Malaysia Minta Thailand Hantar Pulang Warganya

Staf BeritaBenar
2016.08.05
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
160805-my-zahid-th-620 Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi sebaik saja tiba untuk menghadiri Persidangan Proses Bali di Nusa Dua, Bali, Indonesia, 23 Mac 2016.
AFP

Malaysia meminta Thailand untuk menghantar pulang 'penjenayah' dari negaranya yang mencari perlindungan di negara jiran itu, termasuk mereka yang mempunyai kaitan dengan militan dan aktiviti keganasan.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian dalam satu kenyataan media mengenai lawatan rasmi dua hari beliau ke Thailand, di mana antara isu yang dibincangkan dengan rakan sejawatnya termasuk jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.

"Malaysia meminta kerjasama Thailand dalam mengekstradisi penjenayah kembali ke negara kita, supaya mereka akhirnya boleh dibawa ke muka pengadilan…

“Terdapat penjenayah Malaysia yang mendapatkan perlindungan di negara itu kerana melarikan diri daripada penguatkuasaan undang-undang jenayah, terutamanya sejak Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasaan) 2013 (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) berkuatkuasa,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri pada Jumaat.

Beliau berkata, selain itu, usaha untuk membanteras keganasan yang  melibatkan anggota militan Negara Islam (IS) yang menjadikan Thailand sebagai "tapak" untuk masuk dan keluar dari  Malaysia juga dibincangkan.

"Ada juga (IS) daripada Malaysia yang menjadikan Thailand sebagai tapak untuk ke negara ketiga dan usaha dua hala ini, melibatkan pertukaran maklumat perisikan dan operasi antara pihak keselamatan kedua-dua negara,” kata beliau kepada media Malaysia seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ahmad Zahid turut bertemu dengan dua Timbalan Perdana Menteri Thailand, Wissanu Krea-ngam dan Jen Prawit Wongsuwan yang juga Menteri Pertahanan negara itu.

Beliau dalam kenyataan media itu juga memaklumkan kesediaan Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan dalam program deradikalisasi terhadap ekstremis di Thailand.

"Malaysia menjemput Thailand untuk menghantar pegawainya bagi mengikuti lawatan sambil belajar ke penjara kita serta agensi-agensi lain yang terlibat dalam pembangunan dan perlaksaan Modul Bersepadu Deradikalisasi yang dibangunkan daripada sub-modul pengurusan diri, psikologi, moral dan kerohanian,” katanya dalam kenyataan itu.

Malaysia pada Januari lepas telah menganjurkan persidangan dua hari yang bertema 'radikalisasi dan menangani ekstremisme ganas' di Kuala Lumpur di tengah-tengah kawalan keselamatan ketat susulan serangan IS di Jakarta, ibu negara jirannya Indonesia, yang menunjukkan peningkatan ancaman kumpulan militan itu di rantau berkenaan.

Para perwakilan persidangan itu menggesa supaya perhatian yang lebih diberikan kepada pemulihan pengganas yang disabitkan kesalahan dan suspek pengganas yang menunggu perbicaraan di penjara.

Beliau berkata, selain itu juga Malaysia berusaha untuk mengukuhkan kawalan di sempadan dengan menyampaikan hasrat untuk meningkatkan kerjasama dalam membanteras pemerdagangan manusia serta komitmen kedua-dua negara dalam menangani jenayah kejam itu.

Bernama melaporkan Ahmad Zahid pada sidang media sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur sebagai berkata, Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk menjalin kerjasama di bawah skim Pemindahan Antarabangsa Banduan menerusi penghantaran banduan Thailand di Malaysia ke penjara di negara asal mereka.

Pada ketika ini, katanya, terdapat 799 banduan Thailand yang sedang ditahan di penjara-penjara Malaysia dengan 79 daripada mereka layak dipindah balik ke penjara di negara asal mereka.

Timbalan perdana menteri berkata selain itu terdapat 31 rakyat Thailand yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati di penjara-penjara Malaysia.

Dalam isu lain, beliau berkata Malaysia turut membangkitkan kegusarannya tentang 'pembolosan' di sempadan kedua-dua negara yang dianggap tidak sepatutnya berlaku membabitkan dadah, senjata dan penyeludupan manusia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh