Follow us

Malaysia: Kartunis Satira Zunar Dibebaskan Selepas Sehari Ditahan

SC Lei
Pulau Pinang
2016-11-28
E-mel
Komen
Share
Zunar bersama peguamnya, R.S.N. Rayer (kanan), dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang Sim Tze Tzin (kiri) di Ibu Pejabat Polis Daerah George Town, Pulau Pinang, 26 November 2016.
Zunar bersama peguamnya, R.S.N. Rayer (kanan), dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Pulau Pinang Sim Tze Tzin (kiri) di Ibu Pejabat Polis Daerah George Town, Pulau Pinang, 26 November 2016.
[Ihsan Zunar]

Kemaskini pada 17.36p.m. et - 2016 11-28

Pihak berkuasa Malaysia pada Ahad telah membebaskan kartunis satira Zunar, sehari selepas beliau ditahan untuk disiasat di bawah Akta Hasutan negara itu, berikutan aduan yang diterima mengenai pameran lukisan beliau di Pulau Pinang.

Zulkiflee Anwar Ulhaque, dengan nama pena Zunar, yang juga penyumbang kepada BeritaBenar, telah dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Ahad selepas sebuah mahkamah di negeri itu menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman beliau selama empat hari – sebaliknya hanya membenarkan perintah tahanan reman untuk sehari saja bagi membantu siasatan.

Penolong Pesuruhjaya Polis Daerah Timur Laut, Ibu pejabat Polis Georgetown Mior Faridalatrash Wahid memberitahu BeritaBenar bahawa "siasatan masih berjalan," sambil memaklumkan yang pihak polis akan merujuk kes Zunar kepada pejabat ketua pendakwaraya untuk arahan selanjutnya.

Polis berkata, Kartunis itu ditahan pada Sabtu di bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948, kerana melanggar keamanan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dengan mengadakan pameran secara terbuka di bandaraya George Town, pada Jumaat.

Zunar turut dimaklumkan supaya kembali semula untuk melapor diri kepada polis Pulau Pinang pada 27 Disember depan.

"Ada kemungkinan bahawa pertuduhan baru akan difailkan terhadap saya, dan ini akan menjadikan pertuduhan menghasut yang ke-10 keatas saya," kata Zunar kepada BeritaBenar pada Isnin.

Pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 itu kini menghadapi sembilan tuduhan hasutan kerana didakwa menghina badan kehakiman melalui tweet yang dimuat naik beliau mengenai sabitan kesalahan bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Zunar juga dilarang membuat perjalanan keluar negara bermula Jun lepas.

Hasutan pemerintah

Tangkapan berlaku sehari selepas tiga panel hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 melanggar Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk bersuara.

Keputusan itu, dalam kes yang tidak melibatkan Zunar, bermakna bahawa pendakwa mesti membuktikan bahawa tertuduh berniat untuk menghasut semasa dakwaan dibuat, kata peguam. Sebelum keputusan tersebut dikeluarkan, pendakwa hanya perlu membuktikan bahawa hasutan telah dibuat.

"Ini merupakan satu kemenangan bagi perlembagaan Malaysia dan Artikel 10 adalah kemenangan bagi rakyat, yang di dalam sebuah negara berdemokrasi, mempunyai kebebasan untuk bersuara asalkan tidak melanggar - asalkan mereka tidak menyuarakan sokongan untuk keganasan dan lain-lain lagi. " kata Peguam N. Surendran yang mewakili Mat Shuhaimi Shafiei kepada pemberita di Putrajaya berikutan keputusan, menurut satu video YouTube.

Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Zunar, berkata keputusan itu memberi kesan kepada semua kes hasutan yang belum selesai.

"Ia adalah satu perkembangan positif, tetapi hasilnya masih belum dapat dilihat. Mahkamah Persekutuan boleh membatalkan keputusan itu, tetapi saya berharap ini tidak akan terjadi kerana ini merupakan satu langkah yang baik, "katanya kepada BeritaBenar.

Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, sementara itu, mengumumkan bahawa kerajaan akan merayu terhadap keputusan terkini itu, menurut laporan oleh Free Malaysia Today (FMT).

Bantahan UMNO

Pameran yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari itu, bagaimanapun dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan di mana lebih 20 keping hasil kerja seni Zunar dirampas, sebaik saja sekumpulan kira-kira 30 orang yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO negeri Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim menyerbu ruang pameran itu di bangunan Komtar dengan meminta kesemua karya seni kartunis itu dikeluarkan.

Zunar yang dipanggil ke balai polis pada Sabtu dengan pegawai polis menyiasat insiden bekenaan, ditahan sebaik sahaja beliau sampai, menurut peguamnya, R.S.N. Rayer.

Polis kemudiannya membawa Zunar ke tempat pameran, di mana mereka merampas karya seni beliau.

"Saya rasa ini adalah pelik. Orang yang lain turut berfikir begitu juga. Saya adalah mangsa tetapi saya yang didapati bersalah dan ditangkap. Adakah ini sebahagian daripada beberapa skrip? Itulah pandangan saya, " Zunar memberitahu BeritaBenar.

Zunar - yang karya seni kartunnya mengetengahkan isu-isu negara dan politik serta sindiran terhadap pemimpin, seperti Perdana Menteri  Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor, berada di Pulau Pinang untuk mengambil bahagian di dalam acara tahunan Georgetown Literary Festival pada Jumaat, apabila sekumpulan lelaki mendakwa hasil seni kartunis itu telah mengganggu keamanan rakyat Malaysia.

Pameran yang sama telah diadakan di Petaling Jaya, Selangor selama tujuh hari bermula 3 September lepas tanpa sebarang insiden.

Lihat Laman Penuh