Malaysia Bakal Tambah 4 Juta Pengundi Muda Bulan Ini

Penganalisis menjangkakan blok pengundi muda bakal menjadi penentu keputusan pilihan raya umum akan datang.
Muzliza Mustafa, Nisha David dan Shailaja Neelakantan
2021.12.01
Kuala Lumpur dan Washington
Malaysia Bakal Tambah 4 Juta Pengundi Muda Bulan Ini Seorang penunjuk perasaan memegang plakad berbunyi ‘RIP, Malaysian Democracy’ dalam satu protes di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, 29 Feb 2020.
Reuters

Sekurang-kurangnya 4 juta belia Malaysia berpeluang mengundi apabila pindaan bagi mengurangkan umur minimum pengundi kepada 18 tahun, yang selama ini ditunggu-tunggu, berkuat kuasa pada  15 Dis ini, demikian menurut notis warta kerajaan yang diumumkan pada Rabu.

Penganalisis berkata pengundi berusia 18 hingga 21 tahun yang akan mengundi buat pertama kali, akan mewakili demografi pencetus perubahan dalam pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan 2023.

Laporan media menyebut sekeping gambar notis warta itu bertarikh 25 Nov lepas telah diciapkan oleh Lim Wei Jet, Naib Presiden Ikatan Demokratik Bersatu Malaysia (MUDA), sebuah parti politik yang diterajui golongan belia.

“Yang di-Pertuan Agong telah menetapkan 15 Disember 2021 sebagai tarikh Seksyen 3 akta itu mula berkuat kuasa,” menurut warta itu.

Pendaftaran pengundi secara automatik juga akan berkuat kuasa pada tarikh sama.

Kerajaan pimpinan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ketika ini dan pentadbiran gabungan Perikatan Nasional sebelum ini telah melengah-lengahkan pelaksanaan akta di bawah Pindaan Perlembagaan 2019 itu yang membabitkan penurunan umur pengundi.

Bagaimanapun, pindaan itu mungkin agak terlewat kepada pengundi muda di Sarawak yang berkemungkinan tidak dapat mengambil bahagian pada pilihan raya negeri akan datang, kata Khairil Azmin Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Saya percaya perkara itu terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bergantung sama ada ia boleh dilaksanakan ataupun tidak,” kata Khairil, seorang pakar perlembagaan, kepada BenarNews.

“Pilihan Raya Negeri Sarawak bagi Dewan Undangan Negeri ialah pada 18 Dis dan pindaan itu berkuat kuasa pada 15 Dis. Saya tidak yakin sama ada tempoh tiga hari adalah mencukupi bagi SPR melaksanakannya (pindaan itu).”

Tharma Pillai, Pengarah Advokasi Undi18, yang ahlinya mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung kelewatan membenarkan belia berumur 18 hingga 21 tahun mengundi, sependapat dengan Khairil namun gembira apabila pindaan itu berkuat kuasa pada pertengahan bulan ini.

“Kami gembira dengan pengumuman hari ini,” kata Pillai. “Suruhanjaya Pilihan Raya ingin menangguhkan pelaksanaannya sehingga September 2022. Kini kita berjaya mendesak ia dilaksanakan lebih awal. Ini adalah satu kejayaan kepada belia Malaysia.”

Ahli MUDA berkata mereka berharap SPR akan menetapkan mekanisme syarat bagi membolehkan golongan belia Sarawak mengundi pada pilihan raya negeri bulan ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya perlu bersiap sedia untuk mengemas kini data pengundi berumur 18 tahun dan ke atas padda Pilihan Raya Negeri Sarawak bagi membolehkan semua pemilih yang layak mengundi pada 18 Dis 2021,” menurut parti itu dalam satu kenyataan.

Pengasas bersama MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang merupakan pemula kempen bagi menurunkan umur pengundi kepada 18 tahun, mengucapkan tahniah kepada pengasas bersama Undi18 yang lain.

 “Anda telah memberikan … suara baharu kepada golongan belia!” ciap Syed Saddiq di laman Twitter.

Pihak lain turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Undi18.

“Undi Anda, Hak Anda. Jadilah Pencetus Perubahan” ciap Thiban Subramaniam, yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat pimpinan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim

Seorang ibu turut teruja dengan pengumuman itu.

“Gembira kerana anak saya akan membesar di negara yang mengamalkan Undi18 terima kasih kepada semua belia yang bijak ini!” tulis Nadia Wan di laman Twitter.

Kesan terhadap pilihan raya akan datang

Undi golongan belia “bakal menjadi penentu dalam PRU15,” kata Bridget Welsh, seorang ahli akademik Universiti of Nottingham Malaysia, kepada BenarNews selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching berhubung perkara itu. Pilihan raya umum akan berlangsung sekitar bulan Mei atau Jun 2023.

Bagaimanapun, selepas tumbangnya kerajaan Mahathir Mohamad yang dipilih dalam pilihan raya umum 2018 pada tahun lepas dan pemerintahan kedua berturut-turut kerajaan yang tidak dipilih, pilihan raya dijangka diadakan tahun depan jika pandemik mereda.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob belum menyatakan sebarang perancangan untuk mengadakan pilihan raya awal. Pendahulunya, Muhyiddin Yassin, telah berjanji pilihan raya umum akan diadakan sebaik sahaja pandemik mereda.

Sementara itu, Welsh berkata pilihan raya akan datang bakal menyaksikan semua parti politik lebih berwaspada.

“Keputusan itu menyebabkan semua parti mengambil maklum keperluan bagi menangani isu membabitkan golongan belia iaitu pendidikan, pekerjaan dan rasa hormat,” katanya melalui Twitter.

Pengangguran belia mencecah 12.5 peratus pada 2020, meningkat daripada 10.5 peratus pada 2019 selepas pakej rangsangan COVID-19  “mengutamakan pekerja lebih berpengalaman,” menurut artikel yang disiarkan pada September oleh Institut Yusof Ishak dari Singapura.

Zainul Harris, seorang penganalisis kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, pula berkata blok pengundi muda boleh memberi kesan kepada pilihan raya umum akan datang jika ia menyokong ahli politik dan politik yang bertanggungjawab.

“Sebagai contoh, jika golongan belia memilih untuk mengundi ahli politik yang mengamalkan politik bersih maka ini akan mencetuskan perubahan,” katanya kepada Malay Mail, sebuah akhbar tempatan pada Oktober.

Belia Malaysia yang memprotes pentadbiran Muhyiddin masih meneliti prestasi kerajaan baharu pimpinan UMNO yang mengambil alih kuasa pada Ogos.

UMNO, parti tertua dan terbesar Malaysia, mempunyai ahli yang ramai meskipun telah dicemari oleh skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad.

Najib Razak, bekas Perdana Menteri dan pemimpin kanan UMNO, kini merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi pertuduhan membabitkan anak syarikat 1MDB. Beliau turut berdepan 25 pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM2.3 bilion yang hilang daripada dana 1MDB.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi turut berdepan 47 pertuduhan rasuah membabitkan berjuta-juta ringgit dalam kes berasingan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.