Warga Denmark Individu Pertama Disabitkan Kesalahan Akta Antiberita Tidak Benar

Hata Wahari
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-04-30
Share
180430-my-fakenews-court620.jpg Salah Salem Saleh Sulaiman dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didakwa mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018, 30 April 2018.
[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Sebuah Mahkamah Sesyen Malaysia pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas seorang warga asing, yang merupakan individu pertama disabitkan kesalahan di bawah undang-undang baharu berkaitan penyebaran berita tidak benar.

Warga Denmark, Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM10,000 selepas mengaku menerbitkan berita tidak benar melalui rakaman video berhubung kelewatan pihak polis tiba ke lokasi pembunuhan seorang warga Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh, pada 21 April lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zaman Mohd Noor memerintahkan Salah Salem menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 23 April lalu dan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda.

Beliau juga mengarahkan tertuduh memadam rakaman video itu, yang telah dimuat naik di laman Youtube.

Mengikut kertas pertuduhan, Salah Salem yang berasal dari Yaman, telah menerbitkan berita tidak benar melalui rakaman di akaun Youtube atas nama ‘Salah Sulaiman’ bertajuk ‘Pembunuhan Sheikh Al Ghazawi Fadi Al Batsh di Kuala Lumpur, cukuplah Allah bagi kami sebaik-baik wakil’ di sekitar Kondominium Puteri Idaman, Jalan Meranti, Setapak di sini antara pukul 6.50 pagi dan 9 pagi, 21 April lalu.

Tertuduh, yang bekerja sebagai pembersih kuda di negaranya, didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) yang memperuntuk hukuman maksimum penjara enam tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Salah Salem, yang memasuki Malaysia sejak 11 April lalu dan tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai tiga isteri dan enam anak selain berulang kali memohon maaf kepada mahkamah.

“Saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Saya tidak tahu ada undang-undang seperti ini dan berbuat demikian kerana tidak mempunyai pengetahuan tentangnya,” katanya.

Lelaki warga Denmark itu bagaimanapun akan menghabiskan masa sebulan di penjara kerana beliau tidak dapat membayar denda RM10,000 yang dikenakan keatas beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tindakan menyebarkan berita tidak benar perlu dicegah dan dihalang selain mengambil kira perbuatan itu menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta negara.

Mengikut fakta kes, siasatan mendapati pihak polis tiba ke lokasi kejadian lebih awal dan bukannya 50 minit kemudian seperti yang didakwa oleh tertuduh berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 49 saat dengan sarikata Bahasa Melayu bertajuk ‘Saksi Imam Palestin Dibunuh.’

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun, dalam kenyataan media sehari selepas insiden pembunuhan itu berkata pihak polis sedang menjejaki seorang warga asing yang telah memuat naik satu rakaman video berunsur tohmahan ke atas polis berhubung kes tersebut.

Pihak polis turut menemu bual seorang rakyat Malaysia, pengelola sebuah laman Facebook yang telah memuat naik rakaman video Salah Salem dan turut menterjemahkannya dari Bahasa Arab ke Bahasa Malaysia.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa seorang pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) warga Palestin,  Fadi Mohammed Al Batsh, mati ditembak di luar Kondominium Idaman Putri, Setapak semasa berjalan ke Surau Medan Idaman untuk mengimamkan solat Subuh pada kira-kira pukul 6 pagi, 21 April lalu.

Dua suspek yang tidak dikenali telah melepaskan lebih kurang 20 das tembakan ke arah Fadi sebelum memboloskan diri dengan sebuah motosikal berkuasa tinggi berjenama Kawasaki. Mereka juga dipercayai telah melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan lain selepas polis menemui motosikal yang digunakan itu tidak jauh dari tempat kejadian.

Polis turut mengeluarkan gambar seorang daripada suspek hasil siasatan terperinci, yang dipercayai telah memasuki negara ini sejak Januari lepas. Polis percaya ada kemungkinan suspek menggunakan identiti palsu ketika memasuki Malaysia atau ketika berada di negara ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh