, Adat Kelabit 2008 dan Adat Penan 2011 juga termasuk dalam pindaan undang-undang yang mahu dibuat kerajaan.

Pelan lima tahun yang dibangunkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat serta 61 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan termasuk Agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia.

“Antara program yang terlibat adalah memperkukuh program sokongan sosio-ekonomi dan outreach sedia ada, usaha menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kanak-kanak perempuan, menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif diri yang mesra kanak-kanak dan remaja, menawarkan pendidikan TVET dan kemahiran kepada kanak-kanak/belia yang telah tercicir daripada pendidikan serta memantapkan data perkahwinan dan perceraian (orang Islam dan bukan Islam) termasuk di bawah umur 18 tahun,” kata beliau.

Enakmen Keluarga Islam

Menurut laporan UNICEF yang dirangka oleh Noor Aziah Mohd Awal, professor dari Universiti Kebangsaan Malaysia dua tahun lalu bersama rakannya Mohd Al Adib Samuri, seramai 15,000 gadis berusia bawah 15 tahun telah dikahwinkan dalam tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 2005 sehingga 2015, dengan sebanyak 5,215 kes melibatkan individu bukan Islam.

“Bagi kanak-kanak beragama Islam, Jabatan Perundangan Syariah merekodkan sebanyak 6,584 kes perkahwinan kanak-kanak bawah umur dilaporkan antara tahun 2011 dan Oktober 2016.

“Menurut bancian orang asli bagi tahun 2010 pula, seramai 196 anak-anak orang asli bawah umur berkahwin sepanjang tahun itu,” demikian menurut laporan tersebut.

Noor Aziah kini merupakan Pesuruhjaya Hal-Ehwal Kanak-Kanak bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Mengikut sistem persekutuan negara yang diamalkan di Malaysia, hal perkahwinan tertakluk di bawah bidang kerajaan negeri yang juga berkuasa dalam hal-hal berkaitan agama Islam.

Sehingga Nov, enam buah negeri iaitu Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak, dan Terengganu tidak bersetuju untuk meminda undang-undang negeri berkaitan had umur perkahwinan bagi orang Islam dan kaum pribumi.

Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka, Perak dan Kedah mengumumkan setuju untuk meminda undang-undang negeri masing-masing berhubung perkara berkenaan.

Wan Azizah beberapa bulan lepas memberitahu Parlimen yang kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.

Draf itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 [Akta 303] dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam Malaysia yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi perempuan adalah 16 tahun.

Andainya pasangan yang ingin berkahwin berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah.

Bagaimanapun beberapa pakar kanak-kanak di Malaysia melihat penyelarasan had umur minimum perkahwinan bagi orang Islam kepada 18 tahun boleh menangani kesan negatif membabitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak itu sendiri.

Noor Aziah semasa ditemui BeritaBenar berkata jika kerajaan hanya menaikkan had umur perkahwinan dan bukan pengharaman mutlak masalah perundangan boleh berlaku pada masa akan datang.

“Antara masalahnya adalah “double jeopardy” yang merujuk kepada falsafah perundangan di mana seseorang individu tidak boleh disabitkan dengan penghakiman berganda untuk satu kesalahan yang sama.

“Memandangkan terdapat individu-individu yang berkahwin bawah umur dengan mendapat kebenaran mahkamah, mahkamah yang sama tidak boleh mensabitkan mereka untuk kesalahan tersebut,” jelas Pesuruhjaya Suhakam itu lagi.

Beliau bagaimanapun berharap pelan bersepadu kementerian itu dapat mengurangkan jumlah perkahwinan bawah umur di Malaysia.

Lihat Laman Penuh