Zakir Naik Hadapi Dakwaan Timbulkan Masalah Di Malaysia

Ali Nufael
2019.08.29
Kuala Lumpur, Malaysia
190829-IN-Zakir-Naik-1000.jpg Wartawan India mendengar rakaman sidang video oleh pendakwah Islam kontroversi Zakir Naik di Mumbai, India, 17 Julai, 2016.
[AP]

Beliau menyokong "keganasan’’ Osama bin Laden terhadap Amerika. Beliau mengesyorkan hukuman berat dikenakan ke atas mereka yang homoseksual dan mahu hukuman mati dijatuhkan terhadap mereka yang murtad dengan meninggalkan Islam sebagai pegangan mereka.

Pendakwah Islam dari India, Zakir Naik, yang dikehendaki di negaranya bagi pertuduhan melakukan pengubahan wang haram, didakwa menyebarkan ceramah berunsur kebencian dan mencetus inspirasi bagi serangan pengganas paling buruk di negara jiran, Bangladesh, sudah lama terpalit dengan kontroversi.

Kini di Malaysia, di mana beliau diberikan perlindungan selepas diisytiharkan sebagai persona non grata di Britain, Kanada dan beberapa negara lain, Zakir menjadi tumpuan kemarahan ramai selepas beliau membuat kenyataan yang memperlekehkan kaum minoriti di negara berbilang kaum itu.

Doktor perubatan yang beralih menjadi pendakwah televisyen itu, dengan penampilan berjanggut, popular dalam kalangan umat Islam di Malaysia di mana beliau diberikan taraf pemastautin tetap.

Dalam perhimpunan terakhirnya yang penuh berasak di mana beliau menarik kehadiran kira-kira 100,000 orang, menurut laporan berita, Zakir mempersoalkan kesetiaan etnik minoriti Hindu dan menyamakan etnik Cina pula sebagai "tetamu" di Malaysia.

Polis melarangnya daripada terus menyampaikan dakwah dan telah memanggilnya memberi keterangan sebanyak dua kali, dengan satu daripadanya berlangsung selama 10 jam, atas dakwaan "sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan" setelah 115 aduan difailkan terhadapnya.

Beberapa menteri bukan Islam dalam kabinet Mahathir telah meminta supaya Zakir diusir dari Malaysia selepas beliau membandingkan minoriti Hindu di Malaysia dengan minoriti Muslim di India dengan menyatakan bahawa penganut Hindu di Malaysia menikmati hak "100 kali" lebih banyak daripada penganut Islam di India.

Zakir kemudian mendakwa bahawa penganut Hindu di Malaysia adalah lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding kepada Mahathir, yang dipujinya kerana mempertahankan agama Islam.

Zakir juga menyatakan bahawa jika etnik Cina di Malaysia mahu beliau dikeluarkan dari negara itu, mereka juga harus diusir kerana mereka, seperti dirinya, adalah "tetamu" di negara itu.

Zakir kemudian membuat permohonan maaf atas kenyataannya itu tetapi berkata bahawa pengkritiknya telah memetik dakwahnya di luar konteks. "Saya tidak pernah berniat untuk menimbulkan kemarahan mana-mana individu atau komuniti," katanya dalam satu kenyataan minggu lepas.

"Sekalipun saya telah memberi penjelasan, namun saya rasa saya perlu meminta maaf kepada semua orang yang merasa tersinggung akibat salah faham ini," katanya sambil menyangkal dakwaan bahawa beliau seorang rasis.

"Ia bertentangan dengan pegangan Islam," katanya. "Rasisme adalah kejahatan yang saya tolak dengan tegas."

Mahathir berkata bahawa pihak polis akan meneruskan siasatan terhadap kes Zakir dan kerajaan akan menangani perkara itu mengikut undang-undang tetapi menyarankan supaya Malaysia tidak menghantarnya pulang ke India kerana keselamatannya terancam walaupun kedua-dua negara mempunyai perjanjian ekstradisi.

"Masalah kita ialah kita tidak boleh menghantarnya pulang. Kerana beliau berdepan risiko dibunuh," kata Mahathir. "Jika mana-mana negara mahu menerima beliau, mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian."

Diharamkan


Kerajaan Mahathir dan kerajaan terdahulu pimpinan Najib Razak yang didakwa dengan pertuduhan rasuah, nampaknya enggan mengambil sebarang tindakan terhadap Zakir walaupun banyak aduan dibuat terhadap pendakwah itu sebelum ini berhubung kenyataannya yang dikatakan boleh menimbulkan perpecahan.

Kegelisahan yang berbangkit baru-baru ini menyebabkan banyak gesaan dibuat supaya beliau diusir keluar dari Malaysia dan, menurut beberapa laporan, keadaan itu turut menyebabkan timbulnya ancaman perpecahan dalam pakatan parti pemerintah.

Zakir, 53 telah membangkitkan kemarahan banyak kerajaan sebelum beliau melarikan diri dari India ke Malaysia pada 2016, apabila laporan berita menyatakan bahawa seorang daripada suspek dalam kejadian menawan sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh telah memaparkan mesej Facebook yang memetik kata-kata beliau.

Para penyiasat Bangladesh berkata Rohan Imtiaz, 22, telah memuat naik ceramah Zakir dalam media sosial sebelum dia menghilangkan diri pada Januari 2016, dan dilihat semula enam bulan kemudian bersama-sama empat pengganas lain semasa serangan ke atas Holey Artisan Bakery yang mengorbankan 29 orang.

Berikutan serangan maut itu, aktivis hak asasi manusia Bangladesh Taslima Nasrin menulis dalam laman Twitternya bahawa ceramah Zakir adalah "berbahaya" dan beliau mempromosikan "teks al-Quran abad ke-7 mengenai hamba seks, poligami dan isteri yang diseksa dalam abad ke-21."

"Ramai bakal pengganas Bangladesh mendapat ilham daripada Zakir Naik," katanya. "Beliau tidak memegang parang di tangan. Tetapi, para pengikutnya yang memegang parang di tangan mereka. "

Zakir, seorang doktor perubatan terlatih, menjadi pendakwah televisyen pada 2006 selepas beliau menubuhkan Peace TV, sebuah rangkaian satelit bukan untuk meraih keuntungan yang berpejabat di Dubai.

Bangladesh mengharamkan saluran TV milik Zakir sejurus selepas kejadian menawan kafe Artis Holey itu. Menteri Penerangan Hasanul Haq Inu memberitahu pemberita bahawa siaran saluran TV itu "tidak selari dengan masyarakat Islam, Quran, Sunah, Hadis, Perlembagaan Bangladesh, kebudayaan, adat istiadat dan ritual kami."

Saluran TV 24 jam itu, yang disiarkan dalam Bahasa Inggeris, Urdu dan Bangla, juga diharamkan di Sri Lanka dan India.

Tetapi, saluran rasmi Zakir masih boleh didapati di YouTube dengan 1.2 juta pelanggan mendapat akses kepada video-videonya.

Zakir, yang memakai cermin mata dan berpakaian sut serta sering menyampaikan dakwahnya dalam bahasa Inggeris, mengasaskan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) di Napier, India pada 1991. Laman web IRF menyatakan ia mempromosikan "persembahan, pemahaman dan penghayatan yang betul tentang Islam selain menolak salah faham tentang Islam. "

Namun, beberapa pegawai dari beberapa negara menuduh beliau sering memutarbelitkan ajaran Islam untuk menghasut kebencian. Bagaimanapun, Zakir telah berulang kali mendakwa bahawa ceramahnya sering diambil luar daripada konteksnya.

Sangat popular

Di India, anak jati  Mumbai itu sememangnya sangat popular dan digambarkan dalam beberapa akhbar sebagai "pendakwah televisyen terkenal seperti bintang rock dan penyokong Islam moden."

Indian Express telah menyenaraikan Zakir sekurang-kurangnya dua kali dalam senarai "100 Rakyat India Paling Berkuasa" dengan menerangkan bahawa kira-kira sejuta orang menghadiri "persidangan damai" selama 10 hari pendakwah itu di Mumbai pada November 2010.

Kira-kira 200,000 orang termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, yang kini menjadi pemimpin parti komponen utama dalam gabungan Pakatan Harapan yang diterajui Mahathir, pernah menghadiri satu daripada ceramah Zakir semasa acara besar itu, lapor akhbar.

Ahmad Martadha Mohamed, profesor bersekutu di Universiti Utara Malaysia di negeri barat laut Kedah, menjelaskan bahawa agama adalah faktor perangsang bagi umat Islam Melayu untuk menyokong Zakir dan bukan keperibadiannya.

"Beliau lebih dilihat sebagai simbol agama," kata Ahmad. "Begitu juga dengan para pendakwah lain. Orang Melayu akan bangkit dan menyokong mereka juga kerana sentimen agama, jadi ia bukan semata-mata khusus untuk Zakir. "

Para penulis buku, seperti ahli antropologi Thomas Blom Hansen, pernah berkata bahawa kegiatan dakwah Zakir dan gayanya selaku penghafal al-Quran, kitab suci umat Islam, mungkin menarik perhatian pengikutnya kepada beliau.

"Memandangkan beliau adalah doktor perubatan dan ahli sains yang boleh menghafal Al-Quran dan Hadis (ulasan dan tafsiran al-Quran) dalam bahasa Arab, Urdu dan Bahasa Inggeris serta banyak mengembara ke Amerika dan Eropah untuk membahaskan tentang Islam dengan ahli-ahli agama lain, telah menjadikan Zakir terkenal di Mumbai Tengah, " tulis Hansen dalam bukunya yang bertajuk "Wages of Violence”.

Tetapi, beberapa ahli politik terkemuka dan berkuasa telah mengecam Zakir termasuk Perdana Menteri India Narendra Modi yang, dalam ucapan kempennya pada Mei, berkata bahawa ceramah pendakwah itu "telah mencetuskan ledakan di Sri Lanka" yang merujuk kepada pengeboman bunuh diri pada 21 April di tiga gereja dan tiga hotel mewah di Colombo di mana 259 orang terbunuh.

"Tiada seorang pun boleh mengatasi undang-undang. Sudah tentu bukan warganegara, apatah lagi penduduk tetap, malah orang yang dihormati kerana ilmu pengetahuannya seperti Zakir," kata Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin kepada pemberita minggu ini, sambil menekankan bahawa kenyataan pendakwah telah menimbulkan "rasa kurang selesa".

'Tingkah laku yang tidak boleh diterima'

Pada Jun 2010, Zakir dilarang memasuki United Kingdom dan Kanada, di mana beliau sepatutnya menyampaikan beberapa siri ceramah.

"Banyak kenyataan yang dibuat oleh Dr. Zakir adalah bukti bagi saya untuk menolak tingkah laku beliau yang tidak boleh diterima," kata setiausaha dalam negeri United Kingdom, Theresa May, kepada wartawan pada masa itu.

Tiga tahun kemudian, Malaysia menyampaikan Tokoh Maal Hijrah kepadanya bagi menghargai sumbangannya kepada pembangunan Islam dan pada 2015, Raja Saudi Salman bin Abdul Aziz mempersembahkan Zakir dengan "Hadiah Antarabangsa King Faisal 2015 untuk Perkhidmatan kepada Islam."

Pada 31 Julai 2008, dalam satu daripada ceramahnya yang paling kontroversi yang dirakam di TV, Zakir berkata serangan ketenteraan 11 September di Amerika Syarikat " dilakukan oleh George Bush sendiri."

Semasa forum terbuka yang disiarkan selepas penyampaian khutbahnya, Zakir ditanya sama ada beliau melihat pemimpin al-Qaeda yang dibunuh Osama bin Laden sebagai pengganas.

"Sekiranya beliau berjuang menentang musuh-musuh Islam, saya menyokong beliau. Saya tidak mengenalinya secara peribadi," jawab Zakir. "Jika beliau mengganas di Amerika, iaitu pengganas paling besar, saya menyokong beliau. Setiap Muslim harus menjadi pengganas. Hakikatnya, sekiranya beliau berjuang menentang pengganas, maka beliau telah mematuhi ajaran Islam. "

Abdul Rahman Othman, ulama Islam di negeri Pahang, memberitahu BeritaBenar bahawa orang bukan Islam mungkin mencetuskan kontroversi mengenai kenyataan Zakir, yang menekankan bahawa pengusiran Zakir boleh menyebabkan kemarahan dalam kalangan pengikut Muslim.

"Kita perlu kembali kepada undang-undang dan semua orang perlu memahami peranan pendakwah yang berkhutbah di negara Islam," katanya. "Umat Islam mempunyai hak untuk menyebarkan dan menjelaskan ajaran Islam."


Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.