Follow us

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia Didakwa Terima Rasuah RM12.8 Juta

Radzi Razak
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-06-26
E-mel
Komen
Share
Bekas pemimpin negara Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada pemberita sebelum memasuki kamar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Malaysia, 26 Jun, 2019.
Bekas pemimpin negara Ahmad Zahid Hamidi melambai kepada pemberita sebelum memasuki kamar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Malaysia, 26 Jun, 2019.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Bekas pemimpin Malaysia Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mengaku tidak bersalah selepas sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan tujuh pertuduhan menerima suapan lebih SGD4.2 juta (kira-kira RM12.8 juta) daripada sebuah syarikat pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN), dua tahun lalu.

Ahmad Zahid, 66, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri ketika itu, kelihatan tenang dan mengangguk tanda faham ketika semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicara,” kata Ahmad Zahid, yang didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 dan 2 Mac 2018, selepas setiap pertuduhan dibacakan oleh petugas mahkamah.

Beliau yang juga Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] didakwa menerima suapan tersebut daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd (UKSB) berjumlah antara SGD300,000 (kira-kira RM918,742) hingga SGD1.04 juta (kira-kira RM3.18juta) dengan jumlah terkumpul kesemuanya kira-kira SGD4.2 juta (kira-kira RM12.8 juta).

Suapan itu adalah sebagai dorongan bagi beliau, yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri, untuk melanjutkan kontrak syarikat berkenaan dalam mengendalikan sistem Visa Luar Negara (VLN) bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd telah diberikan hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa pemerintah kerajaan dahulu untuk menguruskan Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI), iaitu sistem tapisan awal keselamatan terhadap pelancong dari China yang dibenarkan memasuki Malaysia tanpa visa selama 15 hari.  

Akhbar tempatan Harian Metro dalam siri laporan khasnya pada Nov lepas, mendedahkan sejak sistem eNTRI diperkenalkan, UKSB itu sudah mengutip lebih RM198,066,952 (AS$47juta) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun, tapisan keselamatan dilakukan amat lemah sehinggakan kelulusan juga diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

UKSB yang diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan tersebut iaitu RM100 (AS$24) untuk setiap permohonan tanpa langsung memberi hasilnya kepada kerajaan.

Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Kesemua pertuduhan Ahmad Zahid adalah mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Pertuduhan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan pertuduhan ke atas Ahmad Zahid adalah sebanyak 54 setakat ini.

Pendakwaan pada Rabu itu diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar manakala Ahmad Zahid diwakili peguam Kitson Foong dan Hanafi Mohd Noh.

Foong berhujah bahawa anak guamnya akan berdepan dengan beberapa pertuduhan lagi pada Khamis dan meminta mahkamah meletakkan nilai ikat jamin yang munasabah kerana anakguamnya telah pun membayar RM2 juta (AS$482,470) dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah dalam kes sebelum ini.

“Dengan itu, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM200,000 (AS$48,261) dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes ini ditetapkan pada 31 Julai di sini (Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur),” kata Hakim Azura susulan permohonan Foong itu.

Turut hadir pada prosiding itu ialah bekas Perdana Menteri Najib Razak, Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi Dusuki serta anak perempuan Ahmad Zahid, Nurulhidayah dan suaminya.

Ahmad Zahid yang memakai baju batik hitam bercorak emas dilihat bersalaman dan memegang bahu Najib sebelum prosiding pendakwaan bermula.

Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru dilantik, Latheefa Koya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki serta kira-kira dua puluh penyokong UMNO dan beberapa pegawai SPRM lain turut hadir di mahkamah.

190626-MY-Inside-Latheefa.620.jpg

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya bercakap kepada pemberita selepas bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Malaysia 26 Jun, 2019. [Hadi Azmi/BeritaBenar]

33 pertuduhan lagi

Dalam pada itu, Latheefa mengesahkan Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datok akan didakwa dengan 33 lagi pertuduhan dengan nilai suapan melibatkan RM47 juta (AS$11.3 juta) berkaitan syarikat yang sama pada Khamis (27 Jun) di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

"Datuk Seri Ahmad Zahid akan menghadapi 33 lagi pertuduhan di Mahkamah Shah Alam yang melibatkan transaksi yang serupa.

"Secara keseluruhannya akan terdapat lebih 40 pertuduhan dan ini amat serius dan memandangkan pertuduhan telah selesai, kami akan biarkan mahkamah yang putuskan.

"Ini bukan kes rasuah yang biasa kerana ia melibatkan bekas pemimpin pada ketika kes ini berlaku. Jumlah yang terlibat juga sangat tinggi jadi ia memberi satu impak berkepentingan awam,” kata Latheefa kepada wartawan.

Latheefa turut berkata pertuduhan dibuat menggunakan matawang dolar Singapura kerana transaksi menggunakan matawang berkenaan dan bukan Ringgit Malaysia.

Menurutnya Syarikat UKSB yang terlibat dalam kes rasuah itu juga akan dikenakan tindakan selepas ini.

"Kita biar kepada kerajaan untuk ambil tindakan terhadap syarikat itu. Buat masa ini, kita dapat buktikan bahawa ini benar berlaku. Akan ada saksi-saksi yang telah dikenal pasti,” tambah beliau.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang ditemui di lobi mahkamah enggan memberikan komen lanjut kepada wartawan.

“Saya serahkan kuasa kepada peguam saya (untuk memberi komen). Bukan serah kuasa presiden, kuasa untuk beri kenyataan (media) sahaja,” katanya sambil berseloroh.

Peguamnya, Hanafi bagaimanapun tidak mahu mengulas dan berjanji akan memberikan kenyataan selepas baki 33 pertuduhan dibuat di Mahkamah Shah Alam.

Ahmad Zahid sebelum ini didakwa dengan 47 pertuduhan jenayah - 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

 

Aiman Abdul Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh