IS: Bekas ketua 'wolf pack' dihukum penjara 10 tahun

Bekas pekerja binaan dikenakan lapan pertuduhan kesalahan keganasan termasuk ancam serang kuil, miliki senjata dan barangan berkaitan kumpulan Negara Islam (IS).
Helmi Foad
2024.09.30
Kuala Lumpur
IS: Bekas ketua 'wolf pack' dihukum penjara 10 tahun Pemandangan dari hadapan pintu masuk bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 3 Jun 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Tinggi Malaysia pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara selama 61 tahun ke atas bekas pekerja binaan selepas mendapati dia bersalah atas beberapa kesalahan jenayah membabitkan keganasan tetapi kemudian ia mengarahkan hukuman itu dijalankan serentak selama 10 tahun.

Peguam kepada Mahadi Mamat berkata pihak pembelaan merancang untuk membuat rayuan terhadap hukuman tersebut dan sebelum itu menyatakan anak guamnya menghidapi skizofrenia atau gangguan mental.

Hakim Noorin Badaruddin memutuskan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Mahadi, 39, pada akhir kes pembelaan.

Tertuduh yang merupakan bekas dalang kumpulan "wolf pack" dikenakan lapan pertuduhan termasuk mengancam untuk menyerang sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor dan membunuh empat individu berprofil tinggi di negara itu selain memiliki senjata dan menyimpan barangan berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

"Tertuduh telah dikenakan lapan pertuduhan. Hakim telah menjatuhkan hukuman yang berbeza-beza. Ada penjara 10 tahun bagi pertuduhan, pertama, kedua, ketiga dan ketujuh. Hukum penjara enam tahun bagi pertuduhan keempat dan lima tahun penjara bagi pertuduhan kelima, keenam dan kelapan.

"Hakim memutuskan hukuman itu berjalan serentak, jadi tertuduh akan menjalani hukuman selama 10 tahun dari tarikh dia ditangkap," kata peguam Khairul Naim Rafidi yang mewakili tertuduh kepada BenarNews.

Beliau berkata secara rasminya rayuan akan dilakukan tetapi dalam masa terdekat pihak pembelaan dijadual berjumpa tertuduh pada minggu ini bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

"Setakat ini dia telah berada dalam tahanan selama lima tahun iaitu sejak Mei 2019, jadi kemungkinan hanya tinggal baki hukuman selama lebih kurang dua tahun sahaja selepas satu pertiga remitan diberikan daripada tempoh hukuman. Walau apa pun kami akan dapatkan arahan sama ada akan buat rayuan atau tidak," katanya lagi.

Hakim Noorin dalam penghakimannya berkata mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh gagal membuktikan bahawa dia tidak sempurna akal mengikut undang-undang.

Jelas beliau walaupun tertuduh disahkan menghidap ‘skizofrenia', pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dari segi perundangan.

Selain itu, katanya terdapat juga keterangan menunjukkan tertuduh berada dalam keadaan waras semasa melakukan kesalahan tersebut termasuk ketika menyembunyikan senjata dan bom paip di dalam sebuah kebun.

“Rumusan keterangan saksi pembelaan menjurus kepada tertuduh mempunyai mental yang waras dan saksi juga telah membuat pemerhatian dan berpendapat bahawa kognitif mental tertuduh berfungsi dengan baik semasa melakukan kesalahan berkenaan,” katanya.

Lancar serangan 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mahadi didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan mengancam untuk melancarkan serangan ke atas Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya dan mengancam membunuh empat individu, melalui kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130J (1) (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa bersetuju memberi latihan penggunaan senjata api kepada anggota kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’ dalam persediaan melakukan suatu perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130F (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memberi arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada anggota kumpulan WhatsApp tersebut mengikut Seksyen 130F (b) kanun sama yang boleh dikenakan hukuman maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, tertuduh didakwa mendapatkan enam butir bom paip dan sepucuk pistol semi-automatik CZ 75 B serta 15 butir peluru jenis ‘Luger 9mm’ untuk melaksanakan perbuatan pengganas, mengikut Seksyen 130JD (1) kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan ketujuh, dia didakwa merekrut beberapa individu menyertai kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa’ untuk melakukan perbuatan pengganas di bawah Seksyen 130E kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua tujuh pertuduhan itu didakwa dilakukan di Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, antara 7 Januari dan 5 Mei 2019.

Pertuduhan kelapan pula, Mahadi didakwa memilik item-item yang berkaitan dengan kumpulan pengganas IS dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit di Kampung Teris, Hulu Terengganu pada 5 Mei 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130JB (1) (a) kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan kes yang serius.

“Dia didapati memperoleh pistol dan enam butir bom yang ditanam di sebuah ladang kelapa sawit,” katanya.

Peguam Farida Mohammad yang mewakili tertuduh memohon hukuman pemenjaraan yang singkat dan berjalan serentak dari tarikh tangkapan.

“Dia disahkan mempunyai penyakit mental itu ketika ditahan reman sementara menunggu keputusan kes ini selesai.

“Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta dilakukan anak guam," katanya yang hadir bersama peguam, Khairul Naim.

Kenyataan polis Malaysia sebelum ini berkata sebelum penangkapan Mahadi pada Mei 2019, seramai empat lelaki telah ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.

Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield, USJ, Subang Jaya pada 2018.

Ketua Polis Negara ketika itu, Abdul Hamid Bador berkata serbuan dilakukan susulan polis mengesan satu sel ‘wolf pack’ disyaki merancang melancarkan operasi pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi dan serangan berskala besar ke atas tempat ibadat agama bukan Islam dan pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Serbuan itu dilakukan sebulan selepas Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman memberikan maklumat bahawa pasukan keselamatan itu memantau kegiatan pengganas secara ‘lone wolf’ dan ‘wolf packs’ iaitu pengganas yang tiada rangkaian dengan mana-mana sel militan dan lebih kepada gerakan kumpulan kecil.

Pelan cegah keganasan

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin melancarkan Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE), rancangan selama lima tahun hingga 2028 sebagai usaha secara menyeluruh untuk menangani masalah ancaman keganasan termasuk melibatkan perkauman.

Pelan tindakan tersebut dibangunkan untuk menyelaras tindakan menangani ancaman fahaman pelampau keganasan bersandarkan kepada empat teras iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.

Ia menekankan isu ancaman fahaman pelampau keganasan secara holistik, merangkumi fahaman pelampau politik dan perkauman, sosial, agama dan elemen luar, kata Kementerian Dalam Negeri.

Anwar berkata penyalur kepada perbuatan keganasan perlu dipantau melalui tindakan undang-undang tetapi ia tidak seharusnya dilihat sebagai menyekat kebebasan.

"Jadi saya bangkitkan tentang masalah penyalur keganasan yang kita harus pantau daripada sekarang. Apakah ia melalui sekolah, politik, jabatan dan kelompok-kelompok tertentu itu harus dipantau, kerana kalau tidak kita pantau awal, bila dikejutkan dengan tindakan keganasan seperti mana yang kita saksikan di banyak tempat di dunia," ujarnya. 

"Pelan yang harus dihadam...harus didedahkan kepada rakyat bahawa mengapa perlunya undang-undang yang mengekang, bukan mengekang kebebasan tapi melarang tindakan ke arah keganasan yang disebut penyalur kepada keganasan kerana kalau kita tunggu dan biarkan ini meluas sudah menjadi sebati dengan kefahaman dan maka agak terlambat."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.