Follow us

Mahkamah Malaysia Arah Kerajaan Bayar Ganti Rugi Kepada Kartunis Zunar

Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2017-04-11
E-mel
Komen
Share
Zunar menunjukkan sekeping replika hasil karya seninya yang rosak di Bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 April, 2017.
Zunar menunjukkan sekeping replika hasil karya seninya yang rosak di Bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 11 April, 2017.
[Ihsan Zunar]

Sebuah mahkamah Malaysia pada Selasa menganugerahkan RM18,000 [AS$4,600] sebagai ganti rugi kepada kartunis satira Zunar berhubung tuntutan mahkamah terhadap kerajaan yang telah menyita 66 naskah buku dan karya seninya, hampir tujuh tahun lepas.

Zulkiflee Anwar Ulhaque, penyumbang BeritaBenar dengan nama pena Zunar, telah ditangkap dua kali sejak November 2016 atas dakwaan hasutan dan "aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen" di dalam lakaran kartun yang mengkritik kerajaan dan badan kehakiman Malaysia.

Selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa itu, Zunar mengingatkan Polis Malaysia untuk menjaga bahan yang disita semasa tangkapan dibuat. Di dalam samannya, Zunar mendakwa bahawa pihak berkuasa telah merosakkan beberapa keping hasil karyanya.

"Polis telah merampas 40 keping karya seni saya di Pulau Pinang dan 1,300 naskah buku yang dirampas di Kuala Lumpur dan semestinya ia perlu disimpan dalam keadaan baik atau mereka akan menghadapi akibat yang sama," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

Beliau berkata tindakan undang-undang telah difailkan untuk mendapatkan semula bahan berkenaan.

"Ini melanggar hak seorang kartunis. Kami juga mempunyai hak," katanya.

Pada Selasa, pendakwaraya mengesahkan bahawa seorang pegawai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah merekodkan persetujuan untuk membayar ganti rugi. Zunar menyaman kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, bekas ketua polis negara dan dua pegawai polis yang mengetuai usaha untuk merampas buku beliau, pada September 2010.

Butiran Rampasan

Polis Malaysia telah menyerbu pejabat Zunar di Kuala Lumpur dan menahan kartunis berkenaan di bawah Akta Hasutan. Mereka turut merampas hasil seninya yang menggambarkan Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, bersama-sama dengan buku yang baru diterbitkan “Cartoon-O-Phobia”.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada Julai 2012, yang turut mengarahkan pihak polis untuk memulangkan naskah buku dan karya seni kartunis berkenaan.

"Keputusan hari ini bukan mengenai kuantum, tetapi adalah satu pengajaran kepada pihak polis dan kerajaan Malaysia yang menggunakan undang-undang jenayah dengan sewenang-wenangnya untuk merampas dan memusnahkan lakaran kartun, yang sememangnya tidak boleh diterima dan dibuat dengan berniat jahat," kata Zunar dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, Zunar ditahan ketika muncul di acara amal, "Teh bersama Zunar," pada 17 Disember, 2016. Polis merampas lebih 1,000 naskhah buku kartunnya, lakaran dan kemeja-T, yang bernilai kira-kira RM40,000 (AS$9,000).

Zunar dan empat orang lain telah dibawa ke balai polis Dang Wangi di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi. Beliau dibebaskan enam jam kemudian.

Kurang daripada sebulan sebelum itu, iaitu pada 26 November 2016, Zunar ditahan di bawah Akta Hasutan dan karya seni beliau pada pameran di George Town, Pulau Pinang, telah dirampas. Beliau dibebaskan pada hari berikutnya.

Pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 itu juga telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia sejak Jun tahun lepas.

Zunar juga menghadapi sembilan pertuduhan hasutan kerana didakwa menghina badan kehakiman di laman media sosial –Twitter miliknya mengenai keputusan penghakiman mahkamah terhadap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Jika disabitkan kesalahan keatas semua pertuduhan, Zunar boleh menghadapi hukuman penjara tidak melebihi 43 tahun.

Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.


Lihat Laman Penuh