Pengganas Malaysia Terlibat Serangan 11 Sept Dibebaskan Bulan Depan

Ali Nufael
2019.10.23
Kuala Lumpur, Malaysia
191023-MY-al-qaeda-620.JPG Ejen-Ejen FBI AS membuat persiapan untuk menemu bual Yazid Sufaat di Penjara Kamunting, Malaysia berhubung peranannya dalam serangan 11 September, 18 Nov 2002.
(Reuters)

Seorang anggota kumpulan Osama bin Laden yang memainkan peranan dalam serangan 11 Sept akan dibebaskan dari sebuah penjara di Malaysia bulan depan, kata pegawai polis tertinggi di negara itu pada Rabu.

Yazid Sufaat, 55, seorang pengganas yang telah disabitkan kesalahan dan berasal dari Johor, telah selesai menjalani hukuman penjara dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan terpaksa dibebaskan, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

“Ini merupakan sebahagian daripada proses undang-undang. Beliau telah menjalani hukuman dan apabila tiba masanya, beliau akan dibebaskan,” kata Abdul Hamid kepada pemberita. “Kami tidak boleh merampas kebebasannya. Kami akan terus melibatkan diri dengannya dan kami akan memantaunya dan beliau akan tetap pergi ke pusat pemulihan.”

Abdul Hamid menyifatkan bekas kapten pasukan tentera itu sebagai seorang tahanan yang sukar dan telah menjalani pemulihan ketika ditahan di penjara Simpang Renggam di Ulu Tiram, Johor sejak 2017.

“Beliau agak sukar tetapi senario adalah berbeza apabila anda berada di luar. Kami faham ada kebimbangan namun kami tidak boleh menahannya berdasarkan persepsi orang lain,” kata Abdul Hamid. “Orang-orang saya akan berjaga-jaga untuk mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.”

Yazid, seorang pakar biokimia terlatih AS telah ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (ISA) yang kini telah dimansuhkan pada Disember 2001 kerana pembabitannya dengan kumpulan al-Qaeda pimpinan Osama Bin Laden. Beliau telah dibebaskan pada 2008 namun ditahan semula pada 2013 dan 2017.

Yazid telah ditahan pada 2013 di bawah SOSMA [Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan dihukum penjara empat tahun kerana merekrut anggota baharu bagi Negara Islam.

Susulan pembebasannya, Yazid telah ditahan pada Disember 2017 di bawah POTA selepas pihak berkuasa mendapati beliau merekrut rakan tahanan bagi al-Qaeda semasa meringkuk dalam penjara. Beliau bakal menghabiskan tempoh hukuman penjara dua tahun dan akan dibebaskan, menurut para pegawai.

Menerima pendidikan di AS

Seorang graduan biokimia dai Universiti Sacramento di California, Yazid telah menyertai kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah sejurus selepas penubuhannya pada 1993. Beliau telah ditugaskan membangunkan antraks sebagai senjata bio untuk al-Qaeda.

Pada Januari 2000, anggota utama al-Qaeda telah bertemu di rumah Yazid di Kuala Lumpur bagi membincangkan rancangan keganasan, menurut laporan. Selain itu, beliau didakwa menyediakan tempat tinggal kepada dua perampas dalam serangan 11 Sept iaitu Khalid al-Mihdhar dan Nawaf al-Hazmi.

Yazid telah diterbangkan ke Kandahar, Afghanistan pada 2001 di bawah arahan Ayman al-Zawahiri untuk menghabiskan masa selama beberapa bulan untuk mengusahakan antraks dalam sebuah makmal yang turut dibangunkannya berhampiran lapangan terbang Kandahar, menurut laporan suruhanjaya 11 Sept.

Beliau berada di Afghanistan semasa serangan 11 Sept dan kemudian melarikan diri melalui Pakistan ke Malaysia di mana beliau telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan ditahan di bawah ISA di penjara Kem Kamunting yang menempatkan pengganas yang telah disabitkan kesalahan serta tahanan politik.

Semasa Abdul Hamid berkata Yazid bakal dibebaskan, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan menanti Lembaga Pencegahan Keganasan untuk menentukan nasibnya.

Muhyiddin memberitahu pemberita bahawa lembaga itu akan bermesyuarat bulan depan untuk meneliti butiran penahanan Yazid.

“Saya belum dapat keputusan muktamad, baru tadi saya semak perkara itu dan tempoh masa dua tahun tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) mungkin akan tamat tidak lama lagi,” kata Muhyiddin seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi Bernama.

“Apa pun, ada prosedur sebelum keputusan dibuat secara muktamad melalui satu lembaga di mana lembaga itu akan meneliti keadaan-keadaan yang berlaku sepanjang tempoh tahanan bagaimana kelakuan beliau (Yazid), sama ada bertambah baik… berubah atau tidak. Itu akan diberitahu, selepas itu akan dibuat keputusan,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.