Bekas Menteri Dan Juruterbang TUDM Duta Baru Malaysia Ke AS

Shuman Vasu
2016.12.28
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
161228-my-zulhasnan-620.jpg Timbalan Perdana Menteri [jawatan pada ketika itu] Najib Razak (Kiri), bersama-sama dengan Menteri Wilayah Persekutuan Zulhasnan Rafique (kanan) bersedia untuk melihat dengan lebih dekat lagi mengenai tandas automatik di Pusat Bandar Kuala Lumpur, 19 Disember 2006.
AFP

Malaysia pada Rabu mengumumkan pelantikan bekas menteri Wilayah Persekutuan Zulhasnan Rafique sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri Malaysia menyatakan bahawa Zulhasnan, 62, yang juga bekas juruterbang Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) sebelum berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Wangsa Maju, akan menggantikan Dr Awang Adek Hussin.

Zulhasnan, dalam kenyataannya yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, berkata beliau akan memberikan khidmat terbaik bagi mencapai hasrat dan objektif hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat.

"Saya melihat pelantikan saya sebagai petanda jelas tentang tekad Perdana Menteri (Najib Razak) dan pucuk pimpinan negara bukan sahaja untuk untuk meneruskan, malah meningkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan AS yang telah terjalin sejak sekian lama iaitu sejak negara kita mencapai kemerdekaannya," katanya seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Rabu.

Zulhasnan pernah menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan selama empat tahun bermula pada 2006. Sebelum itu, beliau menyandang jawatan timbalan menteri bagi portfolio sama selama dua tahun.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Wangsa Maju dari 1999 hingga 2004 dan Ahli Parlimen Setiawangsa, di Kuala Lumpur dari 2004 hingga 2013. Sejak tahun 2013, Zulhasnan Rafique merupakan Canselor bagi Geomatika University College Malaysia.

Zulhasnan, semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington pada Rabu, berkata beliau akan mengulas lanjut mengenai jawatan baru yang bakal disandangnya itu selepas mendapat watikah pelantikan rasmi daripada kerajaan Malaysia.

Bekas juruterbang TUDM

Sebelum menceburkan diri dalam arena politik, Zulhasnan merupakan seorang juruterbang TUDM dan menamatkan perkhidmatannya pada 1985 dengan pangkat Mejar.

Antara pencapaian beliau sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM adalah penganugerahan Jurulatih Penerbangan Terbaik dan menerima Piala Jet Provost ketika mengikuti kursus jurulatih penerbangan di Pangkalan Tentera Udara Diraja British di Leeming, United Kingdom pada 1980.

Menurut beberapa laporan media tempatan, Zulhasnan pernah terlibat dalam beberapa operasi membanteras pengganas komunis sepanjang perkhidmatannya dengan TUDM.

Beliau mula terlibat dalam bidang politik pada 1995 apabila menjadi ahli Jawatankuasa Umno Wangsa Maju dan empat tahun kemudian, beliau memenangi kerusi Parlimen kawasan itu.

Pada 2004 dan 2008, beliau bertanding pada pilihann raya umum dan memenangi kerusi Parlimen Setiawangsa.

Namun, Zulhasnan digugurkan daripada barisan kabinet Najib pada 2009 dan tidak dipilih bertanding semula kerusi Parlimen itu.

Hubungan Malaysia- AS

Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan dua hala yang baik daripada pelbagai segi termasuk diplomatik, ekonomi, keselamatan dan pelaburan.  

Amerika Syarikat adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia yang menyaksikan Presidennya Barack Obama mengunjungi negara itu sebanyak dua kali semasa pemerintahan Najib, yang antaranya untuk membincangkan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Zulhasnan dilihat bakal memikul tanggungjawab yang besar  sebagai Duta Besar kerana beliau perlu mewakili Malaysia, sebuah negara Islam, di bawah pentadbiran baru AS yang bakal diterajui Donald Trump.

Sebelum ini, Trump pernah dituduh sebagai anti-Islam berikutan beberapa kenyataannya tentang Islam dan umat Islam.

Malaysia berpandangan pentadbiran baru Amerika Syarikat di bawah Trump tidak akan mengambil langkah-langkah regresif berkaitan dasar luar negara termasuk hubungannya dengan Malaysia.

Bagaimanapun, hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat dilihat sedikit goyah apabila pada Julai lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) telah memfailkan 12 tindakan undang-undang sivil bagi merampas dan mendapatkan kembali lebih AS$1 bilion dalam bentuk aset yang didakwa dibayar dengan wang 1Malaysia Development Berhad yang dicuri.

Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata, ia adalah satu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang menerusi institusi-institusi di negara tersebut.

Dokumen undang-undang sivil itu turut menamakan Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz.

Najib dikaitkan dengan skandal itu selepas akhbar antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa hampir AS $700 juta wang dana 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu semasa menjelangnya pilihan raya umum Malaysia pada 2013.

Bagaimanapun, Najib dan 1MDB berulang kali menafikan sebarang salah laku.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.