Follow us

Ahmad Zahid Mengaku Tidak Bersalah Terhadap 45 Pertuduhan Rasuah Berjumlah RM114 Juta

Lex Radz & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-10-19
E-mel
Komen
Share
Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dikawal rapi setibanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa atas kesalahan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram, Kuala Lumpur, 19 Oktober, 2018.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dikawal rapi setibanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa atas kesalahan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram, Kuala Lumpur, 19 Oktober, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan dengan 45 pertuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang kemudian membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM2 juta.

Beliau berdepan lapan pertuduhan penyalahgunaan kuasa, 10 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan RM114,148,983.86, yang didakwa dilakukan sejak 2014.

Hakim Azura Alwi mengarahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu membayar wang jaminan sebanyak RM1 juta pada Jumaat, dan bakinya sebelum 26 Okt.

"Pasport antarabangsa tertuduh juga perlu diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai," kata Hakim Azura.

Ahmad Zahid kelihatan letih dan lebih banyak menundukkan kepala ketika kesemua pertuduhan dibacakan dalam tempoh 55 minit. Mahkamah turut menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Tinggi.

Anggota Parlimen Bagan Datuk itu telah ditahan pada Khamis selepas menyerah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Beliau dibawa ke mahkamah pada pukul 8 pagi untuk didakwa atas kesalahan mengikut Akta SPRM.

Semua 45 pertuduhan

Ahmad Zahid berdepan 10 pertuduhan pecah amanah dengan jumlah tertinggi RM17 juta mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

Baki 27 pertuduhan adalah berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM72 juta mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), termasuk pembelian dua lot banglo bernilai RM5.9 juta serta pemberian 30 keping cek bernilai RM6.8 juta kepada diri beliau sendiri.

Pertuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa pula termasuk dakwaan peranannya dalam perkhidmatan penyumberan luar Kementerian Dalam Negeri yang dikaitkan dengan MyEG Services Sdn Bhd, dakwaan menerima wang daripada seorang pengarah Data Sonic Group Bhd untuk membekalkan 12.5 juta cip bagi pasport Malaysia dan melantik sebuah syarikat mengendalikan pusat sehenti di Pakistan serta Nepal bagi memproses visa kerja bernilai RM21.25 juta.

Presiden UMNO itu didakwa melakukan pecah amanah antara Januari 2014 hingga Mac 2018, kesalahan salah guna kuasa dan rasuah mengikut Akta SPRM antara Julai 2016 dan Mac 2018 manakala pengubahan wang haram sejak 27 Mac 2016.

Setiap pertuduhan membawa hukuman maksimum penjara antara 15 dan 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan.

Ahmad Zahid yang dipilih menerajui UMNO pada Jun lalu, merupakan individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan jenayah ketika menjadi presiden parti terbesar orang Melayu itu.

Ahmad Zahid diwakili peguam jenayah tersohor, Hisham Teh Poh Teik, dan 11 peguam lain manakala Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dengan dibantu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa P Kunyalam, T Deepa Nair serta Nadia Mohd Izhar.

Isteri Ahmad Zahid, Hamidah Khamis dan ahli keluarga lain turut hadir di mahkamah pada Jumaat.

Keadaan di luar pekarangan mahkamah tegang sejak pukul 7.30 pagi ekoran kehadiran kira-kira 200 penyokong Ahmad Zahid yang berpakaian merah, rata-ratanya terdiri daripada ahli Umno.

Keadaan bertambah serius sekitar jam 8.35 pagi selepas beberapa penyokong cuba merempuh barisan polis yang berkawal untuk memasuki bangunan mahkamah hingga memaksa pasukan keselamatan itu menutup pintu utama.

Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Diraja Malaysia [PDRM] turut bersiap siaga di depan pintu masuk mahkamah bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Najib hadir beri sokongan

Turut kelihatan ialah bekas Perdana Menteri Najib Razak yang menyifatkan kehadiran beliau di mahkamah sebagai “memberi sokongan kepada sahabat lama.”

Najib menghabiskan masa kira-kira 15 minit di kamar mahkamah. Beliau kemudian beredar sejurus sebelum pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dibacakan.

Beberapa bekas menteri kabinet kerajaan yang lalu turut hadir, termasuk Khairy Jamaludin, Mahdzir Khalid dan Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Ahmad Zahid sebagai presiden parti ekoran pendakwaan hari ini, Mohamad berkata beliau akan memanggil mesyuarat pengurusan parti untuk membincangkan hal tersebut.

“Kita akan bincang di peringkat pengurusan dan kita akan putuskan perkara tersebut,” katanya sambil menegaskan Umno bukanlah ‘parti individu,’ sebaliknya kekuatan parti itu terletak pada 3 juta ahlinya di seluruh negara.

Ahmad Zahid keluar dari bangunan mahkamah pada jam 12.50 tengah hari setelah selesai urusan pembayaran ikat jamin pertama dan terus bertemu para penyokong beliau menunggu di luar pagar mahkamah.

Beliau yang memakai baju batik warna jingga mengucapkan terima kasih kepada mereka dan berkata “Ini semua ujian daripada Allah” sebelum beredar ke Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat Jumaat.

Ahmad Zahid sebelum ini telah lima kali dipanggil oleh SPRM sejak Julai lepas berhubung siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akal Budi milik keluarganya dan dakwaan berhubung pertemuan beliau dengan seorang kerabat diraja Arab Saudi sebelum diberi notis supaya menghadirkan diri ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam untuk didakwa pada Jumaat

Lihat Laman Penuh