Malaysia Bebas Pengganas Punya Kaitan Serangan 11 September

Ali Nufael & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-20
Share
191120-MY-911-1000.jpg Pegawai keselamatan AS duduk dan menunggu di dalam kenderaan mereka ketika pegawai polis Malaysia melakukan pemeriksaan keselamatan di luar pusat tahanan Kamunting, 280 km (175 batu) di utara Kuala Lumpur, di mana mereka dijangka menyoal siasat Yazid Sufaat, seorang rakyat Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan dua perampas pesawat kes 11 September, 18 November 2002.
[AP]

Ahli biokimia terlatih Amerika Syarikat [AS] Yazid Sufaat, satu-satunya warga Malaysia yang dikaitkan dengan serangan pengganas 11 September, telah dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara terbarunya, tetapi akan berada di bawah pemantauan rapat polis, demikian kata pegawai anti-keganasan Polis DiRaja Malaysia [PDRM] pada Rabu.

Yazid, yang pernah mencuba mengusahakan antraks sebagai senjata kimia bagi al-Qaeda, telah dibebaskan pada Rabu berikutan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pencegahan Keganasan Malaysia awal minggu ini, Ketua Anti-Keganasan PRDM Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu BeritaBenar.

“Yazid Sufaat dibebaskan daripada Penjara Simpang Renggam di Johor hari ini, Rabu. Lembaga telah memutuskan untuk membebaskan Yazid dengan beberapa syarat.

“Beliau bebas pulang ke rumah tetapi pergerakannya terhad. Ia adalah sebahagian daripada syarat-syarat yang telah ditetapkan," kata Ayob sambil menambah bahawa keputusan itu dibuat pada Isnin.

Menurut Laporan Akhir Suruhanjaya 11 September yang dikeluarkan pada Julai 2004, Yazid bertemu dengan empat anggota kanan al-Qaeda di rumahnya di Kuala Lumpur di mana mereka "bercakap tentang kemungkinan merampas pesawat dan menghempaskannya" beberapa bulan sebelum serangan pengganas keatas Amerika Syarikat.

Dua daripada empat lelaki itu - Khalid al-Mihdhar dan Nawaf Muhammad Salim al-Hazmi - adalah antara pengganas yang merampas pesawat dalam kejadian pada 11 September itu.

Pertemuan itu dibuat atas permintaan Hambali, tahanan Guantanamo yang dituduh mengetuai  pengeboman Bali di Indonesia pada 2002 sehingga menyebabkan lebih 200 orang terbunuh.

Al-Qaeda, kumpulan militan Islam yang diasaskan oleh Osama bin Laden, telah melakukan serangan yang membunuh hampir 3,000 orang serta mencederakan lebih 25,000 orang di Amerika Syarikat pada 11 September 2001, semasa perampas menggunakan dua pesawat penumpang sebagai senjata untuk merempuh menara kembar World Trade Center di New York dan sebuah lagi untuk menyerang Pentagon.

Pesawat keempat yang dirampas bagaimanapun terhempas dan terbakar di kawasan pendalaman Pennyslvania apabila penumpang dilaporkan bertindak balas untuk membawanya turun sebelum menyerang sasaran lain. Osama dibunuh oleh tentera AS di Pakistan pada Mei 2011.

Sebagai sebahagian daripada kebebasannya, Yazid dikehendaki memakai alat pemantauan elektronik selama dua tahun mulai Rabu. Pihak berkuasa juga melarangnya daripada melayari internet dan memerintahkannya supaya sentiasa melaporkan diri di balai polis daerah, kata Ayob.

"Kami juga mengenakan sekatan keluar rumah dari jam 8 malam hingga 6 pagi di mana beliau perlu berada di rumah sepanjang tempoh itu," kata Ayob merujuk kepada Yazid.

Yazid Sufaat berjalan keluar selepas dibebaskan daripada Penjara Simpang Renggam di Johor, 20 November 2019, [Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Orang penting al-Qaeda

Yazid, 55, berada di Afghanistan semasa serangan 11 September dan kemudian melarikan diri ke Malaysia melalui Pakistan, di mana beliau ditangkap oleh pihak berkuasa dan dihantar ke penjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang tidak berfungsi lagi, pada Disember 2001.

Beliau ditahan di penjara Kem Kamunting, yang menempatkan penjenayah dan tahanan politik yang dihukum.

Penyiasat berkata Yazid, yang menerima ijazah sarjana dalam bidang kimia dari University of Sacramento di California, menyertai kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) sejurus selepas penubuhannya pada tahun 1993.

Al-Qaeda membantu mewujudkan JI, kumpulan ekstremis yang diketuai oleh militan Indonesia dengan sel yang bertaburan di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina, menurut penganalisis keselamatan.

Yazid memainkan peranan utama dalam usaha al-Qaeda untuk membangunkan senjata pemusnah besar-besaran apabila beliau menghabiskan beberapa bulan untuk mengusahakan antraks dalam sebuah makmal yang turut dibangunkannya berhampiran lapangan terbang Kandahar, menurut laporan suruhanjaya 11 September.

Beliau menerima latihan di Afghanistan di bawah arahan Ayman al-Zawahiri, pengganas Mesir yang menggantikan Osama, kata laporan itu.

Setahun sebelum itu [tahun 2000], penyiasat berkata, Yazid membeli 4 ton ammonium nitrat sebagai persediaan untuk plot pengeboman di Singapura.

Para pegawai Malaysia berkata Yazid dibebaskan pada tahun 2008 tetapi ditahan semula pada  2013 di bawah SOSMA, iaitu akta anti-keganasan negara - Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas), atas tuduhan merekrut anggota baharu bagi kumpulan militan Negara Islam. Beliau menjalani hukuman penjara empat tahun.

Selepas menjalani hukumannya itu, Yazid sekali lagi ditahan pada Disember 2017 di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) selepas pihak berkuasa mendapati beliau telah merekrut rakan tahanan untuk menyertai al-Qaeda semasa beliau meringkuk dalam penjara.

Sebelum beliau dituduh menjadi pengganas, Yazid adalah seorang kapten bagi Angkatan Tentera Malaysia dan pernah berkhidmat di Bosnia, di mana penyiasat mengatakan beliau telah menyatakan simpati terhadap umat Islam yang dibunuh oleh tentera Yugoslavia.

Yazid berkahwin dengan Chomel Mohamad, seorang wanita Indonesia, dan mempunyai empat orang anak. Pasangan itu pernah mengusahakan perkhidmatan katerer di kantin Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Chomel enggan memberi komen mengenai kes suaminya ketika ditemui oleh wartawan BeritaBenar beberapa minggu yang lalu. Beliau kini memiliki sebuah restoran berhampiran ibu negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh