Follow us

Menteri Kabinet Mahu PM Malaysia Usir Pendakwah Kontroversi

Hadi Azmi & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-08-14
E-mel
Komen
Share
Wartawan India mendengar rakaman sidang video oleh pendakwah Islam kontroversi Zakir Naik di Mumbai, India, 17 Julai, 2016.
Wartawan India mendengar rakaman sidang video oleh pendakwah Islam kontroversi Zakir Naik di Mumbai, India, 17 Julai, 2016.
(AP)

Tiga menteri kabinet pada Rabu mendesak Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengusir pendakwah Islam kontroversi Zakir Naik dari Malaysia, berikutan dakwaan mereka bahawa penceramah itu membuat kenyataan yang boleh menggugat hubungan kaum di negara itu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar berkata beliau telah memberitahu mesyuarat Kabinet pada Rabu yang Zakir perlu diusir kerana status pemastautin tetap pendakwah tersebut bukanlah lesen "baginya untuk mengeluarkan kenyataan sesuka hatinya.”

"Setelah membangkitkan perkara ini dengan rakan-rakan lain dalam Kabinet pagi tadi, mereka dan saya bersama-sama menyuarakan pendirian kami bahawa tindakan perlu diambil dan Zakir Naik tidak lagi boleh dibenarkan tinggal di negara ini," kata Xavier dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jemaah Menteri tersebut.

"Perdana Menteri ambil maklum tentang kebimbangan kami dan akan mempertimbangkan pendirian kami semasa membuat keputusannya," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran dalam kenyataan bersama bagi menyokong gesaan Xavier supaya Zakir diusir.

Kedua-dua Ahli Parlimen itu juga menyatakan kebimbangan mengenai ucapan dan kenyataan oleh Zakir "yang bersifat hasutan."

"Oleh itu, kami membantah kehadiran Zakir Naik ... beliau tidak lagi boleh mengadakan sebarang aktiviti di Malaysia atau membuat kenyataan lanjut yang memberi kesan kepada hubungan kaum dan ketenteraman awam," kata mereka.

Video rakaman khutbah Zakir pada 8 Ogos lalu semasa program jelajah Kelantan, negeri pantai timur yang majoriti rakyatnya beragama Islam dan konservatif di Malaysia, menunjukkan beliau mempersoalkan kesetiaan masyarakat India di Malaysia. Beliau mendakwa bahawa mereka lebih mempercayai kerajaan India berbanding Mahathir.

Dalam khutbah yang sama, Zakir juga menyatakan bahawa satu lagi kumpulan minoriti iaitu orang Cina di Malaysia adalah "tetamu" di negara itu dan harus diminta "kembali ke China."

"Anda tahu, ada seseorang yang menganggap saya sebagai tetamu. Jadi, saya jawab, sebelum saya, orang Cina adalah tetamu. Sekiranya anda mahu tetamu baru ini pergi, mintalah tetamu lama supaya balik juga," kata Zakir, merujuk kepada gesaan terhadapnya supaya beliau dihantar pulang ke India di mana beliau dikehendaki oleh pihak berkuasa negara itu atas dakwaan jenayah termasuk menyokong keganasan dan mengelak pembayaran cukai.

Pihak berkuasa India menuduh Zakir, yang juga pendakwah televisyen, memberi ilham kepada beberapa anggota militan yang mempunyai kaitan dengan Negara Islam supaya melakukan serangan pengganas di sebuah kafe di Dhaka, yang menyebabkan 29 orang termasuk 20 tebusan terbunuh pada Julai 2016.

Pada November 2017, kerajaan India yang diterajui nasionalis Hindu berkata Zakir berdepan pertuduhan pengubahan wang haram dan menghasut kebencian melalui khutbahnya yang disiarkan di Peace TV. India dan Bangladesh telah mengharamkan saluran tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menegur Zakir kerana baginya pendakwah berkenaan seperti menolak perpaduan dan kesetiaan terhadap negara.

"Serangan ke atas saudara Cina dan India adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia," kata menteri itu kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Kabinet lain.

Bagaimanapun, menteri-menteri berkenaan tidak meminta Zakir, yang mempunyai kewarganegaraan Arab Saudi, dihantar pulang ke India untuk menghadapi pertuduhan jenayah.

Butiran mengenai permastautin tetap Zakir di Malaysia tidak jelas tetapi laporan mendakwa ia diberikan kepadanya pada 2012 ketika beliau pertama kali melawat negara itu. Setahun kemudian, kerajaan Perdana Menteri Najib Razak yang mentadbir pada masa itu telah memberi Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada pendakwah tersebut.

‘Tutup mulut’


Melayu Islam, bersama-sama dengan golongan bumiputera lain, membentuk 69.3 peratus daripada 32.6 juta penduduk Malaysia manakala etnik Cina adalah sebanyak 22.8 peratus dan India pula sebanyak 6.9 peratus, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia bulan lepas.

Pada Selasa, Persatuan Patriot Kebangsaan, iaitu persatuan bekas pegawai tentera,  mengeluarkan kenyataan yang meminta Zakir supaya  "tutup mulut."

"Mempersoalkan kesetiaan dan kejujuran kaum India Malaysia adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab. Ramai daripada mereka, bersama-sama dengan kaum lain, berjuang untuk negara ini," kata presiden persatuan itu Arshad Raji, brigadier jeneral bersara.

Pada hari sama, pendakwah itu mengeluarkan kenyataan bagi mempertahankan dirinya sambil memberitahu bahawa khutbah beliau berhubung layanan adil kerajaan Malaysia terhadap kaum minoriti telah diputarbelitkan.

"Tuduhan yang dilaporkan dalam media adalah nakal dan direka untuk bukan sahaja mempolitikkan saya tetapi juga mewujudkan ketidakharmonian agama dalam masyarakat. Rakaman ceramah saya akan mendedahkan reality yang bertentangan dengan apa yang diperkatakan," kata Zakir.

BeritaBenar cuba menghubungi peguam Zakir pada Rabu untuk mengulas kenyataan menteri berkenaan.

"Saya tidak boleh mengulas. Anak guam saya meminta pasukan peguambelanya supaya tidak berkata apa-apa," kata peguam Buzze Azam.

Sokongan Mahathir

Mahathir menyokong supaya Zakir terus tinggal di Malaysia, dengan mengumumkan pada Julai 2018 bahawa Malaysia tidak akan mengusir pendakwah itu keluar.

"Selagi beliau tidak menimbulkan masalah, beliau tidak akan dihantar pulang. Beliau adalah penduduk tetap Malaysia," kata Mahathir pada masa itu.

Pada Selasa, sebelum mesyuarat Kabinetnya, Mahathir masih berpegang kepada kenyataannya yang terdahulu.

"Masalahnya kerajaan tidak boleh menghantar Zakir pulang ke India kerana beliau berdepan risiko dibunuh. Tetapi, jika ada negara yang bersedia untuk menerimanya, mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian," kata perdana menteri berusia 94 tahun itu.

Tahun lepas, Mahathir mengetuai Pakatan Harapan untuk meraih kemenangan besar dalam pilihan raya umum. Pakatan itu, yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat yang mempunyai ahli pelbagai kaum, telah berikrar dalam kempennya untuk mempertahankan hak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.

Lihat Laman Penuh