Follow us

WKB2030 Kurangkan Jurang Pendapatan Etnik, Kongsi Kemakmuran Negara, Mahathir

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-07
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa berucap pada pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di Kuala Lumpur, Malaysia, 5 Okt, 2019.
Perdana Menteri Mahathir Mohamad semasa berucap pada pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) di Kuala Lumpur, Malaysia, 5 Okt, 2019.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Malaysia melancarkan dasar terkini yang dikenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), yang antara lain bertujuan mengurangkan jurang pendapatan antara etnik, berkongsi pertumbuhan negara secara saksama, dengan masih memberi keutamaan kepada Bumiputera.

Pelancaran buku ringkasan WKB2030, 188 halaman dengan mempunyai 15 prinsip itu antara lain menggariskan panduan kerajaan terhadap matlamat dasar ekonomi bagi tempoh sepuluh tahun bermula 2021 di mana strategi pelaksanaannya akan dibuat dalam Rancangan Malaysia akan datang.

Perdana Menteri berkata pentadbiran kerajaan berdepan jurang pendapatan yang semakin melebar antara majikan dengan pekerja, kelas, wilayah dan kaum.

“Kesan dari struktur ekonomi pada dua dekad lalu, ini telah sebenarnya mengembangkan jurang dikalangan rakyat sama ada dari kumpulan pendapatan, etnik, wilayah mahupun dalam rantaian bekalan. Jurang antara etnik sama ada etnik Bumiputera kepada Cina mahupun India kepada Cina berkembang antara 3.5 hingga 4 kali ganda sepanjang 27 tahun lalu.

"Perbezaan jurang etnik juga kelihatan dalam bidang pekerjaan, nilai tambah perniagaan mahupun jumlah penguasaan kekayaan korporat antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.Jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar, Semenanjung serta Sabah dan Sarawak juga menunjukkan pelebaran jurang ekonomi yang semakin ketara," kata Mahathir semasa berucap pada pelancaran WKB2030 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tercatat dalam buku ringkasan itu yang pendapatan isi rumah, nisbah antara bumiputera dengan kaum Cina ialah 0.74:1 manakala nisbah antara India dengan Cina pula ialah 0.81:1, dan WKB2030 dijangka dapat mengurangkan jurang tersebut kepada hampir setara (0.9:1:1).

Bercakap mengenai Bumiputera, Perdana Menteri itu berkata, penyertaan golongan bumiputera masih tidak memadai dalam sektor profesional, perusahaan kecil juga sederhana terhadap sumbangan pendapatan langsung dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ekuiti korporat Bumiputera telah jatuh kepada 16.2 peratus manakala bukan Bumiputera turun kepada 30.7 peratus dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus. Oleh yang demikian, sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera yang telah ditetapkan dalam Dasar Ekonomi Baru masih belum tercapai,” katanya.

Beliau berkata, ketirisan yang berlaku dalam pelaksanaan dasar DEB, penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan cabaran utama dalam mencapai kesaksamaan keberhasilan dalam agenda bumiputera.

DEB adalah satu polisi ekonomi yang diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia Kedua (1970-1990) oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang juga merupakan bapa kepada bekas perdana menteri ke-enam, Najib Razak.

Matlamat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional. Tujuan asal DEB adalah untuk mengurangkan dan membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan kepada semua rakyat Malaysia.

Mahathir pada tahun lepas semasa merujuk kepada DEB turut berkata, dasar yang diasaskan bagi membantu Melayu dan Bumiputera dan berjalan selama 20 tahun itu bagaimanapun disalahgunakan sehingga merugikan bangsa sendiri.

Buku ringkasan WKB2030 itu turut mencatatkan yang keberhasilan bumiputera perlu diberi keutamaan serta diterapkan secara sistematik dalam setiap teras strategik dan pemboleh ubah jika mahu mencapai matlamat WKB2030.

"Golongan bumiputera perlu mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan minda dan sikap yang drastik dengan menunjukkan iltizam yang kuat bagi meningkatkan produktiviti bumiputera," demikian catatan yang terdapat dalam buku berkenaan.

WKB2030 telah dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik Institut Masa Depan Negara dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bertanggungjawab melengkapkan penyediaannya sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 15 September lalu.

Dasar kitar semula

Sementara itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya, Mohd Nazari Ismail ketila dihubungi BeritaBenar berkata WKB2030 adalah satu intipati yang dikitar semula.

"Bagus intipati WKB2030 tetapi ia cuma satu kitar semula. Kita patut bertanya mengapa negara maju lain masih tidak mencapai "shared prosperity". Kerana apa? kerana mereka masih mempunyai masalah kemiskinan,” tambahnya.

Mohd Nazari turut berkata bahawa masalah kemakmuran bersama yang dialami Malaysia juga berkait dengan ahli politik yang korup serta masalah hutang yang dialami oleh semua kelompok masyarakat walaupun apa dasar telah dirangka dengan baik.

Bagi Clemence Lim, 28, seorang pemandu Grab sepenuh masa, beliau berharap bahawa WKB2030 itu mampu direalisasikan jika semua kaum dapat mencapai kemakmuran bersama.

“Jika ada polisi yang boleh membantu semua kaum mencapai kemakmuran bersama, apa salahnya, semua akan mendapat manfaat bukannya satu kaum sahaja," katanya.

Pekerja kedai barangan runcit, M. Thavaselvam juga bersetuju jika hasil kekayaan negara dapat dinikmati bersama.

Beliau yang turut bekerja sambilan sebagai penghantar makanan Food Panda, berkata kepesatan ekonomi negara membuatkannya perlu mencari wang lebih bagi menyara keluarga.

"Saya bekerja pagi di kedai runcit. Sebelah petang saya akan menghantar makanan. Kos sara hidup sekarang tinggi. Jadi jika ada polisi sebegitu yang dapat membantu semua rakyat Malaysia, memang saya sokong,” kata Thavaselvam.

Lihat Laman Penuh