Zakir Naik menang kes saman, bekas Timbalan Ketua Menteri diarah bayar RM1.52 juta

Saman pendakwah bebas terhadap P. Ramasamy itu melibatkan lima kenyataan berniat jahat dan melabelnya sebagai “syaitan”.
Iman Muttaqin Yusof
2023.11.02
Kuala Lumpur
Zakir Naik menang kes saman, bekas Timbalan Ketua Menteri diarah bayar RM1.52 juta Pendakwah Zakir Naik semasa menghadiri perlancaran Kuala Lumpur Summit 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, 19 Disember 2019.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Malaysia pada Khamis mengarahkan seorang bekas timbalan ketua menteri untuk membayar RM1.52 juta (AS $318,566) sebagai ganti rugi kerana memfitnah pendakwah bebas Islam rakyat India, Zakir Naik dengan pelbagai tuduhan berniat jahat serta menggelarnya sebagai "syaitan".

Zakir, yang kini bermastautin di Malaysia, telah memfailkan saman pada Oktober 2019 dengan mengatakan bahawa P. Ramasamy, telah mengeluarkan lima kenyataan berbaur fitnah terhadapnya, yang mana diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai bermotivasikan "niat jahat" dan "amarah".

“Berdasarkan kepada latar belakang dan fakta lengkap kes ini, sikap Ramasamy dalam konteks di mana ia dikeluarkan, kesemua kenyataan tanpa diragui berunsur fitnah dengan didorong oleh niat jahat serta kemarahan di pihak Ramasamy terhadap Zakir.
“Kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan itu adalah serangan peribadi yang merendah-rendahkan dan mengejek Zakir di mata masyarakat umum,” Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata dalam kertas penghakimannya sepertimana yang dilihat oleh BenarNews.

Menurut Hakim Hayatul Akmal, pembelaan yang dikemukakan oleh Ramasamy juga tidak mempunyai merit dan tidak mewajarkan kenyataan fitnah yang dikeluarkan olehnya.

Beliau kemudiannya mengarahkan Ramasamy supaya membayar ganti rugi am berjumlah RM1 juta (AS$209,970), RM100,000 (AS$20,997) sebagai bayaran pampasan, RM100,000 bagi ganti rugi teruk, manakala RM250,000 (AS$52,492) sebagai ganti rugi teladan untuk setiap penyata fitnah yang dikeluarkan.

Sebagai tambahan, Ramasamy turut diarahkan membayar kos keseluruhan berjumlah RM70,000 (AS$14,542) kepada Zakir.

Pada Oktober 2019, Zakir telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap Ramasamy dengan mendakwa bahawa lima kenyataan yang dibuat oleh bekas pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti yang dikenali dengan perjuangan liberalisma, adalah berunsur fitnah dan mempunyai niat jahat.

Kenyataan pertama yang dipetik di dalam saman tersebut dibuat melalui hantaran di laman Facebook milik Ramasamy yang dimuatnaik pada April 2016, di mana ia menggunakan perkataan ‘syaitan’ untuk merujuk kepada Zakir.

Selain itu, saman tersebut turut melibatkan tiga lagi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ramasamy antara Oktober 2017 dan Ogos 2019 melalui portal berita atas talian, dalam bentuk pendapat atau komen yang diberikan semasa sesi temuramah bersama sebuah agensi berita India, India Today.

Antara tuduhan yang dibuat oleh Ramasamy terhadap Zakir termasuk menyalahkan beliau sebagai “punca ketidakharmonian di Malaysia,” selain daripada dakwaan “terlibat dalam aktiviti keganasan”, “berperanan sebagai ‘evangelist,” dan juga menggelar beliau sebagai seorang “penipu”.

Zakir turut memfailkan satu lagi tuntutan saman ke atas Ramasamy pada tahun 2019 berikutan kenyataan yang mendakwa beliau terlibat dengan sebuah kumpulan gerila atau organisasi puak pemisah Tamil di Sri Lanka iaitu Harimau Pembebasan Tamil Eelam (Liberation Tigers of Tamil Eelam).

Tangguh permohonan maaf

Sementara itu, Hakim Hayatul Akmal membenarkan peguam Ramasamy, Razlan Hadri untuk menangguhkan permohonan maaf secara terbuka terhadap Zakir bagi memberi ruang kepada mereka untuk mengemukakan permohonan penangguhan secara rasmi dalam tempoh 14 hari.

Pendengaran permohonan tersebut dijadualkan pada 1 Disember.

Prosiding mahkamah pada Khamis berlangsung tanpa kehadiran Zakir secara fizikal kerana dia berada di Nigeria bagi menghadiri program keagamaan. Namun Zakir tetap hadir secara maya melalui aplikasi Zoom.

Peguam Zakir, Akberdin Abdul Kader memberitahu BenarNews bahawa anak guamnya berpuas hati dengan keputusan tersebut, dan diharap ianya akan menjadi iktibar kepada orang ramai.

“Kami amat berpuas hati dengan keadilan yang telah diberikan kepada Dr Zakir Naik setelah menerima pelbagai tohmahan dari P. Ramasamy.

“Anak guam kami sangat gembira dan berharap agar orang ramai lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan mengenai orang lain di masa hadapan. Anda hendaklah mengesahkan dengan pihak yang terlibat sebelum membuat sebarang tohmahan,” katanya.

Ramasamy, bagaimanapun berkata beliau akan membuat rayuan atas keputusan kes tersebut dan dalam masa yang sama tetap dengan pandangannya terhadap Zakir.

“Saya tidak pernah berniat untuk memfitnah Dr Zakir Naik. Walau apa pun keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, saya tetap percaya yang saya tidak mengatakan apa-apa yang boleh menjatuhkan reputasinya.

“Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini. Saya berhasrat untuk membuat rayuan dari aspek liabiliti dan kadar ganti rugi. Saya juga telah mengarahkan mereka supaya membuat permohonan penangguhan keputusan, sementara menunggu keputusan rayuan.

“Saya tidak pasti apakah keputusan akhir kes ini tetapi saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada (keadilan) mahkamah kita. Sekiranya saya kalah (kes ini), saya menerimanya sebagai suratan takdir,” katanya dalam hantaran di laman rasmi Facebooknya pada hari yang sama.

Selain dari Ramasamy, Zakir juga pernah memfailkan saman fitnah terhadap tiga lagi individu iaitu bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, bekas Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran dan Adun Bagan Dalam Satees Muniandy. Kesemuanya berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Zakir.

Ili Shazwani Ihsan di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.