Follow us

Zunar Fail Saman Batalkan Pengharaman Buku Satiranya

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-01-02
E-mel
Komen
Share
Kartunis Satira Zunar bersama barisan peguamnya selepas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendengar kes mencabar Akta Hasutan 1948, di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, 8 September 2016.
Kartunis Satira Zunar bersama barisan peguamnya selepas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendengar kes mencabar Akta Hasutan 1948, di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur, 8 September 2016.
[Nani Yusof/BeritaBenar]

Kartunis satira terkenal Malaysia, Zunar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa untuk membatalkan pengharaman bukunya `Sapuman: Man of Steel` yang dikuatkuasakan oleh kerajaan tiga bulan lalu.

Buku Sapuman: Man of Steal" yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris,  telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 4 Oktober tahun lepas.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dengan menuntut bahawa perintah pengharaman buku itu adalah batal dan tidak sah.

“Zunar dalam permohonannya menuntut suatu deklarasi mengetepikan pewartaan bahawa perintah pengharaman terhadap bukunya itu adalah batal dan tidak sah,” kata Eric Paulsen dari firma guaman Tetuan Daim dan Gamany pada BeritaBenar pada Selasa.

Katanya lagi, Zunar dalam permohonan itu meminta mahkamah agar menyatakan perintah dan warta itu sebagai tidak sah, salah dan tidak memiliki kuasa perundangan kerana ia adalah ultra vires dengan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta memungkiri Perkara 5 (Kebebasan Individu), Perkara 8 (hak kesamarataan)  dan Perkara 10 (1) (a) dalam Perlembagan Persekutuan untuk kebebasan bersuara.

Eric memberitahu, Zunar juga menuntut gantirugi am dan khas serta peruntukan yang sesuai bagi kos permohonan untuk kebenaran dan semakan kehakiman.

"Sapuman: Man of Steal" lakaran kartun mengenai Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB], telah diharamkan oleh KDN kerana didakwa melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984.

“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam ‘jadual yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang’ adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” menurut warta yang dikeluarkan dan boleh diakses di laman web Peguam Negara Malaysia .

Buku itu adalah buku ke-11 oleh Zunar, yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Zunar yang merupakan penyumbang BeritaBenar mendakwa, tindakan undang-undang itu telah dirancang pihak berkuasa.

Semasa dihubungi BeritaBenar Zunar berkata permohonan itu dibuat bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan bagi seorang rakyat Malaysia untuk melukis secara kritikal.

“Saya failkan permohonan ini supaya hak-hak seorang warganegara untuk menerbitkan buku satira terutama yang kritikal terhadap kerajaan dapat dibuat tanpa halangan,” tambahnya lagi,

Selain “Sapuman: Man of Steel” antara buku-buku Zunar yang lain diharamkan adalah - Gedung Kartun, 1 Funny Malaysia, Isu Dalam Kartun (Vol 1, 2, 3), Conspiracy to Imprison Anwar, Perak Darul Kartun and Pirates of Carry-BN.

Manakala, Buku  ‘Ros di Kangkongland’ dan beberapa buku koleksi kartunnya telah disiasat dibawah Akta Hasutan.

Beliau sebelum ini memberitahu, hasil kerja lakarannya ketika zaman bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad berkuasa adalah lebih kritikal tetapi ia tidak pernah diharamkan oleh pemerintah ketika itu.

“Kesemua 11 buku, yang dirampas, serbuan, segala yang berlaku kepada saya, berlaku di bawah pemerintahan Najib sejak tahun 2008,” kata Zunar.

Larangan terhadap penjualan buku itu tiba seminggu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan yang menggesa kerajaan Malaysia supaya menggugurkan segala dakwaan menghasut terhadap Zunar dan menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan terhadap kartunis itu sejak Jun lepas.

Laporan oleh Pelapor Khas PBB dalam bidang hak kebudayaan, Karima Bennoune telah menyatakan kebimbangan mendalam mengenai tuduhan terhadap Zunar.

"Kerajaan Malaysia perlu membangunkan satu rancangan konkrit untuk menjamin kebebasan bersuara seni," kata laporan itu.

Pada Ogos lalu, Zunar memfailkan tindakan undang-undang terhadap pegawai kerajaan dan polis yang mendakwa penangkapan dan rampasan buku serta t-shirt pada acara amal di Kuala Lumpur menyalahi undang-undang.

Zunar juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pihak berkuasa melanggar hak perlembagaannya.

Pada April lepas, mahkamah telah menganugerahkan Zunar RM18, 000 (AS$4,060) sebagai ganti rugi kerana tuntutannya terhadap kerajaan yang telah menyita 66 naskhah buku dan karya seninya pada September 2010.

Pada tahun lalu, kartunis itu telah membatalkan pamerannya di Pulau Pinang kerana bimbang kemungkinan ada ancaman daripada sayap pemuda parti pemerintah Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO].

Zunar, pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia sejak Jun 2016, juga menghadapi sembilan pertuduhan menghasut selepas didakwa menghina badan kehakiman dalam catatan Twitter beliau mengenai sabitan kesalahan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Jika disabitkan dengan semua pertuduhan itu, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 43 tahun.


Lihat Laman Penuh