Firma guaman baharu dilantik Najib nafi tarik diri pendengaran rayuan akhir

Zaid Ibrahim pemilik firma tampil menjelaskan yang mereka telahpun bersedia untuk membela Najib.
Noah Lee
2022.08.12
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Firma guaman baharu dilantik Najib nafi tarik diri pendengaran rayuan akhir Bekas perdana menteri Najib Razak semasa berhujah pada sesi Debat Perdana di Kuala Lumpur, 12 Mei, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Firma guaman yang baharu dilantik bekas perdana menteri Najib Razak dalam percubaan terakhir untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun berhubung skandal 1MDB pada Khamis menafikan laporan bahawa mereka akan menarik diri dalam rayuan kes di Mahkamah Persekutuan seperti ditetapkan bermula pada Isnin depan itu.

Penafian itu dibuat sendiri oleh Zaid Ibrahim selaku pemilik bersama firma guaman susulan terdapatmya laporan media tempatan sehari sebelum itu yang mendakwa firma tersebut mahu menarik diri sekiranya mahkamah tetap meneruskan pendengaran rayuan tanpa memberi penangguhan bagi pasukan peguam yang baharu dilantik pada 26 Julai lepas membuat persediaan untuk membela Najib.

"Firma saya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners tidak membuat sebarang kenyataan ketika sesi pengurusan kes yang didengari dalam bilik kamar hakim yang kami akan menarik diri sebagai peguam bela. Kami tidak akan mengabaikan anak guam kami.

"Sebarang bentuk laporan media yang menyatakan perkara yang bertentangan adalah jahat dan amat dikesali," kata Zaid dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Awal minggu lalu, beberapa media tempatan melaporkan bahawa pasukan peguam baharu Najib mahukan kes pendengaran yang telah ditetapkan selama 10 hari bermula 15 Ogos sehingga 26 Ogos 2022 itu ditangguhkan ke satu tarikh yang lain bagi memberikan ruang kepada mereka untuk mempersiapkan hujahan bagi kes tersebut.

Menurut laporan media itu juga pasukan peguam baharu Najib berkata mereka mungkin terpaksa menarik diri jika Mahkamah Persekutuan tetap mahu meneruskan perbicaraan seperti yang telah dijadualkan.

"Saya percaya firma saya membawa perspektif yang baharu dalam kes ini. Berdasarkan nasihat kami, Najib telah mengenepikan beberapa hujah yang sebelum ini diketengahkan (dalam kes beliau). Kami fokus sepenuhnya kepada prinsip perlembagaan, prinsip undang-undang, prinsip keadilan serta isu perundangan dan fakta secara spesifik dalam permohonan untuk perbicaraan semula dan rayuan.

"Kami bersedia untuk meneruskan kes ini dengan membawa usul untuk meminta perbicaraan semula semasa pendengaran kes pada Isnin ini. Sebagai peguam, kami mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata Zaid.

Najib sebelum ini diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Shafee Abdullah sebelum pasukan itu digugurkan akhir bulan lalu dan digantikan dengan pasukan baru di bawah firma Zaid.

Keputusan itu menyaksikan peguam terkenal Hisyam Teh Poh Teik mengambil alih tempat Shafee selaku peguam utama.

Najib bertindak melantik pasukan baharu selepas permohonan beliau untuk menggunakan khidmat peguam British berpengalaman luas dan dikatakan mempunyai kepakaran yang dikehendaki beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebaik sahaja dilantik Najib, pasukan baharu berkenaan telah membuat permohonan kepada mahkamah untuk menunda tarikh pendengaran rayuan ahli politik itu di Mahkamah Persekutuan bagi memberikan masa kepada mereka membuat persiapan.

Mahkamah tersebut bagaimanapun membuat keputusan menolak permohonan berkenaan ketika sesi pengurusan kes pada 29 Julai lepas.

Laporan polis

Sementara itu, dalam kes lain yang berkaitan 1MDB, seorang bekas pegawai kanan polis yang mengetuai siasatan pihak berkuasa terhadap skandal 1MDB telah membuat laporan polis pada Jumaat terhadap seorang penulis blog yang menuduh beliau telah melanggar protokol polis sewaktu serbuan dilakukan ke atas kediaman Najib di Kuala Lumpur pada Mei 2018.

Blogger berkenaan Raja Petra Kamaruddin menuduh Amar Singh, yang pada waktu berkenaan merupakan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis DiRaja Malaysia, telah membawa teman wanitanya sewaktu serbuan dilakukan pasukan polis. Penulis itu juga mendakwa bahawa wanita berkenaan telah "mencuri" salah satu beg berisi barangan berharga.

Perkara berkenaan bagaimanapun telah dinafikan oleh Amar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beliau pada Khamis.

"Beliau (Raja Petra) menyatakan bahawa saya telah membawa seorang wanita orang awam sewaktu serbuan polis ke kediaman seorang bekas Perdana Menteri. Beliau kemudiannya menyatakan bahawa wanita ini telah dibenarkan untuk mengambil sebuah beg berisi wang ringgit dan barangan berharga yang dirampas sewaktu serbuan. Semua tuduhan ini adalah mengarut.

"Serbuan itu adalah yang terbesar pernah dilakukan dalam sejarah Polis DiRaja Malaysia. Serbuan itu dilaksanakan dengan mengikut sepenuhnya peraturan yang ketat. Rekod juga dibuat dengan teliti mengenai apa yang ditemui pasukan serbuan. Tiada wanita seperti didakwa itu telah hadir semasa serbuan dan tiada barangan yang diambil seperti didakwa," kata Amar.

Menurut bekas pegawai polis itu yang telah bersara pada Disember 2018, serbuan ke atas kediaman Najib dilakukan oleh pasukan polis yang turut disertai timbalan pengarah serta penolong pengarah polis, yang merupakan pegawai tinggi pasukan tersebut.

Selain itu, kira-kira 70 anggota dan pegawai dari pelbagai unit polis termasuk jurugambar, pasukan anti-pengubahan wang haram, Unit Tindak Khas serta polis trafik dan detektif turut terlibat dalam serbuan.

"... Seluruh proses serbuan juga telah direkod menggunakan rakaman video serta fotograf oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah yang bebas, dari mula ia dilaksanakan sehingga selesai. Dan semua rakaman ini masih berada dalam simpanan selamat JSJ."

Pada tahun itu pihak berkuasa telah merampas barangan berharga bernilai tinggi termasuk barang kemas dan beg berjenama serta wang tunai berjumlah RM720 juta.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.