Karikatur Cuti Perayaan Hindu: Polis Malaysia Siasat Kartunis
2021.04.28
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia telah memulakan siasatan keatas kartunis satira terkemuka negara itu berhubung karikatur seorang menteri besar dan keputusannya mengenai cuti perayaan masyarakat Hindu di negeri Kedah, menurut pegawai pada Rabu, iaitu beberapa hari selepas seorang lagi kartunis satira ditahan berkaitan hantaran media sosial berkaitan Permaisuri Agung.
Selain itu, kerajaan juga bercadang memanggil wakil dari dua agensi media berhubung kredibiliti laporan mereka mengenai komen seorang pegawai kanan polis, menurut Kementerian Dalam Negeri pada Selasa, kira-kira seminggu selepas badan pemerhati media antarabangsa melaporkan kedudukan Malaysia yang merosot 18 tangga dalam indeks kebebasan media.
Dalam satu kenyataan kepada pihak media, Zulkiflee Anwar Ul Haque, atau lebih dikenali dengan nama penanya Zunar memberitahu yang beliau telah dipanggil untuk siasatan berhubung kartun lakarannya oleh pihak polis dari Kontinjen Kedah, sebuah negeri yang terletak di utara Malaysia, pada Ahad ini.
“Saya telah dihubungi oleh Inspektor Zulkifli Musa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di Kedah memaklumkan yang saya diarahkan untuk melaporkan diri ke balai polis untuk disiasat berhubung lakaran kartun saya yang telah disiarkan pada 23 Jan, 2021. Kartun berkenaan telah disiarkan di laman Facebook "Zunar Kartunis Fan Club,” kata Zunar.
Bercakap kepada BenarNews, kartunis itu mendakwa siasatan berkenaan berkemungkinan salah satu percubaan oleh pihak berkuasa untuk menutup mulutnya.
“Mungkin ini adalah percubaan untuk menutup mulut para pengkritik,” dakwanya yang juga penyumbang BenarNews.
Zunar berkata beliau akan hadir ke balai polis berkenaan pada jam 11 pagi, 2 Mei depan dengan ditemani oleh penguamnya.
Kartun yang menjadi isu itu menggambarkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggunakan pisau besar untuk memisahkan sekumpulan empat individu yang mewakili empat etnik berbeza di Malaysia.
Lakaran kartun itu dihasilkan sebagai respon terhadap keputusan kerajaan negeri untuk tidak meluluskan cuti umum bagi perayaan Thaipusam – festival keagamaan penganut Hindu – dan pembatalan semua aktiviti festival di bawah alasan prosedur keselamatan pandemik COVID-19.
Dalam respon kepada BenarNews, Ketua Polis Kedah Hasanuddin Hassan mengesahkan yang polis kontinjen negeri telah memanggil Zunar untuk disoal siasat.
“Ya, beliau telah dipanggil. Menurut kertas siasatan, beliau sedang disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” kata Hasanuddin.
Seksyen 505(c) di bawah Kanun Keseksaan adalah kesalahan melibatkan perbuatan khianat dengan niat untuk menghasut atau kemungkinan menghasut orang ramai dan boleh dihukum dengan penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula melibatkan kesalahan seseorang yang menggunakan kemudahan jaringan untuk dengan sedar membuat, menghasilkan, meminta atau mencetuskan komunikasi yang berunsur lucah, tidak sopan, salah, menimbulkan kekacauan atau salah dengan niat untuk menyakitkan hati, menyakiti, mengugut atau mengganggu individu lain, yang boleh dihukum dengan penalti sehingga RM50,000 (AS$12,187) atau penjara sehingga satu tahun.
Di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini, Zunar telah berdepan dengan kemungkinan penjara sehingga 43 tahun selepas beliau didakwa dengan sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan serta satu lagi pendakwaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Buku kompilasi kartun Zunar juga pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana memaparkan hasil karya yang kritikal terhadap Najib dan isterinya Rosmah Mansor berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB] kerana didakwa melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984, selain pernah mencabar keputusan Jabatan Imigresen di mahkamah kerana mengenakan larangan perjalanan terhadapnya sehingga menyebabkan beliau terpaksa membatalkan pelbagai program di Kenya, United Kingdom, Switzerland, Australia dan Singapura.
Bagaimanapun, semua pertuduhan keatasnya itu telah digugurkan pada Julai 2018 susulan kekalahan kerajaan Barisan Nasional dan Najib pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Siasatan untuk menutup suara bantahan
Kumpulan hak asasi ARTICLE 19 menerusi Pegawai Program Malaysia Nalini Elumalai menyifatkan pengunaan Akta SKMM terhadap terhadap Zunar sebagai “tindakan paling jelas” oleh kerajaan Malaysia untuk menutup mulut para pengkritik.
“Siasatan ke atas Zunar adalah satu lagi contoh bagaimana kerajaan Malaysia enggan bertoleransi kepada kritikan awam. Tindakan undang-undang ke atas kartunis seperti Zunar dan Fahmi membantutkan ekspresi kreatif, perbincangan awam serta menjejaskan tahap kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa.
“Dengan berulangkali menggunakan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyasarkan pelukis dan aktivis, pihak berkuasa memberi isyarat jelas yang kritikan dan bantahan politik sama sekali tidak dibenarkan di Malaysia,” ujar Nalini.
Minggu lalu, polis telah menahan pelukis dan satiris politik Fahmi Reza, berhubung sebuah komentar satira dan sebuah senarai muzik atas talian yang mempersendakan komen-komen oleh Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Senarai muzik yang dihoskan oleh Spotify itu menampilkan sebuah foto Permaisuri Agong dengan tajuk “This is Dengki Ke” yang merangkumi seratus buah lagu dengan tema 'cemburu' selepas Permasuri Agong didakwa memuatnaik satu komen di akaun Instagram miliknya mempersoalkan sama ada satu komen rambang oleh seorang wanita berbaur cemburu kepada Permaisuri Agong yang telah menerima vaksin COVID-19, seperti yang didakwa oleh baginda dalam satu lagi hantaran, yang kemudiannya telah diturunkan.
Fahmi telah ditahan di rumahnya pada 23 April oleh sekumpulan pegawai polis yang telah memecah masuk ke kediamannya sebelum membawa beliau ke Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, di mana Fahmi telah disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau telah dibebaskan sehari kemudian selepas mahkamah majistret menolak permohonan pihak polis untuk mendapatkan perintah reman selama empat hari.
Fahmi sebelum itu telah dijatuhi hukuman penjara selama satu bulan dan denda 30,000 ringgit (US$7,312) oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Februari 2018 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia selepas didapati bersalah di bawah akta sama kerana memuatnaik lakaran badut Najib di akaun Facebook miliknya pada tahun 2016.
Seperti Zunar, pertuduhan ke atas Fahmi turut digugurkan pada Oktober 2018, susulan perubahan kerajaan, ketika kesnya sedang dirayu di peringkat Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Malaysia sedang memanggil agensi berita atas talian Malaysiakini dan akhbàr berbahasa Cina, China Press berhubung laporan mereka berkaitan komen Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani yang didakwa secara sinis memberi gambaran yang ugutan rogol ke atas seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun, hanyalah satu gurauan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, kementerian itu berkata laporan itu tidak tepat, justeru akan memanggil kedua-dua agensi media itu untuk memberi penjelasan.
"Kementerian Dalam Negeri memandang serius laporan media yang tidak tepat seperti yang diterbitkan oleh portal Malaysiakini dan akhbar China Press berhubung satu kenyataan oleh Timbalan Ketua Polis Negara.
"Oleh itu, Kementerian Dalam Negeri akan memanggil wakil-wakil dari Malaysiakini dan China Press dengan segera untuk mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut berkaitan dengan laporan-laporan berkenaan," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, tarikh untuk pertemuan tersebut belum ditetapkan.
Dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung atas talian pada Isnin, Acryl Sani ketika ditanya mengenai ugutan rogol yang diterima oleh pelajar sekolah berusia 17 tahun, dilaporkan berkata "kemungkinan ia adalah gurauan daripada rakan sekelasnya yang tidak dapat diterima (oleh pengadu)."
Dalam kenyataan tiga muka surat menjelaskan kenyataan beliau itu, Pegawai Komunikasi Korporat PDRM, Skandaguru Anandan berkata apa yang dimaksudkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara tidak membawa maksud yang beliau berkata "mungkin bergurau" seperti "yang digambarkan oleh Malaysiakini dan China Press”.
"Tidak ada sebarang aspek dalam kes ini yang telah dianggap sebagai "bergurau" dan pihak polis mengambil serius semua laporan polis dan sentiasa komited untuk melakukan siasatan terperinci," jelasnya.
Jawapan panjang lebar pihak polis bagaimanapun tidak disenangi oleh Centre of Independent Journalism (CIJ), yang menegaskan tiada keperluan Kementerian Dalam Negeri untuk memanggil dua agensi berita susulan laporan mereka berkaitan isu berkenaan.
"Sekiranya pihak berkuasa merasakan mereka telah disalah tafsir atau diwakili secara salah, mereka berhak untuk memberi penjelasan, seperti yang telah pun dibuat oleh pihak polis.
"Adalah sesuatu yang tidak dapat diterima apabila pihak media menjadi sasaran kerana melaporkan secara tepat apa yang dilaporkan oleh Timbalan Ketua Polis," kata pengarah eksekutif CIJ Wathshlah G. Naidu, dalam satu kenyataan.
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF) pada 17 April lepas merosot 18 tangga - kemerosotan terbesar untuk negara-negara yang tersenarai.
Kemerosotan itu dipengaruhi oleh pembentukan kerajaan baharu pada Mac tahun lalu
"Ia juga dipengaruhi oleh langkah perintah "anti- berita palsu" oleh pihak berkuasa yang dilihat memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menafsirkan kebenaran menurut kehendak mereka, kuasa yang telah digunakan oleh negara jiran mereka Singapura (jatuh dua tangga kepada kedudukan ke-160) sejak dua tahun yang lalu - dengan adanya undang-undang yang membolehkan kerajaan untuk "membetulkan" apa sahaja maklumat yang difikirkan salah dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab," ujar badan pemerhati media itu.
S. Adie Zul di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.