Malaysia Sahkan Kes Pertama Koronavirus Libatkan Rakyatnya

Muzliza Mustafa & Nisha David
2020.02.04
Kuala Lumpur, Malaysia
200204-MY-Wuhan1000.jpg Seramai 133 orang yang yang dibawa pulang dari Wuhan, China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan sedang menunggu untuk menjalani tapisan kesihatan sebelum dibawa ke pusat pemantauan di Sepang, Selangor, 4 Februari, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia melaporkan kes pertama positif koronavirus 2019-nCoV yang melibatkan rakyatnya dengan seorang kanak-kanak perempuan warga China yang dijangkiti novel virus itu adalah pesakit pertama berjaya pulih dan bebas sepenuhnya daripada jangkitan tersebut, demikian menurut Kementerian Kesihatan pada Selasa.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata dua kes terbaru melibatkan seorang rakyat tempatan dan warga China yang dilaporkan sekaligus menjadikan jumlah kesemuanya sepuluh kes positif koronavirus di negara itu.

Katanya, rakyat Malaysia berusia 41 tahun telah disahkan positif koronavirus didapati membuat perjalanan ke negara jiran untuk menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri oleh beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari negara China pada 16 hingga 23 Januari lepas.

“Lelaki tersebut telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Selangor kerana demam dan batuk. Beliau kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari dan dimasukkan ke wad isolasi selepas ujian makmal yang dibuat keatasnya dan diperolehi pada Isnin adalah positif,” kata Dzulkefly.

Beliau berkata, seorang lagi rakyat China yang turut disahkan positif koronavirus di Malaysia adalah lelaki  berusia 63 tahun berasal dari Wuhan dan tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur pada 18 Januari.

“Beliau mengalami demam ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur pada 23 Januari tetapi kemudiannya diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan selepas kes tersebut dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

“Setelah mengalami demam yang berterusan, beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2 Februari dan ujian makmal pada 3 Februari menunjukkan bahawa beliau positif koronavirus dan kini berada di wad isolasi dan dalam keadaan stabil” kata Dzulkefly.

Angka terbaru itu menunjukkan bahawa sembilan kes positif koronavirus melibatkan rakyat China dengan seorang warga tempatan.

Kes pertama pulih

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah berkata kanak-kanak perempuan warga China yang menjalani rawatan kerana positif koronavirus di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah telah dibenarkan pulang setelah sembuh dan hasil ujian pengesanan ulangan bagi virus itu didapati negatif.

“Hasil ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya sebanyak dua kali, telah didapati negatif. Beliau kini berada dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan pulang.

“Kes ini menunjukkan bahawa jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di negara China.

“Tanggapan ramai bahawa penyakit ini pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat,” kata Noor Hisham dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di laman media sosial Facebooknya pada lewat Selasa.

Dzulkefly semasa mengulas mengenai rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti koronavirus itu berkata, “KKM telah berhubung dengan Kementerian Kesihatan negara jiran tersebut dan mereka mengesahkan bahawa aktiviti contact tracing telah dimulakan. KKM sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan negara jiran yang terlibat bagi mengenalpasti sumber jangkitan berlaku,”

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan akhbar pada Selasa turut mengesahkan kes tersebut. Dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang dimuatnaik di laman sesawang kementerian negara itu berkata kes melibatkan rakyat Malaysia merupakan antara enam kes terbaru melibatkan jangkitan koronavirus di Singapura di mana empat daripadanya melibatkan transmisi jangkitan antara manusia di negara itu.

“Malaysia baru sahaja mengumumkan tengahari tadi seorang rakyatnya telah berada di Singapura pada 16 Januari sehingga 23 Januari bagi menghadiri mesyuarat di Hotel Grand Hyatt yang turut melibatkan warga China. Beliau mengalami simptom selepas kembali ke Malaysia dan kemudiannya disahkan positif dijangkiti Koronavirus pada 3 Februari,” menurut kenyataan tersebut.

Sejak dari 10 Januari sehingga 3 Februari, jumlah saringan keatas individu yang disyaki menghadapi Koronavirus adalah 213 kes yang terbahagi kepada 122 rakyat Malaysia, 86 China dan masing-masing seorang rakyat Australia, Korea, Jordan, Brazil dan Thailand dengan 20 kes masih lagi menunggu keputusan makmal.

Manakala kontak rapat kepada kes positif Koronavirus setakat Selasa adalah seramai 36 orang dan dari jumlah tersebut lima didapati positif manakala empat lagi masih menunggu keputusan.

Pulang dari Wuhan

Malaysia pada Selasa turut berjaya membawa pulang 133 orang dari Wuhan, China menggunakan pesawat penerbangan komersil tambang murah AirAsia dengan 88 rakyat Malaysia, 19 merupakan pewaris yang bukan warganegara bersama lapan petugas misi, enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan 12 kru penerbangan.

Kesemua mereka yang dibawa pulang telah melepasi tapisan kesihatan yang dilakukan oleh kerajaan China sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

Jumlah yang hadir berbeza dengan jumlah awal yang diberikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) iaitu 141 orang.

Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi NADMA berkata, 34 rakyat Malaysia yang sepatutnya dijadualkan pulang bersama 107 yang lain terpaksa berada di Wuhan kerana berdepan dengan masalah logistik.

"Sebab utama adalah mereka berada di luar bandar Wuhan dan kesukaran mendapatkan kenderaan menuju ke bandar Wuhan atau ke lapangan terbang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sebaik tiba di KLIA, mereka yang berada di dalam pesawat dibawa menaiki bas ke Air Disaster Unit (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan. Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, 2 orang tidak melepasi tapisan kesihatan tersebut dan telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL).

“Selepas tapisan, kesemua 105 orang dibawa ke Pusat Pemantauan (Surveillance Center) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan,” tambah beliau.

Pusat Pemantauan itu adalah di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia dan dikawal oleh pihak polis dengan fasiliti berkenaan cuma boleh diakses oleh petugas kesihatan sahaja.

NADMA berkata saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan ini.

Sebanyak 425 kematian disebabkan jangkitan koronavirus dilaporkan di China, dengan lebih 20,000 kes positif  turut dicatatkan di negara itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.