Malaysia Runding Dengan China Bawa Pulang Rakyatnya dari Wuhan

Noah Lee & Nisha David
2020.01.29
Kuala Lumpur, Malaysia
200129-MY-Wuhan1000.jpg Kakitangan Pusat Rawatan Perubatan Wuhan sedang memindahkan bekas sisa-bio di mana ada yang dijangkiti virus koronavirus di Wuhan, China, 22 Januari, 2020.
[AP]

Malaysia sedang berunding dengan China untuk membawa pulang kira-kira 78 rakyatnya yang terperangkap di bandar Wuhan ekoran langkah penutupan oleh kerajaan China bagi mengekang penularan koronavirus, demikian kata Perdana Menterinya pada Rabu.

Mahathir Mohamad berkata usaha untuk membawa pulang rakyat Malaysia dengan penerbangan khas itu sedang dijalankan oleh Kementerian Luar Negeri yang sedang berurusan dengan pentadbiran Beijing.

“Maklumat yang diperolehi kerajaan setakat ini, terdapat sejumlah 78 rakyat Malaysia berada di Wuhan. Mereka sekarang ini tidak boleh keluar dari Wuhan, tetapi kita ingin berunding dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik ke Malaysia dan mereka akan diperiksa bila sampai di Malaysia,

"Kalau ada bukti yang mereka sakit dan dijangkiti Koronavirus, atau ada mereka berada di sana [Wuhan] dalam tempoh yang lama, kita akan kuarantinkan mereka selama 14 hari sebelum  dibenar pulang ke rumah masing-masing," kata Perdana Menteri itu pada satu sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya pada Rabu.

Wuhan yang terletak dalam Wilayah Hubei adalah bandar pertama yang ditutup oleh kerajaan China pada 23 Januari lalu susulan penularan koronavirus tersebut. Beijing juga dilaporkan melaksanakan perintah berkurung membabitkan jutaan penduduk di kebanyakkan bandar raa yang dikesan dilanda virus tersebut.

Selain itu, Mahathir juga berkata yang pentadbiran Putrajaya bersedia untuk menghantar bekalan makanan serta keperluan perlindungan diri seperti topeng mulut dan sarung tangan ke Wuhan jika mendapat kebenaran dari kerajaan China.

"Kita berminat untuk membantu Wuhan. Jika kita terpaksa hantar kapalterbang untuk mengambil balik rakyat kita, dan jika dibenar kerajaan China, kita akan bawa makanan kepada mereka atau sarung tangan dan juga topeng mulut kerana berlaku kekurangan bekalan tersebut

Menurut laporan terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 6, 000 kes sahih 2019-nCoV telah dikesan di seluruh dunia, dengan 132 kematiaan di China sahaja.

Di Malaysia, angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa sehingga lewat petang Rabu, sejumlah tujuh pesakit telah disahkan positif koronavirus dan kesemuanya adalah warganegara China.

Ini termasuk tiga kes yang baru disahkan positif pada lewat Selasa membabitkan seorang kanak-kanak empat tahun di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi, Kedah; seorang lelaki berumur 52 tahun di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, Johor; serta seorang wanita yang merupakan ibu kepada dua kanak-kanak berusia 2 dan 11 tahun yang telah disahkan positif virus itu sebelum ini.

Tidak lanjut visa


Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail, dalam satu sidang media berasingan di Putrajaya berkata kerajaan tidak akan memberi sambungan tempoh visa kepada pelawat China yang telah berada dalam negara itu.

Namun, katanya, bagi pesakit warga China yang telah disahkan positif koronavirus itu, mereka akan diberikan menjalani rawatan sewajarnya oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia sebelum dihantar pulang.

“Ini kerana kerajaan perlu mematuhi prosedur yang telah ditetapkan oleh WHO, di mana pelawat yang sakit mesti dirawat terlebih dahulu… Bukan sahaja di dalam kes koronavirus tetapi siapa sahaja (pelawat) yang sakit, kita kena berikan rawatan sebelum menghantar mereka pulang," kata Wan Azizah pada sidang media khas di Kementerian Kesihatan.

Malaysia pada Isnin telah mengumumkan mengenai sekatan sementara kemasukan warga China yang berasal dari Wilayah Hubei dan ibu negaranya Wuhan serta kawasan sekelilingnya dalam usaha membendung wabak koronavirus.

Wan Azizah turut memberitahu yang kerajaan setakat ini masih belum mempunyai rancangan untuk memperluaskan penggantungan pemberian visa kepada seluruh warga China.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.