Follow us

Malaysia Tolak Permintaan India Hantar Pulang Zakir Naik

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-07-06
E-mel
Komen
Share
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (tengah) menjawab soalan pada sidang media di Kuala Lumpur, 6 Julai 2018.
Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (tengah) menjawab soalan pada sidang media di Kuala Lumpur, 6 Julai 2018.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia pada Jumaat berkata bahawa kerajaannya tidak akan mematuhi permintaan New Delhi untuk menghantar pulang pendakwah Islam kontroversi yang dikehendaki di negara itu  kerana didakwa terlibat dengan kegiatan berkaitan ekstremis dan memberi khutbah yang mencetus ilham keganasan.

Ulama Zakir Naik, 52, mengasaskan rangkaian TV satelit yang berpejabat di Dubai, Peace TV, kira-kira 12 tahun lalu. Beliau meninggalkan India pada 2016 dan kemudiannya memperoleh taraf penduduk tetap di Malaysia.

"Selagi beliau tidak menimbulkan masalah, beliau tidak akan dihantar pulang. Beliau adalah penduduk tetap Malaysia," kata Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang merujuk kepada Zakir, pada sidang media di pusat pentadbiran Putrajaya.

Mahathir, yang mengambil alih kepimpinan Malaysia selepas mengetuai pakatan pembangkang meraih kemenangan menakjubkan dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, mengulas kenyataan jurucakap Kementerian Luar Negeri India yang dipetik sebagai berkata bahawa New Delhi telah meminta Malaysia untuk mengekstradisi ulama itu.

"Kami telah membuat permintaan rasmi supaya mengekstradisi Zakir Naik, yang merupakan rakyat India yang menetap di Malaysia," lapor Indian Express, yang memetik jurucakap yang tidak dinyatakan namanya itu, pada Khamis. "Pada peringkat ini, permintaan kami adalah dalam pertimbangan aktif pihak [Malaysia]."

Pihak berkuasa India menuduh Zakir memberi inspirasi kepada beberapa anggota militan untuk melakukan keganasan yang berkaitan dengan Negara Islam di kafe Holey Artisan Bakery di Dhaka, di mana 29 orang termasuk 20 tebusan dan lima lelaki bersenjata, terbunuh pada 1 hingga 2 Julai 2016.

Peguam Zakir di Kuala Lumpur, Khairul Azam, memberitahu BeritaBenar bahawa beliau merasa lega mendengar kenyataan Mahathir.

"Beliau memberitahu yang beliau memahami undang-undang Malaysia dan bersedia mematuhinya," kata Khairul yang merujuk kepada Zakir.

Khairul juga menafikan laporan lain di India bahawa Zakir akan dihantar pulang.

"Tidak pernah ada kes di mana Malaysia menghantar pulang mana-mana penduduk tetap, dan sekiranya ia benar, anak guam saya mempunyai hak untuk dimaklumkan secara rasmi dan tidak ditahan pada tengah malam," katanya.

Zakir dilaporkan menjadi penduduk tetap Malaysia pada 2012, susulan kunjungan pertamanya ke negara itu. Pada tahun berikutnya, Malaysia memberi penghormatan dengan menyampaikan anugerah "Model Peranan Islam" kepada beliau.

Pada  November tahun lepas, pegawai India berkata, Zakir menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram dan mencetuskan kebencian menerusi khutbahnya yang disiarkan oleh Peace TV. India dan Bangladesh telah mengharamkan saluran televisyen berkenaan tetapi video khutbah-khutbah yang disampaikannya  sebelum ini, yang telah ditonton oleh berjuta-juta orang, terdapat di YouTube.

Pada November 2016, India mengharamkan Yayasan Penyelidikan Islam, sebuah badan bukan kerajaan yang berpusat di Mumbai dan turut membiayai Peace TV. Pegawai-pegawai risikan India juga meyekat saluran televisyen itu kerana didakwa menyiarkan program-program yang anti-India dan dianggap sebagai "tidak sesuai untuk persekitaran keselamatan di negara itu."

Zakir, yang merupakan seorang doktor perubatan sebelum menjadi pendakwah, menafikan dakwaan berkenan. Ceramah beliau sering menjadi tumpuan ramai orang di Malaysia dan negara-negara lain, tetapi tidak disenangi oleh ramai pemimpin agama Hindu dan Kristian yang menuduhnya sengaja menghina agama mereka.

Polis Malaysia tidak tahu tentang ekstradisi

Pada Khamis, Ketua Polis Negara Malaysia Mohamad Fuzi Harun memberitahu pemberita bahawa beliau tidak tahu tentang rancangan menghantar pulang Zakir ke India.

"Apa yang pihak polis tahu, tidak ada sebarang rancangan untuk menghantarnya pulang ke India setakat ini," katanya. "Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi komen bagi pihak agensi lain."

Sumber BeritaBenar daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia mengesahkan pada Jumaat bahawa India telah secara rasminya meminta supaya Zakir diekstradisikan pada 31 Mac tahun ini.

Pada November 2017, Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, memberitahu Parlimen Malaysia bahawa kerajaan bersedia menghantar pulang Zakir sekiranya ada permintaan daripada kerajaan India.

"Jika kerajaan India membuat permintaan supaya beliau diekstradisi berdasarkan Bantuan Perundangan Bersama, kami akan menghantarnya pulang," katanya.

Pada  Jun 2010, Theresa May, yang ketika itu setiausaha dalam negeri Britain, telah mengharamkan Zakir daripada memasuki United Kingdom berikutan apa yang digambarkannya sebagai "tingkah laku tidak boleh diterima" pendakwah itu.

"Banyak komen yang dibuat oleh Dr Zakir, bagi saya, adalah bukti tentang tingkah lakunya yang tidak boleh diterima," lapor BBC News yang memetik May sebagai berkata demikian. "Mengunjungi UK adalah keistimewaan, bukannya suatu hak dan saya tidak sanggup membenarkan mereka yang  tidak sesuai dengan kebaikan awam untuk memasuki UK."

Malaysia, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, telah menangkap sekurang-kurangnya 372 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan Negara Islam (IS) dan kumpulan keganasan lain dalam tempoh empat tahun lalu. Jumlah itu adalah termasuk 71 rakyat asing, menurut statistik kerajaan.

Pada Jun 2016, IS mendakwa bahawa ia bertanggungjawab bagi letupan bom tangan yang mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di pinggir Kuala Lumpur, yang merupakan serangan pertama kumpulan itu di bumi Malaysia.

Lihat Laman Penuh