Penyanyi Yasin Sulaiman dihukum penjara seumur hidup, 16 sebatan

Komposer itu didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah termasuk tanam pokok ganja.
Nisha David
2024.08.22
Kuala Lumpur
Penyanyi Yasin Sulaiman dihukum penjara seumur hidup, 16 sebatan Penyanyi Yasin Sulaiman dibawa keluar oleh anggota polis dengan kedua-dua tangan bergari selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, 22 Ogos 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Tinggi di Malaysia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas penyanyi terkenal dan komposer Yasin Sulaiman selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah sekali gus menukar keputusan sebuah mahkamah lebih rendah pada tahun lalu yang membebaskannya.

Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman tersebut selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya pada Oktober tahun lalu yang melepas dan membebaskan penyanyi itu.

“Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah ini berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf membuat keputusan melepas dan membebaskan responden sehingga membuat keputusan responden diletakkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

“Oleh itu, rayuan perayu dibenarkan dan tertuduh disabitkan bersalah,” katanya ketika membaca penghakimannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Yasin, 48, yang terkejut dengan keputusan itu menganggap ia suatu yang pelik dan ia adalah hari gelap buat dirinya.

“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik. Apa yang saya tidak boleh terima kenapa saksi pakar tidak langsung diambil keterangan…,” kata Yasin kepada pemberita sebelum dibawa anggota polis dengan kedua-dua tangan bergari ke Penjara Kajang, Selangor.

Keputusan tersebut turut mengundang tangisan ahli keluarga pelantun lagu “Mimpi Laila” itu di galeri awam mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, bapa dua anak itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan kerana kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 24 Mac 2022.

Pertuduhan kedua mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan kerana menanam 17 pokok ganja.

Pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memasukkan dadah berbahaya dalam badan, Yasin dihukum penjara 10 bulan.

Hakim Norsharidah turut memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 24 Mac 2022.

Keterangan saksi pakar

Terdahulu, dalam penghakimannya beliau berkata keterangan saksi pembelaan pertama iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony dibuat berdasarkan sesi temubual dengan responden ketika tempoh pemerhatian di pusat perubatan itu yang tidak menyokong pembelaan.

“Mahkamah tidak terikat dengan dapatan saksi pakar kerana peranan saksi itu hanya untuk membantu mahkamah membuat keputusan.

“Penanaman ganja yang dilakukan responden mengambil masa untuk pokok itu tumbuh membesar adalah menunjukkan beliau tidak berada dalam keadaan tidak waras.

Katanya keterangan saksi pakar mengesahkan responden adalah tidak sempurna akal dari sudut perubatan semasa tangkapan.

“Merujuk kepada saksi-saksi semasa pendakwaan menunjukkan responden memang sengaja melakukan perbuatan jenayah itu iaitu memiliki 123 pokok kanabis, menanam 17 pokok ganja dan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan,” katanya.

Kata hakim, pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di Mahkamah Sesyen dan Yasin selaku responden dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.

“Bagaimanapun, responden memilih untuk berdiam diri dan memanggil saksi pakar, Dr Ian di peringkat pembelaan.

“Isu di sini adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan SD1 (saksi pendakwaan 1) dan juga respondan memilih untuk berdiam diri.

“Dalam kes ini responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal mengikut ‘legal insanity’” katanya.

Katanya, beban pembuktian Yasin tidak sempurna akal masih terletak pada responden untuk mengemukakan keterangan pakar dan keadaan responden ketika kejadian.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.