UNHCR Kongsi Data Pelarian Dengan Malaysia Bantu Program Vaksinasi

Perkongsian data dibuat tanpa meletakkan sebarang syarat, kata badan dunia itu.
S. Adie Zul
Pulau Pinang
2021-06-15
Share
UNHCR Kongsi Data Pelarian Dengan Malaysia Bantu Program Vaksinasi Pemindahan seramai 517 etnik Rohingya dari Kem Wawasan Negara Langkawi ke depoh Imigresen sementara di Pulau Pinang dan Perak di Terminal Feri Kuala Perlis, Perlis, 1 Jun, 2021.
[Zul Suffian/BenarNews]

Pejabat agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menguruskan hal-ehwal pelarian di Malaysia pada Selasa berkata ia berkongsi data populasi pelarian dengan kerajaan bagi membantu mereka mendapatkan vaksin COVID-19.

Kenyataan UNHCR berkenaan dikeluarkan pada hari yang sama Human Rights Watch (HRW), sebuah badan pemantau hak asasi mendakwa agensi itu telah berkongsi data pelarian Rohingya di Bangladesh dengan kerajaan di situ tanpa mendapat kebenaran para pelarian.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Malaysia pada Selasa menempelak UNHCR kerana didakwa tidak berlaku jujur kerana meletakkan syarat untuk berkongsi data pelarian yang berada di negara itu bagi membolehkan mereka mendapat suntikan vaksin COVID-19.

“Sejak bermulanya pandemik COVID-19, UNHCR telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang berkaitan sebagai menyokong usaha negara itu mengekang COVID-19 dan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, telah meneruskan usaha memberikan sokongan yang diperlukan untuk program vaksinasi nasional.

“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengelakkan penahanan pelarian dan mereka yang memohon suaka, dalam pada UNHCR menyeru kerajaan Malaysia untuk tidak menangkap dan menahan para pelarian dan pemohon suaka, kami tidak meletakkan ini sebagai syarat untuk bekerjasama dan berkongsi data populasi pelarian bagi tujuan perancangan vaksinasi.

“Hakikatnya, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perancangan vaksinasi, untuk beberapa bulan sehingga kini, UNHCR telahpun berkongsi data populasi pelarian dengan kerajaan, sehingga ke peringkat daerah, dan menghulurkan input teknikal bagi tujuan perancangan, di mana diperlukan,” menurut UNCHR dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, sebagai usaha mengelakkan penangkapan pelarian dan pemohon suaka, UNHCR juga telah menyeru kepada kerajaan untuk tidak menangkap atau menahan para pelarian dan pemohon suaka, termasuk para pemegang dokumen UNHCR yang telah tamat tempoh sah laku.

“Ini khususnya melibatkan para pelarian yang tidak dapat datang ke pejabat UNHCR disebabkan sekatan pergerakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, atau mereka yang masih dalam proses mendaftar dengan UNHCR dan juga mereka yang masih belum memiliki dokumentasi UNHCR,” ujar agensi itu lagi.

Justeru, UNHCR berkata ia mengalu-alukan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang memberi jaminan bahawa warga asing tanpa dokumen yang tampil untuk mendapatkan vaksinasi tidak akan ditahan.

Menurut agensi itu, adalah penting setiap individu di Malaysia, tanpa mengira status dokumentasi mereka, mendapat akses kepada kemudahan perubatan, saringan dan vaksinasi bagi mengekang penularan COVID-19.

Pertikai keikhlasan UNHCR

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Malaysia Hamzah Zainudin mempertikaikan keikhlasan pejabat UNHCR di Malaysia dalam berkongi data populasi pelarian yang berada di negara itu bagi membolehkan mereka mendapatkan vaksin COVID-19.

Beliau menegaskan yang UNHCR tidak sepatutnya meletakkan sebarang syarat sekiranya ikhlas ingin bekerjsama dengan kerajaan Malaysia.

“Ia adalah sesuatu yang baik (UNHCR bersetuju untuk berkongsi data)… (Tetapi) Jika mereka meletakkan syarat kepada kita (kerajaan), ini bermaksud mereka tidak ikhlas untuk berkongsi,” katanya kepada pihak media di Pulau Pinang apabila ditanya mengenai laporan portal tempatan mengenai dakwaan syarat yang diletakkan oleh pihak UNHCR.

Malaysia sebelum ini meminta agensi itu untuk berkongsi data populasi pelarian dan pemohon suaka yang memegang dokumen UNHCR di negara itu, bagi tujuan perancangan program vaksinasi COVID-19.

Beberapa badan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib pelarian dan imigran di Malaysia sebelum ini mendesak kerajaan untuk tidak menangkap golongan itu bagi menggalakkan mereka mendapatkan vaksin COVID-19, tatkala negara itu sedang bergelut mengekang peningkatan mendadak penularan kes jangkitan sejak beberapa bulan lepas.

Mereka membuat desakan itu selepas Hamzah mengumumkan perancangan kerajaan meningkatkan usaha menahan pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sahih di negara itu.

Pada awal Jun lalu, Hamzah dilaporkan berkata tindakan melaksanakan operasi besar-besaran menahan pendatang tanpa izin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bagi memastikan golongan berkenaan mempunyai dokumen sah bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Hamzah semasa menjawab kritikan beberapa Ahli Parlimen pembangkang terhadap langkah itu berkata, kerajaan tidak boleh memberi vaksin kepada pendatang tanpa dokumen kerana setiap pendaftaran program vaksinasi memerlukan bukti dokumen dan identity yang sah.

Dalam sidang medianya pada Sabtu, Hamzah sekali lagi menegaskan bahawa semua pendatang asing tanpa izin perlu menyerah diri sebelum mereka layak menyertai program vaksinasi COVID-19.

Beliau menyeru pendatang tanpa izin untuk segera tampil menyerah diri untuk didokumentasi secara sah sama ada dengan menyertai Pelan Rekalibrasi Pulang atau pun memilih untuk didaftarkan bekerja di Malaysia secara sah.

Hamzah turut memberi jaminan kepada rakyat Malaysia yang kerajaan tetap tidak akan berkompromi dengan hanya warga asing yang memiliki dokumen sah akan mendapat imunisasi, selaras dengan matlamat kerajaan bagi mencapai komuniti kelompok.

Dalam pada itu, ketika sidang medianya di Pulau Pinang pada Selasa, Hamzah berkata kerajaan Malaysia akan meneliti cadangan UNHCR untuk membina kem khas untuk pelarian di negara itu.

“Kita perlu meneliti beberapa aspek seperti lokasi, pembinaan dan sebagainya sebelum kita menyatakan pendirian berhubung cadangan berkenaan,” katanya.

Hamzah turut berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan mewujudkan polisi khas bagi menangani pelbagai isu berkaitan pendatang asing yang tinggal dalam komuniti warganegara tempatan.

Kongsi data

Sementara itu, Human Right Watch dalam satu kenyataan pada Selasa mendakwa PBB telah secara tidak jujur mengumpulkan dan berkongsi data lebih daripada 800,000 pelarian Rohingya dengan kerajaan Bangladesh, yang kemudiannya dipanjangkan kepada Myanmar, negara yang mereka tinggalkan.

Dalam kenyataan itu, Pengarah Krisis dan Konflik HWR, Lama Fakih mendesak supaya siasatan dijalankan ke atas dakwaan agensi pelarian PBB, UNHCR telah mendaftarkan ribuan pelarian Rohingya di kem-kem pelarian di Bangladesh, yang membolehkan Dhaka menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa Myamnar, dengan tujuan untuk proses repatriasi.

Menurut HRW, data itu sepatutnya bertujuan bagi memudahkan proses penyaluran bantuan dan perkhidmatan asas kepada para pelarian.

“Amalan pengumpulan data yang diamalkan oleh agensi pelarian PBB ke atas pelarian Rohingya di Bangladesh adalah bertentangan dengan polisi agensi itu sendiri dan meletakkan para pelarian dalam lebih banyak risiko,” dakwanya dalam kenyataan itu.

HRW mendakwa kebanyakan pelarian kebiasaannya tidak menyedari yang data mereka, merangkumi gambar, cap jari dan data biografik, berisko dikongsikan dengan pihak Myamar selepas melarikan diri dari negara itu bagi mengelakkan kekerasan ke atas etnik minoriti itu.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh UNHCR, dengan jurucakapnya Andrej Mahecic menegaskan kepada agensi berita AFP, yang UNHCR “mempunyai polisi yang jelas bagi memastikan pelindungan data yang kami kumpulkan apabila mendaftarkan para pelarian di seluruh dunia.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh