Follow us

Zunar Ditangkap Pihak Berkuasa Malaysia Ketika Majlis Amal

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2016-12-17
E-mel
Komen
Share
Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dibawa oleh pihak berkuasa Malaysia ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, 17 Disember 2016.
Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dibawa oleh pihak berkuasa Malaysia ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, 17 Disember 2016.
[Ihsan Zunar]

Kemaskini pada 7:30p.m. ET - 2016-12-17

Polis Malaysia pada Sabtu sekali lagi menahan kartunis satira Zunar ketika sebuah majlis amal untuk disiasat atas dakwaan majlis itu, memudaratkan demokrasi berparlimen serta merampas kira-kira lebih seribu naskah buku kartun Zunar serta T-shirt lakaran kartunnya, dan membebaskan beliau enam jam selepas itu

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque ditahan semasa majlis amal "Minum Teh Bersama Zunar" yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) pada petang Sabtu itu.

Selain Zunar, empat lagi individu lain, dua pembantunya dan dua tetamu turut ditahan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira pukul 4 petang, dan pihak polis membebaskan kartunis itu dengan jaminan selepas menahannya lebih enam jam. Beliau dikhendaki melaporkan diri kepada balai berkenaan pada 30 Disember, kata Zunar dalam satu kenyataan yang dihantar kepada BeritaBenar.
.
“Hari ini polis merampas 1,000 naskah buku dengan 12 tajuk yang berbeza yang dianggarkan dengan nilai kerugian AS$10, 000 [RM40.000]. Kami telah dibawa ke balai polis dan disiasat dibawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu memudaratkan demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, polis akan menggunakan undang-undang untuk melucutkan hak beliau keatas buku-buku yang dirampas itu selain terus mengharamkannya.

Semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington, Kartunis berkenaan berkata, penahanan beliau tidak dapat diterima akal kerana majlis amal itu dibuat dalam sebuah dewan milik persendirian dan telah mendapat kebenaran pemilik bangunan  

"Majlis amal yang dianjurkan bertujuang untuk mengumpul dana selepas kerugian lebih RM30 ribu, apabila semua karya seni saya dirampas pihak Polis pada pameran di Pulau Pinang bulan lepas," kata Zunar.

Beliau berkata, jika di Amerika, ramai yang menjadi Islamphobia, tetapi di Malaysia pula telah menjadi Cartoon-o-phobia.

Tangkapan kedua dalam tiga minggu

“Ini adalah tangkapan saya yang kedua dalam masa tiga minggu. Pada November 25 saya ditangkap dibawah Akta Hasutan, dan kesemua karya seni yang dipamerkan pada pameran itu telah dirampas” katanya yang sebelum ini telah ditahan Polis Pulau Pinang semasa mengadakan pameran hasil karyanya di negeri itu.

Beliau bagaimanapun dibebaskan oleh pihak berkuasa Malaysia sehari selepas ditahan dengan jaminan polis apabila sebuah mahkamah di negeri itu menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman beliau selama empat hari, sebaliknya hanya membenarkan perintah tahanan reman selama sehari saja bagi membantu siasatan.

Pameran yang sama telah diadakan di Petaling Jaya, Selangor selama tujuh hari bermula 3 September lepas tanpa sebarang insiden.

Kartunis yang turut menjadi penyumbang kepada BeritaBenar, juga berdepan dengan larangan perjalanan yang dikenakan ke atasnya pada Jun lalu, selain menghadapi sembilan pertuduhan hasutan kerana didakwa menghina badan kehakiman dalam tweet yang ditulisnya mengenai sabitan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015.

Zunar pernah dipenjarakan dua kali sebelum ini iaitu dua hari pada September 2010 dan selama tiga hari pada Februari 2015.
Lima daripada buku beliau telah diharamkan dan beribu-ribu lagi dirampas dari pejabatnya di Kuala Lumpur, katanya kepada BeritaBenar tahun lepas.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar telah menasihati Zunar untuk menghasilkan karya yang baik dan tidak menghina seperti “McDonalds dan Donald Duck” untuk dipamerkan kepada orang awam.

Khalid berkata, jika Zunar tetap mahu mempamerkan kartun-kartunnya yang menghina pemimpin, beliau haruslah berdepan tindakan daripada aspek undang-undang.

Pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 itu sering mengetengahkan isu-isu negara dan politik serta sindiran terhadap pemimpin, seperti Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Lihat Laman Penuh