Hukuman Penjara 18 tahun Bagi Enam Pelajar Universiti Pertahanan Sebabkan Kematian Rakan

Zulfarhan Osman Zulkarnain dipukul dan diseksa sehingga mati selepas dipaksa mengaku atas tuduhan mencuri komputer riba empat tahun lepas.
Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-11-02
Share
Hukuman Penjara 18 tahun Bagi Enam Pelajar Universiti Pertahanan Sebabkan Kematian Rakan Zulkarnain Idris (kanan) bersama isteri, Hawa Osman (kiri) keluar dari Mahkamah Tinggi selepas mendengar keputusan akhir kes kematian anak mereka, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 2 November 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara keatas enam pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) setelah mereka didapati bersalah mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian rakan universiti pada 2017.

Zulfarhan Osman Zulkarnain, seorang kadet tentera laut berusia 21 tahun ketika itu telah dipukul dan diseksa menggunakan seterika wap panas oleh tertuduh-tertuduh yang cuba memaksa mangsa mengaku mencuri sebuah komputer riba.

Kadet itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk yang dialaminya, dengan semua perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, universiti berkenaan.

"Dengan ini kamu berenam dengan niat bersama dan dengan persubahatan tertuduh keenam didapati bersalah di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada si mati tanpa niat membunuh," kata Hakim Azman Abdullah ketika membacakan keputusan bersalah, seperti dilaporkan agensi berita kerajaan Bernama pada Selasa.

Disebabkan oleh kekangan akibat pandemik COVID-19, kehadiran secara fizikal di mahkamah telah dihadkan termasuk kepada pemberita.

Keenam-enam tertuduh berkenaan telah dinamakan di mahkamah sebagai Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Sebelum ini, lima daripada mereka telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat dengan mereka.

Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati mandatory, dengan keputusan mahkamah pada Selasa itu bagaimanapun mendapati bahawa mereka telah menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat, iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 304(a) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Selain itu, keenam-enam tertuduh berkenaan turut didapati bersalah bersama 12 lagi penuntut kerana mencederakan Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan mangsa bahawa dirinya telah mencuri sebuah komputer riba.

Kesemua mereka dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun bagi kesalahan tersebut di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan.

Kesemua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan terhadap Zulfarhan di dalam dua bilik penginapan UPNM di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei, 2017. Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Hakim Azman membenarkan penangguhan hukuman penjara terhadap kelima-lima tertuduh sementara menunggu rayuan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 29 Januari 2018, seramai 51 orang saksi pendakwaan dan pembelaan tampil memberikan keterangan termasuklah bekas Pegawai Perubatan UPNM, Dr Harniza Kosnan dan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr Salmah Arshad.

Turut dipanggil sebagai saksi ialah Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan bersama penuntut UPNM, Muhammad Alif Farhan Aerosni.

Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Ranjit Singh Dhillon, Amer Hamzah Arshad, Zamri Idrus, Hazman Ahmad, Fadly Hashim, Hazizah Kassim dan M Ramachelvam.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan penuntut UPNM terbabit membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Perbuatan umpama penjenayah tegar

Ketika prosiding, Hakim Azman menyuarakan rasa sedih beliau terhadap apa yang dilakukan kesemua tertuduh terhadap mangsa, menyatakan bahawa dirinya tidak dapat membayangkan kesakitan dialami kadet itu ketika diseksa.

"Kalau lihat kepada jasad si mati, saya tidak boleh nak bayangkan, sebab seterika wap kalau terkena di tangan pun sangat sakit.

Saksi keenam pendakwaan iaitu Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad mengesahkan kecederaan Zulfarhan adalah bersamaan dengan luka bakar.

"Saksi pendakwaan keenam dan saksi ke-19 pembelaan iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Rohayu Shahar Adnan bersetuju terdapat 90 kes tekapan seterika pada tubuh si mati kecuali pada bahagian muka dan belakang tapak tangan," kata beliau.

Tambah hakim itu, perbuatan para tertuduh seolah-olah mereka adalah penjenayah tegar walaupun berusia muda. Hakim Azman juga menyuarakan rasa menyesalnya bagi pihak ibubapa para tertuduh.

"Walaupun tertuduh dalam kes ini adalah pesalah muda, tindakan mereka seperti penjenayah tegar. Seterika wap ini kalau terkena tangan pun sangat sakit. Kalau di bahagian sensitif, saya tidak tahu si pelaku itu kita nak kategorikan sebagai apa.

"Saya tumpang menyesal, tumpang sedih atas ibu bapa kamu semua kerana kalau tidak, kamu semua akan menjadi pegawai operasi tentera," kata hakim itu kepada semua tertuduh.

Sementara itu, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros, 57, memberitahu pemberita ketika ditemui di luar mahkamah bahawa keluarganya berterima kasih terhadap hakim dengan keputusan itu, walaupun mereka mengharap hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tambah bapa itu, beliau juga telah memaafkan kesemua mereka yang menyebabkan kematian anaknya.

"Sejujurnya, saya memaafkan mereka. Saya berharap kemaafan dizahirkan itu mungkin memberi kelegaan. Berat hati nak cakap, tetapi secara jujurnya saya memaafkan perbuatan tertuduh.

"Saya juga berterima kasih kepada hakim yang membuat keputusan sewajarnya walaupun berharap hukuman lebih berat dikenakan terhadap semua tertuduh yang disabitkan bersalah," kata Zulkarnain.

Selain itu, beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap sikap keluarga semua tertuduh yang masih enggan menemuinya untuk memohon kemaafan.

Zulkarnain juga memberikan peringatan kepada masyarakat supaya jangan melakukan perbuatan membuli.

"Hanya ada satu keluarga tertuduh jumpa saya minta maaf, yang lain tidak berbuat demikian. Ia seolah-olah anak saya pula bersalah dan membunuh. Janganlah begitu, jangan kita memutuskan tali silaturarhim, berbuat baiklah.

"Saya juga ingin memberi pesanan kepada masyarakat agar jangan sekali-kali menjadi pembuli seperti yang berlaku dalam kes anak saya. Perbuatan itu menyebabkan saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga serta idola dan teladan kepada adiknya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh