Malaysia Haramkan Buku Bekas Menteri

Fadzil Aziz
2017.12.29
Kuala Lumpur
171229-MY-zaid-buku-1000.jpg Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Kaukus Parlimen Kemboja mengenai Myanmar, di Phnom Penh, 25 Ogos 2006.
AFP

Kerajaan Malaysia telah mengharamkan 21 lagi buah buku ilmiah berkaitan Islam termasuk yang ditulis oleh seorang bekas menteri ketika pentadbiran Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri [KDN] pada Jumaat.

Menurut warta kerajaan persekutuan yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, pengharaman buku bertajuk “Assalamualaikum (May Peace Be Upon You): Observations On The Islamisation Of Malaysia” karya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim itu telah diwartakan pada 19 Disember lalu.

Turut menerima nasib sama ialah buku Antithesis karya aktivis sosial Benz Ali yang diwartakan pada tarikh yang sama dan ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri pada 4 Disember lepas.

Buku karya bekas menteri setebal 203 mukasurat itu diterbitkan oleh syarikat ZI Publications, pada 2015 manakala karya Benz diterbitkan oleh syarikat indie popular DuBook pada 2014.

Buku Zaid itu telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan dikatakan berkemungkinan menyinggung pandangan awam mengenai soal dasar awam dan Islamisasi.

Zaid dalam kenyataan menerusi akaun Twitternya mengesahkan pada Rabu pengharaman bukunya yang dilancarkan pada Oktober 2015 itu.

“Jadi, tahun ini tidak berakhir dengan baik, buku saya Assalamualaikum kini diharamkan. Nampaknya bagi saya, kerajaan ini lebih suka umat Islam membakar patung pemimpin pembangkang, memecahkan botol bir daripada membaca buku,” katanya.

Pada Jumaat, Zaid melalui laman Twitter rasminya berkata, pihak KDN dialu-alukan untuk berbincang dengannya berkenaan pengharaman buku itu.

Menerusi bukunya itu, Zaid berkongsi pendapat mengenai perbualan baharu berhubung peranan Islam dalam politik serta kehidupan rakyat Malaysia.

Hasil semakan di laman web kedai buku tempatan menunjukkan buku yang dijual pada harga RM19 itu, kini telah diharamkan dan tidak boleh dibeli.

Selain itu, warta yang dikeluarkan oleh KDN juga mengharamkan penerbitan karya “Qun Jiao Wang Shi”, “36F Da Bo Mei De You Huo”, “Gou Nan Nv No. 2”, Loaded (No. Keluaran 242), 100 Keajaiban Di Dunia, Amalan Mustajab Dan Murah Rezeki, Senjata Pendinding Mukmin, Asma Ul-Husna : Rahsia Dan Amalan 99.

Turut diharamkan ialah buku “Nama Allah”; “Rahsia Dan Kelebihan Kayu Kokka: Jenis Kayu Bahtera Nabi Nuh AS - Tongkat Nabi Musa AS”; “Perjalanan Yang Cemerlang 1930 - 1980 Mempromosi fahaman komunisme”; “Intense Pleasure”; “Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan - Hampir Tidak Kesampaian Berakhir Tiada Kesudahan”;  “Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan - Dimanakan Ku Cari Ganti”;  “Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan - Jangan Sampai Terlihat Adanya Diri”; “Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan - Pencarian Ilmu Dipenghujung Rasa”; “Agama Masa Depan : Perspektif Filsafat Perennial”; “25 Kisah Mukjizat Rasulullah” dan “Meneladani Rasulullah Cerita Lain”.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada Jumaat, Alwi Ibrahim menjelaskan perintah larangan terhadap 21 penerbitan itu dibuat kerana kandungannya yang mungkin “memudaratkan keselamatan, ketenteraman, moral dan kepentingan awam serta menggemparkan fikiran orang ramai.”

Tambahnya, perintah larangan itu diwartakan melalui Warta Kerajaan P.U(A) 391 - 401 yang bertarikh 19 Disember 2017 dengan  mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak dan merupakan satu kesalahan di Malaysia.

“Secara keseluruhannya, kesemua penerbitan berkenaan dilihat boleh memudaratkan atau mengelirukan pembaca terutamanya generasi muda di mana ia tidak sesuai untuk dijadikan bahan bacaan umum,” kata Alwi dalam kenyataan itu.

"Mereka boleh disabitkan dengan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 (S$6,500) atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 8(2) Akta 301, jika didapati bersalah" tambah beliau.

Alwi juga menyarankan agar orang ramai yang mendapati penerbitan itu masih ada di pasaran boleh membuat aduan kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran di kementerian tersebut.

Beberapa bulan lepas, buku kartunis politik Zunar, sasterawan Faisal Tehrani dan Ustaz Wan Ji Wan Hussin turut diharamkan oleh kerajaan.  

Buku kartun "Sapuman: Man of Steal," karya kartunis Zunar, yang menggunakan nama Wan M Deebee, diwartakan pengharamannya awal Oktober lalu, manakala pengharaman Aku, Maka Aku Ada! karya Faisal dan Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi tulisan Wan Ji telah diharamkan pada 28 September.

"Buku 'Aku _, Maka Aku Ada!' adalah buku ke-7 yang dihasilkan oleh Faisal, yang diharamkan oleh kerajaan, selepas enam buah novelnya turut diharamkan dengan dakwaan bahawa penulisannya membawa pengaruh Syiah, aliran Islam yang diharamkan pihak berkuasa agama di Malaysia.

Pada Oktober lepas pula beberapa buku ilmiah berkaitan Islam, termasuk 10 buah buku terjemahan Al-Quran daripada empat penerbitan dalam pelbagai bahasa serta buku terbitan penulis tempatan dan antarabangsa diharamkan oleh kerajaan Malaysia.

Antara terjemahan Al-Quran yang diharamkan termasuk versi penterjemah terkemuka kelahiran India Abdullah Yusuf Ali, iaitu di bawah tajuk “Al-Quran Translation” terbitan Knowledge Inbound Sdn Bhd, “The Quran Modern English Translation” oleh SAM Synergy Media, dan “Translation of the Quran” oleh Multiracial Reverted Muslims.

Selain itu, KDN pada Jun lepas telah mengharamkan buku terbitan kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan termasuk diplomat, G25 bertajuk “Breaking the Silence –Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” (Memecah Kesunyian: Suara Kesederhanaan-Islam dalam Demokrasi Perlembagaan).

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.