Follow us

Kartunis Zunar Saman Kerajaan Malaysia, Polis DiRaja Malaysia

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-11-12
E-mel
Komen
Share
Peguam Cecil Rajendran (kiri) bersama kartunis Zunar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia, Pulau Pinang, 12 November, 2018.
Peguam Cecil Rajendran (kiri) bersama kartunis Zunar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia, Pulau Pinang, 12 November, 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]


Kartunis satira Malaysia, Zulkiflee Anwarul Haque atau terkenal dengan nama Zunar pada Isnin memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia kerana gagal memulangkan hasil lukisannya yang dirampas ketika pamerannya diserbu di Pulau Pinang dua tahun lepas.

Pada tahun 2016, Zunar telah dijemput oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang diperintah oleh Parti Tindakan Demokratik [DAP] untuk mempamerkan hasil karya beliau semasa Festival Sastera George Town 2016 berlangsung di bandaraya itu.

Jemputan tersebut adalah sebagai penghormatan kepada kartunis berkenaan yang telah  menerima “Anugerah Kartunis untuk Keamanan 2016” di Geneva, Switzerland yang turut  dihadiri bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan.

Bagaimanapun, pada 26 November 2016 polis menyerbu pameran tersebut yang diadakan di ICT Mall di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), dan merampas hasil lukisannya dan turut menahan Zunar.

Dalam saman yang difailkan pada Isnin menerusi peguamnya, Cecil Rajendra, Zunar memohon untuk mendapatkan semula lukisan yang dirampas termasuk pampasan sebanyak RM380,000(AS$91,260) kerana beliau menghadapi serta mengalami "tekanan, dan penderitaan,” semasa serbuan dibuat.

"Anak guam saya juga hilang mata pencarian dan nilai hasil seninya merosot," kata Cecil pada sidang media di George Town.

Selain pampasan, Zunar juga menuntut pihak polis untuk memohon maaf secara rasmi berhubung tindakan yang tidak sewajarnya dilakukan terhadap beliau, kata Cecil.

"Dia dilayan seperti penjenayah tetapi sampai hari ini tiada pendakwaan yang difailkan terhadapnya. Kami juga telah menghantar notis tindakan kepada polis pada Mac lepas menuntut supaya semua lukisan-lukisannya dipulangkan selain permohonan maaf. Sebaliknya  pihak Polis hanya menjawab dengan berkata perkara itu sedang disiasat.

"Kami juga telah menghantar sepucuk lagi surat kepada polis pada Julai lalu, iaitu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, dan telah dimaklumkan sekali lagi bahawa perkara berkenaan masih lagi dalam siasatan.  Oleh sebab itu kami terpaksa mengambil tindakan mahkamah atas penderitaan, hilang punca pendapatan dan kemerosotan nilai lukisan-lukisan tersebut," kata Cecil kepada pihak media.

Selain menamakan kerajaan Malaysia dan Ketua Polis Negara (KPN) Mohd Fuzi Harun, Zunar turut menamakan Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut, Pulau Pinang ASP Rusli Tipu sebagai defendan dalam saman tersebut.

Bulan lepas, Zunar dan KPN menyelesaikan saman serupa berhubung 1,187 buah buku dan 103 helai baju-T yang dirampas polis dalam satu serbuan semasa majlis “Minum Petang Bersama Zunar” di Dewan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor pada 16 September 2016.

Sebahagian daripada penyelesaian itu, kerajaan dan KPN bersetuju untuk memulangkan barangan rampasan dalam satu tindakan yang disifatkan kartunis itu sebagai "pengakuan bersalah".

Ditanya jika keputusan kes di Kuala Lumpur itu memberinya keyakinan untuk meneruskan saman terbaru ini, Zunar berkata beliau enggan membuat sebarang andaian.

"Setiap kes berbeza, dengan merit tersendiri. Pemfailan saman hari ini adalah berdasarkan prinsip," tegas beliau.

Pameran dibatalkan

Pada November 2016, pameran tiga hari karya seni Zunar dibatalkan serta merta atas sebab keselamatan demikian menurut pihak polis, tiga jam selepas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung parti pembangkang DAP merasmikan acara itu.

Sekumpulan kira-kira 30 orang yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim menyerbu ruang pameran itu di Komtar – bangunan pencakar langit yang turut menempatkan sebuah pusat beli-belah dan ibu pejabat kerajaan negeri - pada kira-kira 2.45 dan menuntut Zunar mengeluarkan lukisan-lukisan beliau dari situ.

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di mana Perdana Menteri Najib Razak adalah Presidennya dan sebahagian daripada gabungan pemerintah Barisan Nasional [BN] yang berkuasa sejak 1957 pada ketika itu.

Zunar dilaporkan telah ditumbuk dan beberapa anggota kumpulan itu menarik kolarnya semasa kekecohan itu.

Seorang lagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian di negeri itu, Mohd Norhiesam Ismail kemudiannya membuat laporan polis, dengan menuduh Zunar "mengganggu ketenteraman rakyat Malaysia" menerusi karya kartun beliau.

Rafizal pada masa itu berkata, Pemuda UMNO tidak mempunyai masalah dengan kartun-kartun Zunar yang lain.

"Tetapi kami tidak suka jika kartun itu menyentuh dan mengutuk pemimpin kami," kata Rafizal. "Itulah hasrat kami untuk pergi dan melihat pamerannya, kami tidak berniat mencetuskan kekecohan."

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid memberitahu BeritaBenar tangkapan itu dilakukan dibawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 dan kerana melanggar ketenteraman awam di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Zunar yang cukup terkenal dengan karya seninya yang kritikal terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor, menerima sembilan pertuduhan di bawah Akta Hasutan yang dihadapinya ketika itu, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara 43 tahun.

Bagaimanapun, pada 30 Julai lalu, Peguam Negara yang baru dilantik, Tommy Thomas memutuskan untuk mengenepikan kesemua sembilan pertuduhan itu.

Lihat Laman Penuh