Follow us

Kartun Tabung Ayam: Zunar Disiasat Polis Malaysia

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2017-11-29
E-mel
Komen
Share
Zunar menunjukkan kartun satira mengenai dana awam negara yang disiasat oleh polis Malaysia di Kuala Lumpur, 29 Nov, 2017.
Zunar menunjukkan kartun satira mengenai dana awam negara yang disiasat oleh polis Malaysia di Kuala Lumpur, 29 Nov, 2017.
(Hata Wahari/BeritaBenar)

Kartunis satira terkenal Malaysia Zulkeflee SM Anwar Ulhaque pada Rabu telah disiasat pihak berkuasa Malaysia berkaitan lakaran sinis kartunnya mengenai syarikat berkaitan kerajaan serta dana awam negara itu yang disiarkan pada Ogos lalu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zunar telah disoal siasat selama sejam di Bangunan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia [PDRM] di Bukit Aman.

Beliau yang diiringi oleh peguam Eli Farahana menegaskan kesemua soalan yang dikemukakan oleh pegawai penyiasat terhadapnya tidak dijawab.

“Pada kali ini saya disiasat berkaitan kartun yang saya siarkan pada 9 Ogos lalu yang memaparkan sebuah tabung kepunyaan agensi kerajaan yang dipecahkan untuk membayar hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya ketika dihubungi oleh BeritaBenar.

Beliau berkata, pegawai penyiasat kes itu juga, antara lain, bertanyakan bagaimana beliau telah memuat-naik kartun itu di laman sosial Facebook.

Zunar memberitahu siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998, undang-undang kelima yang digunakan keatas beliau  kerana melukis kartun satira.

Beliau yang merupakan penyumbang kepada BeritaBenar sebelum ini telah disiasat di bawah Akta Mesin Cetak, Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan  mengaibkan orang dengan sengaja dan  Seksyen 12 (c) Kanun Keseksaan berkaitan dengan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Zunar juga telah didakwa di bawah sebanyak sembilan tuduhan dibawah Akta Hasutan dan juga dilarang keluar negara sejak bulan Jun 2016.

Sebanyak 11 buah buku Zunar telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan yang terbaru  buku "Sapuman: Man of Steal" yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, yang merupakan lakaran kartun mengenai Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB], juga telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana didakwa melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984 pada 4 Oktober lepas.

Laporan polis

Zunar berkata, siasatan pihak berkuasa Malaysia itu adalah kerana terdapat laporan polis yang dibuat terhadap kartun lakarannya itu.

“Soal siasat itu adalah satu bentuk ugutan dan pihak  polis menolak permintaan saya untuk melihat laporan polis yang dikatakan dibuat pada Ogos lalu,” tambahnya lagi.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana laporan dari seorang individu yang melihat kartun itu boleh digunakan oleh pihak polis untuk menyoal-siasat di bawah seksyen tersebut sedangkan terdapat lebih 30 juta rakyat Malaysia yang mungkin melihat  kartun itu tidak membuat sebarang laporan.

“Intepretasi mengenai kartun itu terpulang kepada mereka yang melihatnya, dan terpulang kepada orang ramai mentafsirkan, tetapi saya percaya kartun itu dapat memberi gambaran sebenar terhadap keadaan negara ini,” katanya sambil memberitahu telefon bimbitnya telah dirampas selepas soal siasat tersebut.

Seksyen tersebut adalah berkaitan kesalahan penggunaan kemudahan atau perkhidmatan jaringan internet oleh orang yang memindahkan apa sahaja telekomunikasi yang dianggap menyinggung atau menyebabkan kejelikan kepada orang lain.

Undang-undang itu memperuntukkan hukuman denda maksimum mencecah RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali, serta denda lanjutan RM1,000 setiap hari sekiranya kesalahan itu masih dilakukan selepas sabitan bersalah dijatuhkan.

Mahkamah tolak semakan kehakiman Zunar

Pada Rabu juga, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Zunar berkaitan cabarannya mengenai larangan keluar negara yang dikenakan terhadap kartunis itu.

Hakim Azizah Nawawi dalam keputusannya berkata permohonan semakan kehakiman yang dibawa oleh Zunar itu tidak mempunyai merit.

“Isu-isu perlembagaan yang dibawa tidak substantif dalam permohonan asal, oleh itu permohonan ini tidak mempunyai merit serta mahkamah juga terikat dengan keputusan dalam beberapa kes seperti Pua Kim Wee (Tony Pua) di Mahkamah Persekutuan,`` katanya sambil mengarahkan Zunar membayar kos RM5,000 kepada kerajaan.

Zunar ketika ditemui selepas keputusan itu memberitahu beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut serta menegaskan tidak ada seorang pun kartunis di seluruh dunia yang dilarang untuk bergerak ke luar negara kecuali dia.

“Malahan kawan saya dari Kenya agak terperanjat dengan masalah saya dengan menyatakan bahawa keadaan di Afrika teruk tetapi tidak menyangka ia lebih teruk di Malaysia,” tegas beliau.

Tambahnya, beliau satu-satunya dari beberapa orang yang membuat semakan kehakiman yang masih dilarang keluar negara sedangkan beberapa orang yang telah membuat semakan kehakiman dan ditolak oleh mahkamah seperti ahli parlimen Tony Pua dan Pengerusi Bersih 2, Maria Chin Abdullah telah ditarik balik larangan keluar negara oleh kerajaan.

Laporan oleh Pelapor Khas PBB dalam bidang hak kebudayaan, Karima Bennoune baru-baru ini telah  menyatakan kebimbangannya mengenai tuduhan-tuduhan terhadap Zunar.

"Kerajaan Malaysia perlu membangunkan satu rancangan konkrit untuk menjamin kebebasan bersuara seni," kata laporan itu.

Pada Ogos lalu, Zunar memfailkan tindakan undang-undang terhadap pegawai kerajaan dan polis dengan mendakwa penangkapan dan rampasan buku serta t-shirt pada acara amal di Kuala Lumpur menyalahi undang-undang.

Zunar juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pihak berkuasa melanggar hak perlembagaannya.

Pada April lepas, mahkamah telah menganugerahkan Zunar RM18, 000 (AS$4,060) sebagai ganti rugi kerana tuntutannya terhadap kerajaan yang telah menyita 66 naskhah buku dan karya seninya pada September 2010.

Baru-baru ini juga, kartunis itu telah membatalkan pamerannya di Pulau Pinang kerana bimbangkan ancaman daripada sayap pemuda parti pemerintah Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO].

Zunar, pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016, juga menghadapi sembilan pertuduhan menghasut selepas didakwa menghina badan kehakiman dalam catatan Twitter beliau mengenai  Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Jika disabitkan dengan semua pertuduhan itu, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 43 tahun.

Lihat Laman Penuh