Polis siasat Presiden UMNO atas dakwaan ucapan berbaur hasutan terhadap badan kehakiman

Pihak berkuasa menerima 12 laporan polis berhubung kenyataan Ahmad Zahid Hamidi semasa majlis Taklimat Khas Presiden, Sabtu lalu.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2022.08.30
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Polis siasat Presiden UMNO atas dakwaan ucapan berbaur hasutan terhadap badan kehakiman Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi semasa memberi ucapan di majlis Taklimat Khas Presiden yang di adakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, 27 Ogos, 2022.
[Ihsan akaun sosial media Ahmad Zahid Hamidi]

Pihak berkuasa pada Selasa telah mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka terhadap Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) -- parti utama dalam gabungan pakatan pemerintah Malaysia atas dakwaan melakukan hasutan terhadap institusi kehakiman negara semasa berucap pada majlis taklimat khas, Sabtu lalu.

Siasatan itu dimulakan selepas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerima 12 laporan yang dibuat terhadap Ahmad Zahid Hamidi, yang menyentuh mengenai kredibiliti mahkamah dalam ucapannya semasa perhimpunan besar yang berlangsung di Ibupejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM A. Skandaguru mengesahkan yang Ahmad Zahid telah disiasat di bawah Akta Hasutan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

"Ini adalah perkembangan siasatan terhadap video ucapan presiden UMNO Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Taklimat Khas Presiden di Dewan Merdeka World Trade Centre, Kuala Lumpur.

"Polis Diraja Malaysia mengesahkan bahawa siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini sebanyak 12 laporan polis yang telah diterima dan siasatan masih dijalankan," kata beliau dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Seksyen 4(1) Akta Hasutan adalah undang-undang yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan berkaitan perbuatan menghasut, di mana jika sabit kesalahan buat kali pertama seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 (AS$1,113) atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 (AS$11,135) atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan menyalahgunakan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.

Pada Sabtu lalu, kira-kira 5,000 pemimpin dari peringkat akar umbi serta pimpinan tertinggi parti UMNO telah berkumpul di PWTC bagi mendengar satu taklimat khas oleh Ahmad Zahid, yang dibuat susulan keputusan Mahkamah Persekutuan memenjarakan bekas perdana menteri Najib Razak dengan mengekalkan sabitan jenayah atas tujuh kesalahan berkaitan rasuah terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Di dalam ucapan sewaktu sesi taklimat tersebut, Ahmad Zahid telah mempertikaikan keputusan mahkamah dalam kes Najib, dan menyifatkan bahawa pemimpin itu "telah terlebih dahulu dihukum sebelum didapati bersalah."

Ahmad Zahid mendakwa bahawa keputusan bersalah telah dibuat mahkamah terhadap Najib walaupun sebelum pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu selesai di Mahkamah Persekutuan minggu lepas.

"Lebih parah lagi apabila kertas penghakiman telah tular belum pun prosiding di Mahkamah Persekutuan selesai. Setelah beberapa laporan polis dibuat khususnya oleh Pemuda UMNO pada hari kejadian kes Dato’ Sri Najib masih berlangsung, Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengesahkan kebocoran penghakiman itu hanya bersifat deraf.

"Namun hakikatnya, keputusan bersalah sudah pun dibuat. Ada yang beranggapan, mahkamah hanya dianggap bebas, sekiranya orang seperti kita semua didapati bersalah dan orang di sebelah sana dibebaskan," kata Presiden UMNO itu semasa berucap pada majlis tersebut.

Selain itu, Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mempertikaikan keputusan mahkamah sebelum ini yang menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dan permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuan dalam kes SRC International terhadap beliau.

"Apa yang dapat kita simpulkan, tanpa niat untuk mempersoal jauh sekali untuk mempertikaikan keputusan mahkamah, apabila watak-watak utama tidak ditampilkan, bukti baharu tidak diterima dan penangguhan tidak dibenarkan ekoran pertukaran peguam baru, maka wujudlah pelbagai persepi yang menjurus kepada tanggapan wujudnya perbicaraan yang tidak adil," kata beliau.

Laporan polis oleh pembangkang

Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, anak syarikat 1MDB, menjadikan beliau bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjalani hukuman penjara.

Antara yang membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid berhubung ucapan yang didakwa mencaci, menghina dan memfitah badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasyai dan Seri Paduka Bagunda Yang di-Pertuan Agong semasa majlis taklimat itu ialah Ketua Wanita Pakatan Harapan Aiman Athirah Al Jundi, seorang pemimpin politik pembangkang dari Parti Amanah Negara (AMANAH) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di Kuala Lumpur pada Selasa.

Siasatan polis terhadap Ahmad Zahid adalah sesuatu yang tidak mengejutkan, kata penganalisis politik terutama sekali dakwaan pemimpin itu yang menuduh mahkamah terlibat dalam konspirasi politik.

"Zahid perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana mengeluarkan kata-kata sedemikian terhadap badan kehakiman. Ianya adalah tidak salah untuk menganalisa keputusan mahkamah secara negatif, tetapi sehingga ke tahap membuat tuduhan tanpa bukti atau mengeluarkan teori konspirasi terhadap mahkamah dan hakim adalah sesuatu yang lain," kata Oh Ei Sun, penganalisis dari Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura kepada BenarNews.

Azmi Hassan, felo kanan Akademik Nusantara untuk Penyelidikan Strategik, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Selangor, pula percaya bahawa siasatan terhadap Ahmad Zahid itu mungkin tidak akan mempunyai implikasi yang serius terhadap ahli politik berkenaan.

Ia adalah kerana isu penghakiman terhadap Najib telah dibincangkan secara meluas oleh ramai individu dan parti politik.

"Banyak perkara telah diperkatakan mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib Razak. Pada pandangan saya, tidak ada implikasi serius akan terjadi dari isu ini, sama ada Zahid akan didakwa di bawah Akta Hasutan atau tidak. Mungkin tidak…, saya pun tidak pasti, kerana ramai individu dan parti telah membuat komen berkenaan isu yang sama," kata beliau kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.