Aktivis Sivil Harapkan Malaysia Lebih Baik Pada 2017

Shuman Vasu
2016.12.30
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161230-my-wishlist-620.jpg Sekumpulan peguam Malaysia memegang spanduk semasa berhimpun untuk meminta supaya Akta Hasutan dimansuhkan, di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 16 Oktober 2014.
AFP

ktivis sivil mengharapkan Malaysia diberi sinar baru pada 2017, selepas mengharungi tahun 2016 yang memeritkan dengan negara dihimpit skandal kewangan terbesar, berleluasanya kes rasuah dan penahanan ramai pemimpin sivil hingga mendapat liputan antarabangsa, termasuk sekatan media di negara itu.

BeritaBenar menemu bual beberapa pemimpin dan aktivis gerakan sivil untuk mengetahui harapan mereka bagi 2017, dengan mereka rata-rata mengharapkan Malaysia bebas daripada rasuah, pemimpin ikhlas berkhidmat dan mempunyai integriti tinggi selain tidak memandang rendah kepada kebebasan bersuara.

Presiden Transparency International - Malaysia Akhbar Satar mahu melihat lebih banyak pemimpin negara mempunyai integriti kepimpinan melalui teladan yang tinggi.

"Malaysia juga memerlukan lebih ramai pemimpin politik yang ikhlas dalam memerangi rasuah," katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Shamini Darshni pula mahu melihat kerajaan dan pihak berkuasa tidak ‘menyalahgunakan undang-undang’ dalam bertindak terhadap kebebasan bersuara dan hak asasi manusia sepanjang tahun depan.

"Saya menunggu untuk melihat ‘ruang masyarakat awam’ diperluaskan dengan membolehkan pelbagai pandangan dapat dibuat secara sihat dan bijak perbahasannya selain perbincangan boleh berlaku tanpa perlu ada rasa takut tentang dikenakan tindakan," katanya kepada BeritaBenar.

Ini kerana, tahun 2016  menyaksikan ramai aktivis dan pengkritik kerajaan ditahan pihak berkuasa yang mahu menyekat kebebasan bersuara, termasuklah penahanan Maria Chin Abdullah yang menerajui gabungan Bersih, selama 10 hari di bawah satu undang-undang keselamatan negara yang ketat hinggakan menerima kritikan dunia.

Selain Maria, kartunis satira negara Zunar juga ditahan beberapa kali hanya kerana lakaran kartunnya menyindir pemerintah dan pentadbiran negara, dengan semua karyanya termasuk buku dirampas.

Pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 itu kini menghadapi sembilan tuduhan hasutan kerana didakwa menghina badan kehakiman melalui tweet yang dimuat naiknya mengenai sabitan kesalahan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Zunar juga dilarang membuat perjalanan keluar negara bermula Jun lepas.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Sevan Doraisamy pada Jun lepas berkata, sebahagian besar daripada kes-kes tangkapan di bawah Akta Hasutan melibatkan pembela hak asasi manusia dan ahli politik pembangkang.

Katanya, penahanan berpanjangan, penafian jaminan serta penggunaan penyeksaan terhadap individu yang ditahan di bawah Akta Hasutan turut berlaku.

Bukan hasutan

Bagaimanapun, pada November lepas, Mahkamah Rayuan Malaysia memberi tanda positif terhadap kes-kes tangkapan atas pendakwaan yang melibatkan Akta Hasutan, dengan memerintahkan supaya setiap pendakwaan akta itu perlu membuktikan niat apabila memfailkan pertuduhan. Sebelum ini, pendakwa hanya perlu membuktikan bahawa kenyataan yang salah telah dibuat.

Sepuluh hari lalu, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh bekas pelajar Universiti Malaya Safwan Anang, pada 2013, ketika beliau menggesa orang ramai untuk menghapuskan kerajaan Malaysia semasa demonstrasi jalanan, bukan ucapan menghasut.

Dalam pada itu, Eric Paulsen, Pengarah Eksekutif Lawyers of Liberty (LFL) mahu institusi penting negara seperti badan kehakiman, Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk kekal bebas dalam memastikan tadbir urus negara yang baik.

Skandal rasuah melibatkan dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Najib Razak sejak tahun lepas, mesti diselesaikan segera semua dalam usaha menyingkirkan "semua bentuk rasuah dan pembaziran", katanya.

"1MDB adalah sasaran utama kerana berbilion-bilion wang negara telah dirompak namun, tidak seorang pun didakwa atau dipertanggungjawabkan," kata Paulsen kepada BeritaBenar.

Pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang sivil bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didakwa dibayar dengan wang 1MDB yang dicuri, manakala pihak berkuasa Singapura menutup tiga bank di negara itu serta menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang terlibat dalam skandal yang berkait rapat dengan dana berkenaan.

Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata, ia adalah satu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi di negara tersebut. Dokumen undang-undang sivil itu turut menamakan Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Setakat ini, tiada individu yang dinamakan atau disabitkan dengan sebarang bentuk salah laku yang berkaitan dengan 1MDB di Malaysia.

"Kami masih menyiasat," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada BeritaBenar baru-baru ini semasa ditanya mengenai hasil siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung  syarikat dana negara itu.

Gabungan pembangkang dan pemimpin sivil mendakwa bahawa institusi kerajaan seperti polis dan badan kehakiman berpakat dengan kerajaan yang memerintah untuk menutup skandal tersebut.

Sementara itu, Polis Malaysia juga menyoal siasat Ketua Eksekutif The Malaysian Insider dan empat pekerjanya, sehari selepas syarikat telekomunikasi menutup laman web itu atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia  Malaysia (SKMM) pada Mac lepas.

Laman web disekat dalam negara selepas ia menyiarkan laporan yang mendakwa adanya bukti yang boleh dipercayai untuk melakukan pendakwaan terhadap Perdana Menteri Najib Razak dalam skandal yang dikaitkan dengan dana negara sarat hutang, 1MDB.

TMI adalah laman berita kedua yang disekat tahun ini selepas Asia Sentinel, yang berpejabat di Hong Kong, mengalami nasib yang sama pada 29 Jan lalu.

Sarawak Report, laman web berita Malaysia yang berpejabat di United Kingdom, telah disekat di Malaysia sejak 20 Julai 2015. Selain itu, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia mendakwa bahawa laman web hos blog Medium telah disekat sejak Januari, nampaknya kerana ia menerbitkan satu artikel daripada Laporan Sarawak.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.