‘WSJ: Najib Terima Jutaan Ringgit Berkaitan 1MDB, Sejak Tahun 2011’

Hata Wahari
2016.03.01
Kuala Lumpur
160301-my-najibwsj620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mula menerima wang dikaitkan dengan dana negara bermasalah, 1Malaysia Development Berhad, pada 2011, menurut laporan terbaru Wall Street Journal.
AFP

Kerajaan Malaysia pada Selasa menolak laporan Wall Street Journal yang menyatakan bahawa deposit ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Najib Razak adalah melebihi satu bilion dolar dan "beratus-ratus juta lebih daripada yang dikenal pasti sebelum ini."

Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan menuduh akhbar yang berpejabat di Amerika Syarikat itu melakukan kewartawanan "tidak beretika" dan dipergunakan oleh musuh-musuh Najib untuk mencemarkan nama baik beliau.

"Mereka terus mengulangi dakwaan lama yang sama tanpa memberikan bukti; mereka terus bergantung semata-mata kepada sumber-sumber tanpa nama yang mungkin tidak wujud; dan mereka terus memilih untuk mengugurkan fakta utama yang telah pun diketahui. Ini tidak beretika dan tidak diterima dalam amalan kewartawanan,"lapor agensi berita negara, Bernama, yang  memetik seorang jurucakap kerajaan yang tidak dinamakan sebagai berkata.

"Wall Street Journal telah menjadi alat pelakon politik tertentu yang berusaha memusnahkan Perdana Menteri dan Malaysia demi kepentingan peribadi. Tetapi kempen anti-Najib yang bermotifkan politik ini, yang berusaha menggunakan media Barat, telah pun gagal," kata jurucakap itu.

Dalam laporan terbarunya mengenai skandal yang membelenggui Najib sejak tahun lalu dan membawa kepada gesaan supaya beliau meletakkan jawatan, Wall Street Journal pada Selasa mendakwa lebih US$1 bilion (RM4.1 bilion) mula dimasukkan ke dalam akaun Najib pada 2011 dan 2012, dan bahawa "penyiasat global percaya yang kebanyakannya berpunca" dengan dana negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Angka baru itu termasuklah deposit yang dilaporkan sebelum ini iaitu $681 juta (RM2.08 bilion) yang dimasukkan ke dalam akaun Najib menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013, lapor Wall Street Journal.

Pada  Januari, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan Najib daripada potensi tuduhan berkaitan rasuah dengan menyatakan bahawa $681 juta itu adalah sumbangan sah daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan sebahagian besar daripadanya telah dikembalikan. Selepas itu, Najib berkata sudah tiba masanya untuk melupakan semua perkara itu.

Nama yang sama

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 bagi menggalakkan pembangunan ekonomi di Malaysia.

Pada tahun yang sama, firma milik kerajaan iaitu Abu Dhabi Aabar Investments PJS - satu unit dalam Abu Dhabi International Petroleum Investment Co. (IPIC) - berkata ia akan membantu 1MDB membina sebuah pusat kewangan di Kuala Lumpur dan memperoleh loji kuasa, kata Wall Street Journal.

Pemfailan kewangan 1MDB menunjukkan bahawa pada 2012, ia membayar deposit tunai sebanyak $1.4 bilion kepada sebuah syarikat bernama Aabar - tanpa menyatakan nama penuhnya. Ia juga membayar hampir $1 bilion pada 2014, kata draf laporan  Ketua Audit Malaysia, menurut Wall Street Journal.

IPIC menafikan bahawa IPIC atau Aabar Investments PJS pernah menerima wang itu, lapor Wall Street Journal yang memetik sumber-sumber yang biasa dengan urusan perkara itu.

Jumlah itu sebaliknya mengalir ke dalam sebuah syarikat dengan nama sama yang didaftarkan di Kepulauan Virgin Britain, Aabar Investments PJS Ltd, dan dari situ ia melalui entiti lain sebelum masuk ke dalam akaun Najib, dakwa Wall Street Journal.

"Para penyiasat percaya bahawa selepas itu, kebanyakan daripada $681 juta itu telah dihantar semula ke dalam web entiti luar pesisir itu,  yang ia berasal daripadanya," kata laporan itu.

"Para penyiasat antarabangsa tidak menemui sebarang bukti yang ia adalah dari Arab Saudi."

'Rasuah adalah rasuah'

Pada Selasa, 1MDB mengeluarkan kenyataannya yang menolak laporan Wall Street Journal itu.

Syarikat dana milik negara itu berkata ia "tidak membayar apa-apa wang ke akaun peribadi Perdana Menteri." Ia juga merujuk kepada kenyataan Peguam Negara dan siasatan lain yang mengaitkan wang derma pada 2013 kepada Arab Saudi.

"Tidak sekali pun  penerbitan itu menawarkan sebarang bukti kukuh untuk menyokong dakwaannya, dengan satu-satunya justifikasi bagi serangan berterusan mereka adalah maklumat yang mereka dakwa diperoleh daripada sumber-sumber yang tidak dinamakan dan tanpa nama," kata 1MDB dalam satu kenyataan akhbar.

Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku dan berkata beliau tidak pernah mengambil wang untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah pada Selasa bahawa amalan rasuah di Malaysia hendaklah dilaporkan " tanpa memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah kerana rasuah adalah rasuah walau siapa pun yang melakukannya."

Baginda menegaskan bahawa rakyat perlu dididik untuk melihat rasuah sebagai negatif dan menolak pemimpin yang bertanggungjawab terhadapnya.

"Memerangi rasuah hendaklah dijadikan perjuangan, satu jihad kerana menjadi tanggungjawab fardu kifayah dan tanggungjawab kenegaraan untuk setiap warga memelihara negara daripada terjerumus ke lembah kehinaan," titah baginda pada Majlis Anugerah Bisnes Utusan 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.