Follow us

Pihak Berkuasa Malaysia Batal Forum Bincang Agama – Hindu dan Islam

Fahirul N. Ramli
Kuala Lumpur
2016-04-11
E-mel
Komen
Share
Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz (kiri) menyampaikan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal kepada Dr Zakir Naik, Presiden Yayasan Penyelidikan Islam India, sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau dalam Islam, di Riyadh, 1 Mac  2015.
Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Aziz (kiri) menyampaikan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal kepada Dr Zakir Naik, Presiden Yayasan Penyelidikan Islam India, sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau dalam Islam, di Riyadh, 1 Mac 2015.
AFP/HO/King Faisal Foundation

Kemaskini pada 9.20 malam, ET - 2016-11-04

Polis Malaysia telah meminta penganjur membatalkan ceramah yang dijadualkan minggu ini oleh seorang pendakwah kontroversi Islam dari India berikutan bantahan daripada kumpulan Hindu.

Zakir Naik, seorang televangelis Islam popular, sebelum ini dilarang memasuki Britain dan Kanada, telah dijadual menyampaikan ceramah mengenai "Persamaan Antara Hindu dan Islam" pada 17 April tetapi Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata, ia boleh menjejaskan sensitiviti agama dalam masyarakat berbilang bangsa di Malaysia, yang agama rasminya adalah Islam.

Zakir, yang mengetuai Yayasan Penyelidikan Islam menimbulkan kemarahan awam beberapa tahun lepas apabila beliau mendakwa ada  "kerja orang dalam” berkaitan serangan maut 9/11 di Amerika Syarikat.

Dalam satu siaran TV pada Julai 2008 pula, Zakir membayangkan bahawa kumpulan pengganas Al Qaeda tidak bertanggungjawab dalam serangan oleh pesawat yang dirampas terhadap Pusat Dagangan Dunia New York pada 11 September 2001 yang membunuh hampir 3,000 orang.

"Orang yang bodoh pun mengetahui bahawa ia (serangan) dilakukan oleh orang dalam," katanya dalam video, yang mendakwa bekas Presiden George W. Bush di belakang serangan berkenaan, menurut laporan berita yang disiarkan.

Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengkritik keras kenyataan Zakir itu.

Ketua Polis Malaysia Khalid dalam akaun Twitternya pada Isnin menulis, pada 17 April bahawa ceramah tersebut dibatalkan untuk melindungi "ketenteraman awam dan sensitiviti agama di Malaysia."

Khalid ketika dihubungi BeritaBenar menjelaskan bahawa ceramah yang dirancang di Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di negeri Melaka boleh menjadi "ancaman kepada keselamatan."

"Kami polis tidak akan membenarkan ini berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTeM Prof Dr Shahrin Sahibuddin dalam satu kenyataan berkata universiti itu telah membatalkan forum yang akan diadakan itu dengan mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Berikutan bantahan dan laporan polis terhadap program ini, UTeM tidak akan menjadi tuan rumah kepada program itu pada  tarikh tersebut," kata Shahrin dalam satu sidang media seperti dilaporkan media tempatan.

‘Berada di Malaysia’

Zakir, yang mengetuai Yayasan Penyelidikan Islam, sudahpun berada di Malaysia. Ceramahnya di sebuah stadium di negeri Terengganu pada malam Ahad telah dihadiri oleh kira-kira 30,000 orang.

Beberapa kumpulan etnik India dan Hindu di Malaysia telah membuat laporan polis terhadap Zakir, mendakwa pendakwah itu telah memfitnah agama lain pada masa lalu.

Malah, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof Dr. P. Ramasamy di dalam laman rasmi Facebook beliau telah menggelar pendakwah antarabangsa Dr Zakir sebagai ‘syaitan dan penipu’.

Lawatan terakhir Zakir ke Malaysia ialah pada 2012, di mana beliau turut mendapat bantahan yang sama daripada kumpulan Hindu, kerana dilaporkan telah menghina agama Hindu.

Subramaniam, Presiden parti Kongres India Malaysia (MIC), dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana membatalkan ceramah tersebut dan menyahut "suara rakyat yang prihatin."

"Ini akan menjadi penghinaan kepada semua, dan kami tidak mahu meletakkan negara di dalam keadaan berbahaya disebabkan oleh pergolakan agama, " kata Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan.

Parti pembangkang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagaimanapun mengkritik tindakan polis itu.

"Dr Zakir Naik hanya berdebat dan memberikan pendapatnya tentang keindahan Islam dan melakukan kajian perbandingan dengan agama-agama lain. Mengapa apa yang beliau katakan tidak boleh dibalas oleh orang lain?" kata Ketua Penerangan parti itu Nasaruddin Tantawi dalam satu kenyataan.

Zulkifli Mohammad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan menyifatkan Zakir sebagai tokoh Islam yang memiliki kepakaran dalam perbandingan agama.

Zakir telah dianugerahkan Maal Hijrah, anugerah tahunan tokoh Islam utama di Malaysia, pada tahun 2013 kerana peranannya sebagai tokoh ulama Islam diperingkat antarabangsa yang berpengaruh.

Beliau juga merupakan salah seorang daripada lima penerima Hadiah Antarabangsa Raja Faisal daripada Arab Saudi pada 2015.

Beliau juga dijadualkan memberi ceramah di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 April.

Dalam pada itu, Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam laman rasmi Facebooknya memaklumkan bahawa Raja Muda Perlis telah memberi kebenaran untuk menjemput Dr Zakir ke negeri itu selepas ceramahnya di Melaka dibatalkan pihak berkuasa.

Lihat Laman Penuh