Badan Antarabangsa Desak Malaysia Gugurkan Dakwaan Terhadap Kartunis

Staf BeritaBenar
2015.11.05
151105-MY-ZUNAR620 Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar Ulhaque bergambar dengan pakaian penjara dan satu set gari olok-olok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 3 April, 2015.
AFP

Amnesty International, sebuah badan antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi manusia, mendesak pihak berkuasa Malaysia menggugurkan tuduhan terhadap kartunis Zunar, yang bakal menghadapi hukuman penjara selepas mengkritik pentadbiran kerajaan melalui tweetnya.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dijangka akan dikenakan hukuman penjara sehingga 43 tahun bagi sembilan pertuduhan hasutan, jika sabit kesalahan dan kes beliau akan didengarkan di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur, esok (Jumaat).

Beliau menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Akta Hasutan Malaysia berkaitan dengan beberapa tweet yang dihantarnya mengkritik kerajaan selepas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dipenjarakan atas pertuduhan meliwat pada Februari lepas.

Tiada tanda yang menunjukkan tindakan keras dibawah akta hasutan akan berkurangan terhadap mereka yang ingin menyuarakan pendapat. Pihak berkuasa Malaysia perlu menghormati hak asasi manusia secara serius, dan bukannya menggunakan undang-undang lapuk itu untuk menahan dan mengganggu pengkritik,” kata Josef Benedict, Pengarah Kempen Asia Tenggara Amnesty International dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Penggunaan Akta Hasutan oleh kerajaan Malaysia mendapat kritikan hebat kerana ia dikatakan antara undang-undang zaman penjajah untuk mengganggu dan menutup mulut pengkritiknya.

"Pertuduhan terhadap Zunar jelas bermotifkan politik dan mesti digugurkan segera. Telah bertahun-tahun lamanya Zunar mendedahkan rasuah dan penindasan kerajaan melalui kartun beliau – dia dihukum kerana perkara ini.

"Adalah tidak masuk akal, Zunar dikenakan hukuman penjara berdekad lamanya hanya kerana beberapa tweet," tambah Josef.

Zunar menjadi sasaran pihak berkuasa di Malaysia sejak beberapa tahun lepas, dan telah dituduh dengan dakwaan hasutan beberapa kali sebelum ini. Pencetak dan vendor kartun beliau juga dilaporkan telah ditakut-takutkan dan diganggu serta diserbu pihak berkuasa.

Perbicaraan beliau esok akan diadakan ketika tindakan keras menggunakan Akta Hasutan dikenakan oleh pihak berkuasa Malaysia terhadap mereka yang inginkan kebebasan bersuara.

Kira-kira 100 orang telah ditangkap atau didakwa di bawah Akta Hasutan sejak awal 2015 - satu peningkatan mendadak berbanding 29 kes pada tahun lepas.

Tahun ini, Amnesty International akan menampilkan Zunar sebagai salah seorang daripada kes yang akan dipaparkan dalam acara tahunannya “Write for Rights” yang berlangsung antara 4 dan 17 Disember depan.

Ia adalah kempen hak asasi manusia yang terbesar di dunia dengan beratus-ratus ribu penyokong dan aktivis Amnesty International di seluruh dunia mengambil tindakan melalui talian dan menerusi surat untuk menuntut pihak berkuasa Malaysia menggugurkan tuduhan terhadap Zunar.

Instrumen Penindasan

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah meningkatkan penggunaan Akta Hasutan 1948. Undang-undang itu pada asalnya di gunakan oleh penjajah sebagai instrumen penindasan bagi menyasar mereka yang  memperjuangkan kemerdekaan untuk Malaysia .

Pada April 2015, undang-undang itu dipinda, dan diluluskan oleh Parlimen dalam keadaan penuh kontroversi kerana ia memperluaskan lagi kawalan terhadap media elektronik, dan memberi kerajaan kuasa untuk menangkap, menahan dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pengkritik.

Mereka yang didapati bersalah di bawah pindaan Akta Hasutan boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun.

Amnesty International telah lama menyuarakan kebimbangannya mengenai undang-undang itu, yang menjenayahkan pelbagai bentuk perlakuan.

Undang-undang itu dilaporkan tidak mematuhi undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, dan khususnya melanggar hak kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan turut dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.

Minggu lalu, Human Rights Watch (HRW) yang berpejabat di Amerika Syarikat, telah melancarkan laporannya bertajuk "Mewujudkan Budaya Takut: Menjenayahkan Kebebasan Bersuara Secara Aman di Malaysia” di Kuala Lumpur.

Kebebasan bersuara dan perdebatan awam semakin dikawal di Malaysia apabila kerajaan menggunakan undang-undang untuk menyekat pendapat dan kritikan terhadap dasar-dasarnya, kata HRW dalam laporan itu.

Laporan itu antara lain mengkaji pelbagai undang-undang berkaitan kebebasan bersuara, perdebatan dan perhimpunan di Malaysia yang telah diperketatkan, diperkenalkan atau dihidupkan semula sejak Perdana Menteri Najib Razak mengambil alih jawatan pada 2009 - khususnya Akta Hasutan.

Menurut HRW, seramai 114 orang telah dipenjarakan atas dakwaan hasutan kerana mengkritik kerajaan, dalam apa yang terbukti menjadi tindakan paling keras terhadap mereka yang menentang kerajaan atau dasarnya sejak 1987.

Pemimpin pembangkang, aktivis masyarakat sivil dan wartawan adalah antara mereka yang ditangkap kerana menghasut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.