UMNO kekal guna logo ‘dacing’ pilihan raya umum akan datang

Bagaimanapun, kepimpinan parti berteraskan Melayu itu terbuka untuk ‘bekerjasama’ dengan parti sekutu kerajaan campuran bagi elak pertembungan.
Iman Muttaqin Yusof
2024.08.21
Kuala Lumpur
UMNO kekal guna logo ‘dacing’ pilihan raya umum akan datang Perwakilan Puteri UMNO mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sang Saka Bangsa pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2024 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 21 Ogos 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Didorong oleh perebutan kerusi daripada pesaingnya dalam pilihan raya kecil baru-baru ini, UMNO melalui Barisan Nasional (BN), kuasa politik yang pernah dominan di Malaysia berkata pada Rabu bahawa ia akan kekal bertanding atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Bagaimanapun, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu terbuka untuk "bekerjasama" dengan parti yang sedang bersekutu dengannya dalam kerajaan campuran meskipun beberapa penganalisis menyatakan bahawa pakatan semasa itu adalah "sementara."

“Dalam tempoh tidak lebih tiga tahun, kita akan hadapi PRU (Pilihan Raya Umum) ke-16. Saya setuju dengan pandangan rakan kepimpinan dan ahli di akar umbi bahawa dalam PRU akan datang, kita harus tetap menggunakan lambang dacing, lambang Barisan Nasional (BN),” kata beliau pada sidang media selepas taklimat tertutup Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu.

“Namun kita tidak menolak kolaborasi dengan 18 parti dalam kerajaan perpaduan supaya tidak berlaku pertindihan (bertanding di kerusi sama) dan terdapat kerjasama dalam menggamit sokongan pengundi.

“Ini mesti dilakukan sekarang kerana kita tak mahu keserasian diwujudkan hanya ketika PRU, sebaliknya ia mesti dibina bermula sekarang.”

Perhimpunan tahunan bermula Rabu dengan dihadiri lebih 6,000 penyokong dan kepimpinan akar umbi itu dijangka mempamerkan UMNO yang lebih tegas, menurut Zahid.

Beberapa hari sebelum perhimpunan itu, calon UMNO menang dengan majoriti 3,352 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan majoriti Melayu Nenggiri di Kelantan, sebuah negeri yang lebih tiga dekad dikuasai oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menentang pesaing utamanya Perikatan Nasional.

“Kita mahu supaya kepimpinan UMNO semua peringkat ambil ibrah (pengajaran) daripada kemenangan di PRK Nenggiri, di mana kerusi yang kita kalah [pada 2023] sudah dapat ditebus semula,” katanya.

“Jika ada telahan bahawa UMNO tidak lagi relevan atau ditolak oleh orang Melayu, jelas ini (keputusan PRK Nenggiri) satu nada baharu dalam perjuangan kepimpinan UMNO di semua peringkat.”

Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri melalui persepakatan BN dengan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menang 81 daripada 222 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2022. Barisan Nasional yang didominasi oleh UMNO pimpinan Zahid menguasai 30 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, kerjasama itu telah penuh dengan ketegangan, sebahagian besarnya disebabkan oleh sejarah lama perseteruan UMNO dengan Pakatan Harapan yang turut dianggotai Parti Tindakan Demokratik (DAP) di mana majoriti pemimpin dan penyokongnya dari kaum Cina sering menjadi sasaran retorik UMNO.

Di sebalik tekanan dalaman itu, UMNO kekal sebagai anggota utama Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dengan tujuh pemimpin kanannya dilantik menjadi menteri manakala enam lagi sebagai timbalan menteri.

Kemenangan UMNO di Nenggiri dilihat sebagai penting dalam usaha parti itu untuk meraih semula kedudukan yang hilang, kata penganalisis politik Azmi Hassan kepada BenarNews.

“Tidak seperti tahun lepas, apabila kerjasama dengan parti lain masih baru, UMNO kini telah menunjukkan bahawa ia mampu dan bersedia untuk bertanding secara solo tanpa Pakatan Harapan terutamanya selepas keputusan Nenggiri,” kata Azmi dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara.

Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan UMNO telah menolak dakwaan bahawa parti itu akan bergerak secara solo dalam masa terdekat, sambil mengiktiraf semangat luar biasa perhimpunan agung tahun ini.

“Semangat UMNO sangat tinggi. Kemenangan di Nenggiri telah meningkatkan keyakinan ahli bahawa parti itu mampu meraih semula sokongan rakyat dan masyarakat Melayu.

“Tidak timbul isu UMNO akan bertanding secara solo pada pilihan raya umum akan datang. Masih terlalu awal untuk membincangkannya. Keutamaan UMNO ialah memastikan menteri-menterinya dapat menunjukkan prestasi baik walaupun berkongsi kuasa dan bukan kuasa dominan dalam kerajaan semasa,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Mohd Puad Zarkashi kepada BenarNews.

orangaslitohoi.jpg
Sekumpulan penduduk Orang Asli membawa bendera Barisan Nasional dengan menaiki motosikal ketika kempen pilihan raya kecil Nenggeri di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan, 15 Ogos 2024. [Ihsan Akmal Salleh melalui Facebook]

Penganalisis politik Syaza Shukri berkata kerjasama dalam kerajaan perpaduan sekarang hanya bersifat sementara dan UMNO berusaha untuk kembali mendominasi politik tanah air.

“UMNO sudah tentu menantikan hari mereka boleh mengembalikan penguasaan mereka dan BN tidak perlu bekerjasama dengan orang lain. Tetapi adakah ini mungkin berlaku? Saya tidak melihatnya dalam pilihan raya akan datang," kata Syaza, profesor madya sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.

James Chin, seorang profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania pula menyifatkan kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan sebagai "penyelesaian sementara".

Beliau berkata pilihan UMNO adalah terhad, kerana bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan membawa kepada kepupusan politiknya.

“Sudah jelas UMNO tidak boleh berpihak kepada PN kerana (anggotanya) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan dengan tujuan jelas untuk menggantikan UMNO sebagai parti berteraskan Melayu,” kata Chin kepada BenarNews.

“Jika mereka pergi ke sebelah sana (PN), mereka hanya akan dibunuh oleh Bersatu. Peluang terbaik yang mereka ada adalah dengan Anwar.”

Bagaimanapun, perhimpunan agung UMNO tahun ini menampilkan kelainan apabila ia memutuskan untuk tidak menjemput pemimpin parti sekutu kerajaan campuran kecuali komponen Barisan Nasional atas alasan mahu menumpukan masalah parti secara keluarga dan dalaman. 

Berbeza pada tahun lalu, buat pertama kali Perdana Menteri Anwar Ibrahim kembali dijemput berucap di pentas utama dalam Dewan Merdeka selepas 26 tahun dengan kali terakhir dilakukan pada 1997 ketika menjadi Timbalan Presiden UMNO sebelum dipecat setahun kemudian. 

Pergolakan dalaman

Sementara itu, Perikatan Nasional yang diterajui bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dari Bersatu bersama PAS, sedang bergelut dengan persengketaan dalaman terutamanya selepas kenyataan Presiden Bersatu mengenai Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Semasa berceramah dalam kempen pilihan raya kecil Nenggeri di Kelantan pada 14 Ogos lalu, Muhyiddin mendakwa beliau mendapat sokongan ahli parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tetapi dihalang oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata walaupun mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menjadi perdana menteri, beliau tidak pasti mengapa Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang tidak menjemput beliau ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah.

Muhyiddin memberikan kenyataan kepada pegawai tertinggi polis negara pada Rabu selepas Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka terhadap pemimpin PN itu yang dianggap sengaja memperlekehkan ayahandanya dan menghasut rakyat supaya hilang kepercayaan terhadap raja-raja Melayu dan institusi diraja.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Muhyiddin menafikan ucapannya sebagai menghina Yang di-Pertuan Agong dan mengesahkan kesetiaannya kepada institusi raja-raja Melayu di negara itu.

“Sebagai rakyat biasa, saya bernaung di bawah kebesaran dan keluhuran raja-raja Melayu dan kesetiaan saya kepada institusi raja berperlembagaan tidak perlu dipersoalkan,” katanya.

Kontroversi itu telah mencetuskan kritikan meluas dan menyebabkan keretakan dalam gabungan itu, terutamanya selepas Perikatan Nasional Pahang yang diketuai Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengeluarkan kenyataan menggesa polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap ketuanya.

“Perikatan Nasional melihat pengerusi mereka sebagai liabiliti dan kekalahan di Nenggiri boleh meningkatkan rasa tidak puas hati dalam gabungan itu,” kata penganalisis politik Azmi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.