Follow us

Malaysia Mohon Ekstradisi Tiga Suspek Utama Wang Kelian

Fairuz Mazlan & Amira Suraini Che Mohamad
Bukit Kayu Hitam, Kedah
2017-06-02
E-mel
Komen
Share
Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia sedang memeriksa mayat manusia yang digali di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis, 26 Mei 2015.
Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia sedang memeriksa mayat manusia yang digali di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis, 26 Mei 2015.
AFP

Malaysia berkata yang negara itu sedang membuat proses permohonan perintah ekstradisi untuk membawa pulang tiga suspek utama kes pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis yang kini di tahan di Thailand untuk dibicarakan.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketiga-tiga suspek merupakan orang terpenting dalam kes yang mengemparkan Asia Tenggara pada 2015 itu dan menurut risikan mereka adalah dalang utama.

“Mereka ini adalah tiga perancang utama dan melalui maklumat risikan mereka adalah ikan jerung dan bukannya ikan bilis. Ketiga-tiga mereka kini berada di dalam penjara Thailand dan kami dalam proses mendapatkan perintah ekstradisi untuk membawa mereka dengan secepatnya bagi mengadakan perbicaraan di sini” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri pada Khamis.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan kewarganegaraan ketiga-tiga suspek berkenaan.

Tambahnya, kerajaan Malaysia juga telah menghantar surat kepada Kementerian Luar Thailand melalui Wisma Putra dengan mematuhi beberapa syarat dalam persetujuan ekstradisi bagi melaksanakannya dengan lancar.

Dalam pada itu Ketua Imigresen Thailand ketika dihubungi BeritaBenar berkata pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengenai perkara itu.

Ahmad Zahid menambah maklumat yang dikumpulkan perisikan mendapati ketiga-tiga suspek merupakan perancang utama sekaligus menolak dakwaan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 10 suspek utama yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Dalam pertemuan dengan Jeneral Prawit Wongsuwan baru-baru ini, beliau mengesahkan suspek utama adalah seramai tiga orang dan bukannya sepuluh orang seperti didakwa sebelum ini.

“Saya jangkakan dalam waktu terdekat -  kerana mereka [Thailand] berjanji menghantar ketiga tiga tahanan itu ke Malaysia untuk menghadapi tuduhan di mahkamah,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid mengulang komitmen kerajaan Malaysia untuk melindungi kedaulatan negara serta memerangi pemerdagangan manusia.

Pada Mei 2015, Ketua Polis Negara Malaysia telah mengumumkan penemuan lebih 130 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian dimana sebanyak 106 mayat yang dijumpai, dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh.

Kesemua mayat itu di temui di kem tahanan haram di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, yang terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis.

Sejak itu Malaysia telah menjadi bahan berita utama bagi aktiviti penyeludupan manusia terutamanya di Kedah dan Perlis, dua negeri yang bersempadan dengan Thailand.

Pada awal bulan yang sama juga, sebuah kubur besar yang mengandungi sekurang-kurangnya 36 mayat dijumpai di sempadan sebelah Thailand. Sembilan puluh dua orang telah didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di negara itu.

Kes pemerdagangan dan penyeludupan manusia itu telah menggegarkan Thailand dan dikaitkan dengan puluhan orang lain, kebanyakannya merupakan pegawai tentera, pegawai kerajaan tempatan dan polis.

Seorang jeneral Thailand tiga bintang, yang dipercayai menjadi ahli sindiket pemerdagangan manusia, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menyeludup masuk pendatang tanpa izin ke negara itu dan Malaysia.

Tahan dibawah ATIPSOM

Pada 28 November 2016, Jabatan Peguam Negara Malaysia berkata, seramai 91 orang telah disabitkan dengan kesalahan dibawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) (ATIPSOM) bagi sepanjang tahun 2016 sehingga 24 November lalu, berbanding hanya tujuh sabitan untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Pada Mac lepas, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Ahmad Zahid berkata empat warga asing telah didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di Wang Kelian dengan 12 anggota polis dibebaskan kerana kekurangan bukti.

"Seramai 12 anggota polis yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran telah ditangkap di bawah Akta ATIPSOM dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Namun, mereka telah dibebaskan kerana tidak ada bukti kukuh untuk disabitkan atas kesalahan itu," kata Zahid.

Dari empat warga asing yang didakwa itu, seorang warga Bangladesh dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara manakala dua warga Myanmar, masing-masing menerima hukuman penjara tiga tahun. Pada Disember tahun lepas, seorang warga Thailand menerima hukuman penjara lima tahun.

Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis yang sama juga berkata polis telah memperolehi waran tangkap terhadap 11 suspek lain dengan notis merah telah dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa, Interpol.

Krisis penghijrahan dua tahun lepas itu menjadi lebih buruk apabila Thailand melancarkan tindakan keras terhadap sindiket pemerdagangan manusia dan mengenakan sekatan maritim terhadap bot-bot yang membawa orang yang diseludup, hingga memaksa kira-kira 3,000 etnik Rohingya dari Myanmar dan rakyat Bangladesh untuk mendarat di negara jirannya di Malaysia dan Indonesia.

Nontarat Phaicharoen di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.


Lihat Laman Penuh