Follow us

Akta Hasutan: Mahkamah Malaysia Bebas Kartunis Politik Zunar

Hata Wahari
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-07-30
E-mel
Komen
Share
Kartunis Zunar, empat dari kanan, bersama barisan peguam dan penyokongnya di Mahkamah Kuala Lumpur selepas mahkamah menggugurkan semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan keatasnya, Kuala Lumpur, 30 Julai, 2008. [Ikhsan Zunar]
Kartunis Zunar, empat dari kanan, bersama barisan peguam dan penyokongnya di Mahkamah Kuala Lumpur selepas mahkamah menggugurkan semua pertuduhan di bawah Akta Hasutan keatasnya, Kuala Lumpur, 30 Julai, 2008. [Ikhsan Zunar]
[Ihsan Zunar]

Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin membebaskan kartunis politik Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar daripada sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan setelah pihak pendakwaraya menarik balik kesemua pendakwaan ke atasnya.

Zunar yang didakwa pada 3 April 2015, berdepan dengan hukuman penjara selama 43 tahun jika disabitkan kesalahan di bawah akta berkenaan kerana menggunakan laman sosial Twitter miliknya untuk menghina badan kehakiman Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Zunar walaubagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan keatasnya itu.

“Akhirnya saya bebas. Terima kasih kepada peguam Latheefa Koya, N Surendran, Eric Paulsen, Melissa Sasidaran dan staf mereka, kartunis-kartunis serta semua penyokong,” katanya pada pemberita ketika ditemui di luar bangunan mahkamah pada Isnin.

Sesi mahkamah sesyen dimulakan pada pukul 10 pagi di hadapan Hakim Zamri Bakar yang turut menggugurkan pertuduhan terhadap peguam dan juga bekas ahli parlimen N Surendran di bawah Akta Hasutan.

Dalam respon beliau kepada pemberita, Zunar berkata bahawa beliau akan terus mendesak kerajaan untuk menghapuskan Akta Hasutan yang dianggap kejam dan melanggar hak asasi manusia di Malaysia.

Akta Hasutan telah digubal oleh kerajaan kolonial British pada tahun 1948 untuk memerangi komunis, dan telah dipinda oleh Malaysia berikutan rusuhan kaum pada tahun 1969. Menurut akta itu, ucapan yang "mempunyai kecenderungan untuk menghasut" adalah satu kesalahan jenayah.

Zunar yang begitu kuat mengkritik salahlaku dalam kerajaan melalui lukisan kartunnya sejak beberapa tahun lalu, telah dihadapkan ke mahkamah dalam usaha kerajaan terdahulu untuk menyekat beliau dari terus mengkritik tapi gagal.

Dua tahun lepas, kerajaan Barisan Nasional yang memerintah telah menyekat Zunar daripada ke luar negara dan beliau hanya menyedari mengenai larangan perjalanan ke atasnya apabila dimaklumkan oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semasa hendak berlepas ke Singapura bagi menghadiri sebuah forum di negara itu pada 17 Oktober 2016.

Timbalan Menteri bebas


Sebuah lagi mahkamah sesyen pada Isnin telah membenarkan permohonan pendakwa raya Faizah Ismail untuk menarik balik pendakwaan di bawah akta yang sama terhadap  Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa.

Hakim Gan Chee Keong membenarkan permohonan pihak pendakwa raya itu yang  kemudian membuat keputusan untuk melepaskan dan membebas Sivarasa  atas pendakwaan yang dikenakan sejak 2015.

Sivarasa yang juga merupakan Anggota Parlimen Sungai Buloh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 atas kesalahan memberi ucapan semasa himpunan Kita Lawan pada 2015.

Difahamkan lebih 114 orang termasuk pemimpin pembangkang, aktivis dan orang ramai telah ditahan di bawah Akta Hasutan sepanjang bulan Mac 2015 sahaja.

Antara yang ditahan ialah tiga editor kanan portal berita The Malaysia Insider (TMI) yang kini telah ditutup , iaitu Editor Pengurusan TMI, Lionel Morais; Editor Bahasa Malaysia, Amin Shah Iskandar dan Editor Analisis, Zulkifli Sulong.

Ketua Eskekutif TMI Jahabar Sadiq dan penerbit The Edge yang memiliki kepentingan dalam portal berita itu, Ho Kay Tat, turut ditahan mengikut Akta Hasutan berhubung laporan portal berita itu mengenai undang-undang jenayah Islam - Hudud di Kelantan pada 2015.

Baru-baru ini, peguam dan aktivis Fadiah Nadwa turut disiasat pihak polis berikutan satu artikel oleh beliau yang mengkritik kuasa raja-raja dan sistem politik negara.

Lihat Laman Penuh