Follow us

Ahli Politik Malaysia: Gempa Bumi dan Tsunami di Indonesia adalah ‘Hukuman Tuhan’ Terhadap LGBT

Ali Nufael & Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-23
E-mel
Komen
Share
Pemimpin pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan kepada media  ketika beliau berjalan ke dalam Agensi Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 3 Julai 2018.
Pemimpin pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi mengangkat tangan kepada media ketika beliau berjalan ke dalam Agensi Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 3 Julai 2018.
[AP]

Bencana gempa bumi dan tsunami yang telah memusnahkan wilayah Sulawesi Tengah Indonesia bulan lepas adalah “Hukuman Tuhan” bagi perlakuan LGBT, kata pemimpin pembangkang Malaysia Ahmad Zahid Hamidi dalam sesi soal jawab di parlimen pada Selasa.

Zahid telah mengaitkan bencana alam yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 2,250 orang di Sulawesi dengan isu LGBT ketika menyoal para pegawai kerajaan dalam sesi persidangan parlimen mengenai satu program kendalian negara untuk “memulihkan” golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender.

“Jika kita lihat situasi di Malaysia, ia adalah membimbangkan, berdasarkan apa yang berlaku di Palu, Indonesia ketika bencana gempa bumi dan tsunami melanda,” kata Zahid, bekas timbalan Perdana Menteri Malaysia bagi kerajaan terdahulu yang kini mengetuai blok pembangkang Barisan Nasional.

“Dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 1,000 orang dalam komuniti mereka yang telah terlibat dalam aktiviti-aktiviti LGBT. Ini telah menyebabkan kemusnahan di seluruh kawasan itu. Ini adalah hukuman tuhan,” katanya. Kenyataan beliau telah dirakam dan disebarkan secara online, termasuk di laman sesawang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti pimpinan beliau yang menerajui pakatan pembangkang.

Zahid, 65, membuat kenyataan itu ketika mengemukakan soalan mengenai satu program kerajaan dikenali sebagai program Mukhayyam, satu inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bertujuan untuk “memulihkan” golongan gay dan “mengembalikan mereka ke jalan yang benar.”

“Soalan saya ialah apakah langkah-langkah yang sedang diambil oleh [Jakim] bagi memastikan keberkesanan program Mukhayyam kerana, kita lihat sehingga pertengahan tahun lepas, sejumah 1,195 orang telah menyertai program ini,” kata beliau sambil menambah, “Dan saya juga ingin tahu keberkesanan program ini bagi membolehkan kita mengelak hukuman Tuhan terhadap semua rakyat Malaysia termasuk mereka yang menolak LGBT.”

Program Mukhayyam terdiri daripada beberapa sesi yang berlanjutan selama tiga hari dan dua malam. Peserta menerima arahan berbentuk keagamaan dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pembinaan pasukan. Para peserta, menurut Jakim, mengambil bahagian dalam program itu secara sukarela.

Mujahid Yusof Rawa, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, telah menjawab komen Ahmad Zahid pada sesi persidangan parlimen itu.

Beliau berkata pendirian kerajaan berhubung isu LGBT adalah jelas dan Perdana Menteri Mahathir Mohamad telah menolak “amalan hidup” golongan LGBT. Pada akhir September, pemimpin Malaysia yang berusia 93 tahun itu berkata perkahwinan sejenis dan hak-hak golongan gay adalah bertentangan dengan nilai-nilai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Menurut Mujahid, “hak-hak komuniti LGBT untuk mengamalkan cara hidup mereka adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.”

“Pada masa yang sama, hak-hak mereka sebagai manusia dan rakyat Malaysia sentiasa dilindungi berdasarkan adat dan budaya di Malaysia serta dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Semasa sesi persidangan parlimen pada Selasa, para pegawai kerajaan tidak menyentuh kenyataan Ahmad Zahid berkaitan bencana yang menimpa Sulawesi.

Bagaimanapun Hannah Yeoh, seorang MP Parti Tindakan Demokratik, satu daripada parti konstituen dalam gabungan pemerintah Pakatan Harapan, telah mengkritik Ahmad Zahid kerana memberi tumpuan terhadap isu LGBT.

“Daripada semua isu penting yang Pemimpin Pembangkang @Zahid_Hamidi boleh bangkitkan, beliau memilih isu ini. Rasuah adalah gejala sosial dan aktiviti tidak bermoral paling besar di Malaysia. Sila nyatakan pendirian UMNO berhubung perkara ini,” katanya menerusi akaun Twitter.

Minggu lepas, Ahmad Zahid telah ditahan dan didakwa atas pertuduhan melakukan kesalahan berkaitan rasuah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berjumlah AS$27.56 juta.

181023-ID-Sulawesi-620-inside.jpg

Seorang wanita membersihkan sisa-sisa runtuhan dari rumahnya di Palu dalam wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia selepas dilanda bencana gempa bumi dan tsunami yang dahsyat bulan lepas, 8 Okt 2018. [AFP]

'Terapi penukaran’


Menurut Mujahid, sikap umum orang ramai terhadap komuniti LGBT mungkin tidak membantu, sebaliknya telah meminggirkan golongan gay dan menyebabkan ramai antara mereka yang hanyut ke dalam aktiviti perdagangan seks, kata Mujahid.

Terdapat kira-kira 20,000 orang transgender di Malaysia, dan hampir 80 peratus daripada mereka terjerumus dalam industi seks, kata Mujahid merujuk beberapa kajian.

Selain program Mukhayyam, Mujahid berkata antara banyak inisiatif yang bakal diperkenal oleh kerajaan baharu adalah bagi membantu anggota komuniti itu untuk mendapatkan pekerjaan yang betul.

Mujahid juga memaklumkan parlimen bahawa pihaknya akan menaik taraf satu aplikasi berasaskan e-buku bagi komuniti LGBT yang telah diperkenal oleh kerajaan terdahulu pada 2016.

e-buku itu, yang bertajuk “Hadis Sahih Mengenai Perlakuan LGBT” (satu kompilasi Hadis sahih Islam berkaitan perlakuan LGBT), boleh dimuat turun daripada aplikasi Google Play Store. Aplikasi itu mengandungi garis panduan bagaimana untuk “mengawal nafsu dan perlakuan” serta memasukkan ayat-ayat al-Quran.

Wan Salim Wan Mohd Noor, Mufti negeri Pulau Pinang, memuji inisiatif Jakim meskipun tidak pernah mendengar tentang aplikasi itu sebelum ini.

“Saya rasa ini adalah bagus kerana kita mahukan mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya kepada BeritaBenar. “Kita perlu bersetuju dan menyokong inisiatif ini kerana LGBT bukanlah norma hidup yang betul. Bukan hanya dalam Islam tetapi juga agama lain,” katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu, aktivis hak-hak asasi LGBT, S.Thilaga mengkritik “program penukaran” yang telah dimulakan oleh Jakim dan menyifatkannya sebagai satu pembaziran wang rakyat yang boleh membahayakan orang ramai.

“Hakikatnya usaha-usaha terapi penukaran, pemulihan atau balik pangkal jalan adalah tidak berdasarkan bukti dan hak-hak,” katanya.

“Sering kali diberitahu bahawa kami perlu diperbetul dan dipulihkan, antara lain, boleh meningkatkan stigma dan maklumat yang salah, serta dipinggirkan orang ramai, mewujudkan tekanan tambahan, kurang keyakinan diri, mewujudkan lebih banyak halangan kepada golongan LGBT untuk akses kepada perkhidmatan asas, dan banyak lagi,” kata Thilaga kepada BeritaBenar.

Komuniti LGBT Malaysia telah lama berdepan diskriminasi di negara yang menyaksikan seks homoseksual masih haram di bawah undang-undang era penjajahan British dan berpakaian menyerupai jantina bertentangan adalah dilarang.

Lihat Laman Penuh