Mahkamah Bebaskan Bekas Menteri Berkaitan Kenyataan Jelik Mengenai PM
2018.01.11
Kuala Lumpur
Sebuah mahkamah siber di Kuala Lumpur pada Khamis membebaskan seorang bekas menteri kabinet Malaysia, Zaid Ibrahim daripada dakwaan membuat kenyataan bersifat jelik di laman blognya, terhadap Perdana Menteri Najib Razak tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zaman Mohd Noor, dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie kerana gagal memanggil Najib untuk memberi keterangan di mahkamah.
Zaid yang merupakan menteri semasa pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dituduh membuat kenyataan yang mendakwa Najib adalah “ancaman kepada negara” dalam posting bertajuk "Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad", di laman blognya pada 2 September 2015.
Posting berkenaan mengandungi teks ucapan yang disampaikannya dalam satu acara di Royal Selangor Club, Kuala Lumpur, pada hari yang sama.
Zaid yang kini merupakan anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP) didakwa atas kesalahan memuatnaik kandungan jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada Disember tahun yang sama.
Pertuduhan terhadap Zaid dibuat berdasarkan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 berkenaan penggunaan tidak wajar di dalam perkhidmatan rangkaian dan menyakitkan hati "orang lain".
Jika didapati bersalah, bekas Menteri yang juga seorang Peguam itu boleh didenda tidak lebih RM50,000, atau dipenjara setahun, atau kedua-duanya sekali.
Hakim Zaman berkata, pihak pendakwaan perlu bertanya sama ada Najib terkesan dengan kenyataan tersebut dan apa perasaanya.
"Pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie dan tertuduh dibebaskan," katanya dalam penghakiman.
Pihak pendakwaraya berhujah bahawa Najib tidak perlu memberi keterangan manakala pihak pembelaan bertegas yang keterangan pihak yang terkesan adalah perlu.
Hakim Zaman juga, dalam penghakimannya, berkata istilah "orang lain" dalam akta tersebut merujuk kepada individu atau mangsa secara spesifik.
Ditemui di luar mahkamah, Zaid menyuarakan rasa berterima kasih kepada hakim tersebut.
"Kita bernasib baik masih mempunyai hakim yang berani membuat keputusan yang betul. Saya harap keputusan hari ini akan menjadi contoh di dalam kes-kes di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang sering digunakan oleh kerajaan untuk menghukum orang yang mereka tidak disukai," tambah berkata.
Menurut beliau lagi, ada juga individu yang pro-kerajaan yang tidak didakwa walaupun pernah membuat kesalahan yang sama.
"Mereka (kerajaan) mengambil satu baris daripada ucapan saya dalam blog yang menyatakan Najib adalah ancaman kepada negara dan mengabaikan intipati lain berkenaan jenis pemimpin yang diperlukan untuk memimpin negara."
Sementara itu, penolong pendakwa raya Wan Shaharudin Wan Ladin memberitahu pemberita yang kerajaan akan memfailkan rayuan ke atas keputusan mahkamah itu.
"Kami menghormati keputusan mahkamah ini, tapi kami tetap akan failkan rayuan. Ada lagi mahkamah seperti mahkamah tinggi dan sebagainya," katanya.
Zaid pula diwakili peguam M Puravalen, Americk Sidhu dan Amarjit Sidhu.
Pada Disember tahun lalu, buku Zaid bertajuk “Assalamualaikum (May Peace Be Upon You): Observations On The Islamisation Of Malaysia” telah diharamkan kerajaan Malaysia.
Buku Zaid itu telah dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan dikatakan berkemungkinan menyinggung pandangan awam.
Menerusi bukunya itu juga, Zaid berkongsi pendapat mengenai perbualan baharu berhubung peranan Islam dalam politik serta kehidupan rakyat Malaysia.