Ahmad Zahid Undur Diri Sebagai Pemimpin Utama Pembangkang Malaysia

Hadi Azmi & Ali Nufael
2018.12.18
Kuala Lumpur, Malaysia
181218-MY-UMNO1000.jpg Ahmad Zahid Hamidi, presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, melambai kepada para penyokongnya ketika tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya, 10 Okt, 2018.
[AP]

Presiden parti paling lama memerintah Malaysia melepaskan tugas-tugasnya pada Selasa selepas 17 daripada 54 anggota parlimen  meninggalkan parti itu dalam tempoh enam bulan lalu, dengan para penganalisis menganggap tindakan itu sebagai kegagalan untuk menyesuaikan diri menjadi pembangkang.

Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO telah menjadi kuasa politik Malaysia sejak negara itu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Tetapi, pada pilihan raya umum Mei lalu, ia hanya memenangi 54 daripada 222 kerusi setelah ditewaskan gabungan empat parti, Pakatan Harapan (PH), yang kemudian mengambil alih kuasa pemerintahan. Sejak itu, beberapa pemimpin tertinggi UMNO telah disiasat atas dakwaan rasuah.

“Berdasarkan kemelut yang dihadapi parti hari ini, saya ambil keputusan untuk memberi kepercayaan kepada Timbalan Presiden untuk menjalankan tugas sebagai Presiden,” kata pemimpin UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang merujuk kepada timbalannya, Mohamad Hasan.

“Saya merasai keresahan segelintir pimpinan Umno kerana khuatir mereka akan menerima tekanan, siasatan dan tuduhan demi tuduhan seperti saya,” kata Ahmad Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri Malaysia.

Kenyataan Ahmad Zahid dibuat sehari selepas Ahli Parlimen Nurul Izzah Anwar membuat kejutan di negara itu, yang majoriti penduduknya adalah Muslim, apabila  beliau meletakkan jawatan sebagai naib presiden dan pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti utama dalam gabungan pemerintah PH.

Nurul Izzah, 38, adalah anak perempuan Presiden PKR, Anwar Ibrahim - yang dijangka menjadi Perdana Menteri Malaysia yang berikutnya - dan Wan Azizah Wan Ismail, timbalan perdana menteri pada masa ini.

Beliau tidak menjelaskan  apa yang mencetuskan peletakan jawatannya, tetapi laporan tempatan menyatakan terdapatnya tanda beliau mungkin membantah kepada tindakan para penyokong UMNO mahu menyeberang masuk dalam parti pemerintah.

"Parti kami diserang dengan pembelotan sebelum ini," katanya pada  Ahad. "Tidak mahu keperitan dan kecurigaan seperti itu berlaku terhadap orang lain. Tiada maknanya demokrasi jika Malaysia dikuasai oleh politik berasaskan elit."

Pada Ahad, UMNO membatalkan mesyuarat Majlis Tertinggi bulanannya, ketika pemimpin parti dilaporkan berusaha menangani tindakan keluar parti beramai-ramai selain menggesa Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan.

Minggu lepas, UMNO bahagian Sabah yang mendakwa mempunyai kekuatan 100,000 ahli, digemparkan dengan pengumuman lebih 30 pemimpin dan penyandang jawatan akan meninggalkan parti itu.

Pengerusi UMNO Sabah, Hajiji Mohd Noor berkata, parti itu juga mempunyai anggota bukan Islam dan kepincangan Islamis dalam kepimpinan UMNO telah meletakkan kedudukan dan sokongan parti itu dalam bahaya.

"Oleh sebab itu, kami telah mengambil keputusan untuk mengambil inisiatif untuk mencatatkan masa depan politik kami sendiri," katanya semasa sidang akhbar di ibu negeri Kota Kinabalu.

Pada 8 Dis, beberapa pemimpin UMNO termasuk Ahmad Zahid berkongsi pentas dengan Parti Islam Islam Se-Malaysia (PAS) pada perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur untuk membantah cadangan kerajaan untuk meratifikasikan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung diskriminasi kaum.

'Mereka akan bertahan'


Bercakap kepada pemberita di Kuala Lumpur pada Selasa, Ahmad Zahid berkata, beliau akan terus menyandang jawatan presiden tetapi tidak menjalankan tugasnya.

"Keputusan ini merupakan langkah bagi menyelamatkan UMNO, terutamanya apabila ada niat dalam kalangan anggota parlimen dan pemimpin bahagian, dan juga untuk mengelakkan lebih banyak yang 'menyeberang' dan berlakunya insiden lompat parti," kata Ahmad Zahid sambil memberitahu bahawa timbalannya akan berkuasa penuh "untuk tempoh masa tertentu."

Awang Azman Awang Pawi, seorang profesor di Universiti Malaya, berkata parti itu akan dapat mengatasi krisis tersebut.

"Ini adalah tanda kegagalan para pemimpin UMNO untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai anggota pembangkang selepas terbiasa menjadi kepimpinan sejak sekian lama," katanya kepada BeritaBenar.

"Mereka akan bertahan, tetapi mungkin sebagai parti yang lebih kecil," katanya.

Semua perdana menteri negara itu pernah menjadi ahli UMNO - sehinggalah kekalahan besar parti itu dalam pilihan raya lalu yang menyaksikan Mahathir Mohamad kembali ke kancah politik.

Ahmad Marthada, bekas ahli akademik, berkata perhubungan yang semakin erat dengan parti Islam konservatif PAS turut memainkan peranan dalam tindakan meninggalkan UMNO secara beramai-ramai.

"PAS dan UMNO berbeza. Mereka tidak boleh berada dalam satu gabungan,"kata Ahmad kepada BeritaBenar. "PAS mahu negara Islam dengan undang-undang Syariah, tetapi bukannya UMNO."

"UMNO lebih ke arah mendapatkan kuasa Melayu, bukan agama," katanya.

'Tercemar'

Ahmad Zahid, seperti bekas Perdana Menteri Najib Razak, menghadapi pelbagai pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram. Beberapa bekas pemimpin parti turut didakwa.

Chandra Muzaffar, pengerusi yayasan yang Menggalakkan Perpaduan Negara, berkata parti itu banyak dikaitkan dengan rasuah, dan kerajaan baru meneruskan penyiasatan skandal dana pelaburan 1MDB serta kes-kes lain.

"Ia lebih daripada kurang hala tuju, mungkin kerana ada banyaknya pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, antara perbuatan salah laku kuasa ... yang telah menghakis kepercayaan para ahli parlimen dan ahli dalam parti UMNO," katanya.

"Apabila orang yang mengetuai sesebuah organisasi tercemar teruk dengan pertuduhan jenayah yang amat besar, dia tidak boleh mengharapkan orang di sekelilingnya untuk kekal setia kepada kepimpinan mereka," kata Chandra dalam satu ruangan pendapat yang diterbitkan dalam Free Malaysia Today pada Isnin.

Beliau berkata kemelut dalaman parti juga boleh dikaitkan dengan tindak balas psikologi terhadap para pemimpinnya selepas mereka kehilangan "faedah dan keistimewaan besar" yang mereka nikmati apabila UMNO, yang merupakan parti tonggak Barisan Nasional, kehilangan kuasa selepas lebih 60 tahun.

“Inilah sebabnya mengapa sesetengah daripada mereka berminat untuk mendapatkan kembali kuasa dan dikatakan terlibat dalam gerakan ke arah hala tuju  itu," katanya. "Ia juga dikatakan bahawa mereka dan pihak lain berharap beberapa perjanjian boleh dicapai dengan individu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang boleh membantu memastikan pemimpin UMNO tidak dipenjarakan atau sekurang-kurangnya mengurangkan hukuman mereka."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.