Fitnah: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang saman Zakir Naik
2023.12.27
Kuala Lumpur

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy pada Rabu berkata, beliau telah memfailkan saman fitnah terhadap penceramah bebas warga India yang kini bermastautin di Malaysia, Zakir Naik, sebulan setelah sebuah mahkamah Malaysia mengarahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM1.52 juta (AS$328,364) kerana memfitnah pendakwah bebas itu.
Ramasamy telah memfailkan tuntutan saman tersebut pada 3 Disember berikutan tohmahan yang dilontarkan oleh Zakir yang merujuk bekas pemimpin parti DAP itu sebagai “musuh utama Islam” dalam satu ceramah di Nigeria bulan lalu, iaitu pada hari yang sama penghakiman kes saman Zakir terhadap bekas timbalan ketua menteri itu dikeluarkan, yang kemudiannya dimuat naik di laman media sosial.
“Peguam saya telah failkan saman fitnah ke atas Zakir Naik kerana menggelar saya musuh utama Islam dalam ceramah beliau di Nigeria.
“Kejadian tersebut berlaku sejurus selepas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Zakir tidak menyebelahi saya dan mengarahkan saya membayar RM1.52 juta kepada Zakir,” Ramasamy memberitahu BenarNews ketika dihubungi selepas prosiding kes yang pertama melalui e-review pada Rabu.
Prosiding itu berlangsung secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar dan turut dihadiri peguam dari kedua belah pihak iaitu Shamsher Singh Thind yang mewakili Ramasamy manakala Meor Hafiz Salehan mewakili Zakir.
Semasa prosiding tersebut, Meor Hafiz memohon lanjutan masa selama dua minggu daripada tarikh 2 Januari yang ditetapkan oleh mahkamah untuk memfailkan Pernyataan Pembelaan sementara menunggu arahan lanjut dari anak guamnya berkaitan kandungan Pernyataan Tuntutan yang difailkan oleh plaintif.
Shamsher tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan lanjutan masa itu.
“Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan telah diserahkan kepada Defendan. Peguam Cara Defendan memohon lanjutan masa untuk memfailkan pembelaan. Saya tiada bantahan,” kata Shamsher dalam dokumen e-review bertarikh 27 Disember yang dilihat oleh BenarNews.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh 16 Januari sebagai tarikh akhir untuk memfailkan pembelaan dan 9 Februari 2024 bagi plaintif untuk failkan jawapan kepada Pembelaan.
Turut dinyatakan dalam dokumen tersebut bahawa mahkamah akan menetapkan tarikh pengurusan kes seterusnya pada 19 Februari tahun hadapan.
Meor Hafiz ketika dihubungi BenarNews pada Rabu memberitahu bahawa pihaknya sedang dalam proses memfailkan pembelaan dan akan ianya akan dikemukakan pada 16 Januari.
Musuh utama Islam
Zakir pada 2 November, beberapa jam setelah keputusan Mahkamah Malaysia dikeluarkan dan menyebelahinya, telah mengeluarkan satu kenyataan yang memetik nama dan jawatan Ramasamy semasa menggelar beliau sebagai musuh utama Islam.
“Kelima-lima mereka ahli politik, melemparkan tohmahan terhadap saya. Apa saya lakukan? saya failkan saman terhadap mereka dan kebanyakan dari mereka menyelesaikan saman di luar mahkamah dan memohon maaf pada saya, saya katakan pada mereka tiada masalah.
“Tetapi orang yang saya gelar musuh utama Islam, saya tidak maafkan dia. Saya katakan (kepada pihak guaman) teruskan dengan kes mahkamah. Kes mahkamah itu berlangsung selama dua tahun dan pagi ini keputusan dikeluarkan.
“Hakim mengarahkan Ramasamy, yang pada masa itu merupakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, untuk membayar RM1.52 juta kepada Zakir Naik sebagai ganti rugi,” kata Zakir dalam ceramahnya di Nigeria yang dihadiri ribuan penonton.
Keratan Rakaman video ceramah yang berdurasi 8.13 minit itu kemudiannya dimuatnaik ke akaun rasmi Facebooknya “Dr Zakir Naik” yang mempunyai seramai 23 juta pengikut pada 4 November.
Sehingga Rabu, video tersebut yang bertajuk “Dr Zakir Naik menyumbangkan AS$320,000 untuk Palestin” telah mendapat 552 ribu tontonan, 17 ribu perkongsian dan 72 ribu reaksi dari orang ramai.
Menurut Pernyataan Tuntutan yang dikeluarkan oleh Ramasamy melalui peguamnya, Zakir yang juga merupakan Pemastautin Tetap di Malaysia telah terang-terangan merujuk kepada plaintif dalam ucapannya dengan menyebut nama, jawatan serta kes fitnah yang melibatkan dirinya dengan plaintif.
Turut dinyatakan bahawa tuduhan yang dibuat oleh Zakir terhadap Ramasamy adalah palsu, bercorak fitnah dan dibuat dengan niat jahat yang boleh ditafsirkan oleh segelintir bahawa plaintif ialah seorang yang rasis dan anti-Islam.
“Tuduhan tersebut bersifat libel kerana diterbitkan dalam bentuk yang berkekalan iaitu rakaman video tersebut dimuat naik di Facebook. Plaintif akan bergantung terhadap peruntukan bawah Seksyen 3 Akta Fitnah 1957,” menurut Shamsher dalam Pernyataan Tuntutan tersebut.
Tambahnya, defenden telah bertindak atas dorongan niat jahat atas alasan bahawa Ramasamy tidak hadir di majlis tersebut sekaligus menyebabkan beliau tidak dapat membela dirinya atau memberi balasan kepada tuduhan itu.
Tindakan susulan
Ekoran insiden memuatnaik video tersebut, Shamsher mewakili Ramasamy telah menghantar Notis Tuntutan bertarikh 5 November melalui Poslaju yang diterima oleh pihak Zakir tiga hari kemudiannya.
Notis Tuntutan tersebut bertujuan memberi peluang kepada Zakir untuk menarik balik tuduhan selain memadamkan keratan rakaman video terbabit serta memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat daripada Ramasamy.
Antara lain, ianya turut menuntut Zakir supaya menerbitkan permohonan maafnya di akaun rasmi Facebook “Dr Zakir Naik” dan di dalam akhbar-akhbar utama di Malaysia, memberi akujanji untuk tidak mengulangi tuduhan tersebut dan membayar ganti rugi yang di persetujui kedua-dua pihak.
Selain Notis Tuntutan, Ramasamy turut membuat laporan polis terhadap Zakir pada 6 November yang menurut kenyataan dalam notis tersebut, tiada sebarang tindakan yang diambil ke atas beliau sehingga hari ini.
Susulan kegagalan pihak Zakir untuk memenuhi tuntutan tersebut, Ramasamy bertindak memfailkan saman untuk menuntut supaya Zakir membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan kepada plaintif yang akan ditaksir oleh mahkamah secara global atau berasingan.
Terdapat beberapa tuntutan lain yang dikemukakan termasuk “injuksi mandatori untuk memaksa defendan memohon maaf tanpa syarat daripada plaintif, dan permohonan tersebut hendaklah diterbitkan di ‘verified page’ Facebook Dr Zakir Naik, dengan ‘privacy setting’ ditetapkan pada mod awam, dan tidak dipadamkan atau dipinda untuk sekurang-kurangnya 30 hari dari tarikh penghakiman guaman, dan diterbitkan atas kos yang ditanggung sendiri di dalam akhbar-akhbar Sinar Harian, Berita Harian, The Star, New Straits Times, Sin Chew Daily dan Makkal Osai.”
Pada 2020, Zakir memfailkan saman ke atas Ramasamy kerana mengeluarkan lima kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dengan pelbagai tuduhan berniat jahat serta menggelarnya sebagai "syaitan".
November lalu, Mahkamah Tinggi Malaysia memutuskan “Berdasarkan kepada latar belakang dan fakta lengkap kes ini, sikap Ramasamy dalam konteks di mana ia dikeluarkan, kesemua kenyataan tanpa diragui berunsur fitnah dengan didorong oleh niat jahat serta kemarahan di pihak Ramasamy terhadap Zakir.”
Ramasamy kemudiannya menyelesaikan bayaran yang ditetapkan pada 1 Disember menggunakan hasil sumbangan orang ramai melalui kempen pendanaan awam atau ‘crowdfunding’ yang dimulakan beliau beberapa hari selepas keputusan kes.